Monday, May 18, 2009

Sambutan Hari Guru PASTI Kapar Meriah

Pada 16 Mei 2009 yang lalu bertempat di Kelab Shah Alam, Selangor Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Kapar telah mengadakan majlis Sambutan Hari Guru untuk guru-guru PASTI kawasan tersebut.

PASTI Kawasan Kapar yang ditadbir oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar (DPPK) memiliki 16 PASTI cawangan antaranya, PASTI Ikhwan di Selat Klang, PASTI Mawaddah di Sungai Pinang, PASTI Munawwarah di Meru dan PASTI As-Siddiq di Sementa.

Menurut Pengerusi PASTI Kawasan tersebut iaitu Ustaz Haidar bin Taslin yang juga merupakan Ketua DPPK, majlis Sambutan Hari Guru PASTI Kapar merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh pihaknya sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru khususnya guru PASTI di kawasan Kapar.

Di dalam majlis tersebut, setiap guru-guru PASTI Kapar menerima cenderamata penghargaan di samping anugerah istimewa untuk guru-guru yang setia berkhidmat melebihi 10 tahun dan 15 tahun dan anugerah Tokoh Guru PASTI juga diadakan. Ini bagi menyuntik semangat guru-guru ini agar terus bersungguh-sungguh menyemai ilmu di dalam dada-dada anak murid mereka supaya menjadi insan yang mulia.

Majlis sambutan ini telah diserikan dengan ucapan perasmian oleh YB Dr Hj abd Rani bin Osman yang merupakan YDP PAS Kawasan Kapar yang juga ADUN Meru. Di samping itu juga majlis telah didahului oleh ucapan dari Ketua Majlis Guru PASTI (MGP) Kapar iaitu Puan Lelasari binti Hj Salleh dan juga ucapan daripada Pengerusi PASTI Kapar.

Dalam ucapannya, YB Dr Hj abd Rani menyeru agar PASTI terus menyemarakkan usaha mempromosikan khidmatnya kepada masyarakat khususnya melalui media seperti akhbar Sinar Harian. Ini penting agar program dan aktiviti PASTI yang sangat baik itu diketahui masayarakat dan sekaligus akan mengajak mereka untuk turut serta dan menjayakannya.

Pada kemuncak majlis sambutan tersebut, Tokoh Guru PASTI Kapar bagi tahun 2009 telah diumumkan jatuh kepada Puan Kartina binti Perman. Beliau merupakan seorang guru di PASTI Ikhwanul Muslimin, Sg Saim di DUN Sg Pinang. Beliau dinobatkan sebagai tokoh guru kerana komitmennya yang tinggi terhadap PASTI tersebut dan PASTI Kawasan Kapar. Beliau juga aktif dalam kegiatan masyarakat melalui penglibatannya sebagai Ketua Amal Nisa' di Kawasan Kapar ini. Semoga anugerah ini menjadi pemangkin agar beliau lebih giat berusaha mendidik anak bangsa.

No comments:

Post a Comment