Thursday, November 5, 2009

Berita: Ustaz Ahmad Basri Kembali ke Rahmatullah

Seorang penceramah bebas yang sangat dikenali di kawasan Kapar diatas keberanian beliau menyampaikan ilmu kepada jamaah surau-surau dan masjid-masjid telah kembali ke rahmatullah pagi tadi.
Beliau telah terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah lori ketika beliau sedang menunggang motorsikal berhampiran rumah beliau dekat Kampung Delek, Klang. Beliau dikatakan telah koma selama 2 hari dan ditempatkan di Unit ICU Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR). Akhirnya beliau telah kembali ke Rahmatullah pada jam 9.30 pagi tadi. Sehingga berita ini ditulis jenazah beliau masih lagi berada di HTAR dan akan dibawa ke Kg Delek untuk disembahyangkan dan dikebumikan di tanah perkuburan baru Sungai Sireh.

Allahyarham sangat dikenali di atas kelantangannya ketika menyampaikan kuliah agama dan mempunyai ramai pengikutnya yang tersendiri.Allahyarham juga adalah seorang aktivis PAS yang sangat komited bersama jamaah menyampaikan risalah dakwah perjuangan Islam di setiap majlis ilmu beliau.

Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang besar bagi jamaah lebih-lebih lagi di DUN Selat Klang yang di mana Allahyarham selalu berceramah di situ. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar diterima oleh Allah segala amalan beliau dan ditempatkan bersama para para alim dan orang-orang soleh.

Al-Fatihah~
Baca Seterusnya..

Monday, October 26, 2009

KENYATAAN MEDIA : DPPK Kapar Arah Pemuda Patuhi Arahan

Merujuk kepada Kenyataan Rasmi Presiden PAS berkenaan soal kepimpinan jamaah PAS yang sedang diperkatakan sekarang, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar (DPPK) mengarahkan supaya ahli pemuda PAS kawasan Kapar supaya mengikuti arahan dan tidak membuat andaian dan spekulasi sendiri berkenaan isu tersebut.

Seandainya terdapat pertanyaan-pertanyaan daripada penyokong-penyokong mahupun orang awam tentang isu ini, bolehlah dijelaskan bahawa "Tuan Presiden telahpun mengarahkan Dato’ Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini."

Teruslah beristiqamah dalam perjuangan, sabar dengan ujian, berbaik sangka terhadap pimpinan dan doa jadikan amalan.

Mohd Azeman Muhammad Yunus
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kapar

=====================================================


KENYATAAN RASMI PRESIDEN PAS:
“Isu Dalaman Parti Islam SeMalaysia (PAS)”

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

PAS adalah merupakan sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah yang ditubuhkan sejak dari tahun 1951 dan pernah berhadapan dengan suasana yang lebih getir dalam lipatan sejarah perjuangannya. Semuanya berjaya dihadapi dan terus menerus mematangkan organisasi parti sehinggalah PAS mencapai kedudukan yang ada pada masa kini.

Sehubungan dengan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini. Persoalan yang timbul ini tidak akan dapat diselesaikan menerusi penggunaan media massa dan media baru. Ianya perlu diselesaikan secara musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya.

Saya juga sudah mengarahkan Dato’ Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini. Kita berdoa agar Allah SWT senantiasa memberikan taufik dan hidayah Nya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
6 Zulkaedah 1430 H bersamaan 25 Oktober 2009
Baca Seterusnya..

Thursday, October 8, 2009

BERITA : Pelancaran Cawangan PASTI 'Little Syabab'

Ketua Pemuda DPPK Kapar, Ust Haidar Taslin di samping bunting Pelancaran PASTI Little Syabab

Satu lagi cawangan Pusat Asuhan Asuhan Tunas Islam (PASTI) bagi kawasan Kapar bakal dibuka di Bandar Bukit Raja, Klang pada permulaan tahun hadapan.

PASTI yang diberi nama 'Little Syabab' akan dikelolakan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar sendiri ini, merupakan tadika pertama yang akan dibuka di kawasan perumahan Bandar Bukit Raja. Ianya secara tidak langsung memberi peluang kepada ibubapa untuk menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan pendidikan pra-sekolah di sini.

PASTI Little Syabab telah dirasmikan oleh Saudara Sabki, Naib Ketua Pemuda DPP Pusat pada 4 Oktober lalu di bangunan PASTI Little Syabab dekat Bandar Bukit Raja, Klang. Majlis turut dihadiri oleh YB. Dr. Abd Rani dan ahli jawatankuasa PAS Kawasan.

Sehingga kini terdapat 16 buah PASTI yang beroperasi di sekitar kawasan Kapar dengan pelajarnya seramai 1700 orang dibantu oleh seramai 80 orang guru. Ditanya kepada Pengurus PASTI Kawasan Kapar, Ust Fikri Bustami, tentang perancangan PASTI akan datang, DPPK berhasrat menambah 2 lagi cawangan baru untuk tahun hadapan.








Baca Seterusnya..

BERITA : Majlis Mesra Aidilfitri Pemuda PAS Kapar Jalin Kemesraan


Dalam kemeriahan Aidilfitri yang masih terasa, Dewan Pemuda PAS Kapar menganjurkan program rumah terbuka 'Majlis Mesra Aidilfitri' pada hari Ahad, 4 Oktober yang lalu di Pejabat Dewan Pemuda PAS Kapar dekat Bandar Bukit Raja.

Walaupun berada dalam 15 Syawal, program yang diadakan ini bermula jam 4.00 petang sehingga 7.00 malam berjaya mengumpulkan ahli-ahli pemuda PAS sekitar kawasan Kapar termasuk ahli keluarga masing-masing.

Selain DPPK dan ahli-ahli pemuda pas Kapar yang hadir, masyarakat kawasan kejiranan perumahan Bandar Bukit Raja turut diundang. Kehadiran masyarakat setempat termasuk dari bangsa Cina dan India amat memberangsangkan. Ketibaan Yang Dipertua PAS Kawasan Kapar merangkap ADUN Meru, Yang Berhormat Dr. Abd Rani Osman serta Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Pusat, Saudara Sabki Yusuf turut mewarnai suasana.

Para tetamu disajikan dengan jamuan makanan serta mereka berpeluang mendengar ucapan dari Ketua Pemuda DPPK, Ustar Haidar Taslin, YB. Dr. Abd Rani dan juga Saudara Sabki Yusuf.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan lagu-lagu nasyid oleh Kumpulan Amrain dan juga tayangan video untuk kanak-kanak yang diadakan di dalam ruang tamu.

















Baca Seterusnya..

Friday, September 18, 2009

UCAPAN: Salam Aidilfitri dari Dewan Pemuda PAS Kapar

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
La Ilahaillaulahu Allahu Akbar,
Allahu Akbar walillahil Hamdu.

Al-hamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah swt kerana nikmat-nikmat yang tidak pernah putus bahkan ditambah-tambahnya lagi. Kehadiran Aidilfitri kali ini mudah-mudahan akan disambut dengan suasana yang indah dan penuh rasa ketaqwaan. Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar saya mengucapkan Salam Aidilfitri, salam kemenangan buat semua muslimin dan muslimat yang wajib merayakannya.

Aidilfitri ini merupakan perayaan yang istimewa untuk umat Muhammad saw. Kita merayakannya dengan penuh penzahiran rasa gembira sebagai mensyiarkan suruhan Allah swt bahawa agama Islam itu adalah agama yang membawa kegembiraan untuk umatnya. Apatah lagi rasa gembira yang kita zahirkan itu menjadi ibadah pula pada hari yang indah ini dan ia menjadi kekal dengan pahala yang diperolehi sehingga hari akhirat nanti.

Benar Islam itu sangat indah sehingga kegembiraan menjadi satu perkara yang dituntut dalam kita merayakan Aidilfitri. Namun, ia juga dibatasi dengan rasa keimanan hasil tarbiyah Ramadhan supaya kegembiraan itu disambut dengan tertib dan tidak melampau apatah lagi melewati batas syariat.

Namun amat malang bagi kita umat Islam di Malaysia apabila suasana Aidilfitri yang bakal menjelang ini bakal juga disambut dengan perayaan yang mengguris hati dan luhur iman kita, apabila kerajaan Malaysia membenarkan penganjuran konsert 'Black Eyed Peas' seawal hari ke-6 dalam bulan syawal ini.

Bukan sahaja penganjuran konsert berkenaan yang biasanya mengundang pelbagai gejala negatif dan perlanggaran syariat apabila dibenarkan umat Islam yang jahil menyertainya bahkan lebih malang lagi ia boleh menjahanamkan akidah mereka pula. Ini disebabkan penganjuran konsert tersebut pada kali ini bukan sahaja untuk mempamerkan aksi tarian dan muzik tetapi agenda besarnya ialah bagi menyambut ulang tahun ke-250 'Athur's Day' iaitu kelahiran syarikat arak terkemuka dunia, Guinness.


Ironinya ia bakal berlaku seusai umat Islam menyambut Ramadhan dan ketika menyambut aidilfitri pula. Ia bakal berlaku di sebuah negara yang majoritinya umat Islam dengan majoriti pemimpinnya adalah melayu Islam. Justeru, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar menyelar penganjuran konsert dan sambutan ini dan menggesa pihak-pihak lain yang bertanggungjawab seperti JAKIM, Mufti dan Jabatan Agama Islam untuk bersuara menegur sikap penganjur dan juga penguasa yang membenarkannya.


Sempena Aidilfitri ini juga, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar ingin berpesan agar kegembiraan yang kita sambut pada Aidilfitri ini juga tidak sepatutnya kita hidangkan dengan adegan-adegan kesedihan yang tidak dituntut tetapi menjadi kebiasaan. Memang menjadi lazim untuk kita mengingati sesorang yang telah pergi meninggalkan kita sebagai tanda kasih. Namun ingatan itu seharusnya diiringi dengan doa kesejahteraan bukan dengan tangisan dan ratapan yang tidak bermakna. Tambah pilu apabila hidangan media juga turut didendangkan dengan lagu-lagu sedih Aidilfitri dan drama-drama yang menyayat hati.


Justeru, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar ingin mengajak muslimin dan muslimat agar meninggalkan amalan yang tidak menjadi sunnah Aidilfitri ini. Ayuh kita bangunkan jiwa umat Islam untuk merasai nikmat kegembiraan kemenangan setelah kita berperang dengan hawa nafsu yang sebenarnya menjadi punca kejahilan dan seterusnya menghalang kepada kejayaan umat Islam itu sendiri.

Ramadhan telah mengajar umat Islam bahawa mereka mampu mengorbankan tuntutan hawa nafsu mereka demi suruhan Allah swt. Oleh itu, kita juga harus memahami dan menghayati konsep ini untuk dibawa dalam kita merealisasikan matlamat menegakkan Islam yang syumul itu. Korbankanlah kepentingan diri, kesenangan dunia, kehebatan pangkat, kelicikan politik demi menegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliyah.

Akhirnya, mewakili saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar saya ingin memohon keampunan dari semua umat islam khususnya saudara dan kenalan kami serta rakyat di Kawasan Kapar ini. Sesungguhnya terlalu banyak kelemahan dan kelalaian kami dalam melaksanakan amanah dakwah yang terlalu berat ini. Doakanlah agar kami sentiasa diberi kekuatan oleh Allah swt dan sentiasa dilimpahi berkat dn rahmatnya.

Sesungguhnya, kami amat mengharapkan sokongan dan dokongan padu selagi kami berada dilandasan kebenaran ini. Sebaliknya, berilah peringatan dan perbetulkanlah kami seandainya kami semakin lalai, leka dan dekat dengan kesilapan.

Saya mengambil kesempatan ini ingin menjemput semua untuk menikmati kesederhanaan di Majlis Mesra Aidilfitri Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar dan Pelancaran PASTI Little Syabab pada 4 Oktober 2009 (Ahad) jam 4.00 petang hingga 7.00 malam di No 20, Jalan Gamelan 1B, Bandar Bukit Raja, Klang. Semoga kehadiran anda akan mempertautkan ukhuwah yang tinggi nilainya di sisi Allah swt.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar..
Walillahil Hamdu.

Maaf Zahir dan Batin.

Ketua,
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar
Baca Seterusnya..

Monday, September 14, 2009

BERITA: Lawatan Amal Menjejak Pesakit di Hospital



Sabtu, 12 September 2009 – Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar dengan kerjasama PAS Kawasan Kapar, dan Muslimat Kapar telah menganjurkan lawatan amal dan mesra rakyat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Diketuai oleh oleh YDP PAS Kawasan kapar Dr. Hj Abd Rani Osman bersama Ketua DPPK Kapar Ustaz Haidar Taslin, rombongan seramai 38 orang telah berjaya mengagihkan 400 buah bungkusan makanan kesihatan kepada para pesakit yang terlantar di beberapa wad.

Urusan pengagihan dan koordinasi peserta rombongan diatur oleh Unit Amal Kapar telah berjaya melicinkan lagi urusan agihan dan lawatan tersebut. Peserta rombongan dipecahkan beberapa kumpulan untuk melawat ke wad-wad pesakit sekali gus. DPPK dan PAS Kapar berjaya menyampaikan sumbangan sambil beramah mesra, bertanya khabar, juga menyampai mesej dakwah bil hal kepada semua pesakit tanpa mengira bangsa, umur dan latar belakang pesakit.

Lawatan bermula jam 9.45 pagi telah berakhir pada jam 10.40 pagi. Penghargaan dan ucapan terima kasih turut disampaikan kepada pihak pengurusan hospital atas kesudian menerima rombongan ziarah dan juga memberikan kerjasama yang sangat baik.



Kelihatan YB. Dr. Rani (YDP PAS Kapar), Ust. Haidar Taslin (Ketua Dewan Pemuda PAS Kapar) serta ahli rombongan sedang menunggu di ruang legar hospital.


Beramal kerana Allah...Ahli Unit Amal Kapar membantu menurunkan beg sumbangan dari lori.


Manisnya kerja berjamaah...AJK DPPK turut membantu memunggah beg-beg sumbangan.


Ketua DPPK Kapar, Ust Haidar Taslin sibuk mengagihkan penutup mulut kepada ahli rombongan.

Ust Haidar sudah bersedia dengan penutup mulut manakala YB. Dr. Rani tekun mendengar taklimat dari Unit Amal Kapar.


Ust. Haidar menyampaikan sumbangan kepada pesakit berbangsa India.


"Semoga cepat sembuh..." mungkin itulah yang disebutkan kepada pesakit.


"I'm very happy to see Muslim organization people visiting us here although some of us are non-Muslims," ujar En. James kepada rombongan DPPK.


Ust Haidar menyantuni seorang pesakit.

Baca Seterusnya..

BERITA: Masjid Sungai Udang Anjur Kuliah Dhuha Remaja



Bersempena bulan Ramadhan ini, Biro Pemuda dengan kerjasama Biro Muslimat Masjid Darul Muttaqin Kg Sungai Udang telah mengadakan program Kuliah Dhuha Remaja di masjid tersebut pada 5 September 2009 lepas.

Kuliah dhuha bermula jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi telah disampaikan oleh seorang penceramah muda jemputan, Brother Muhd Bukhari bin Hashim dari Maktab Perguruan Islam. Kuliah berkisar tentang amalan-amalan praktikal remaja di bulan ramadhan.

Kuliah dhuha tersebut berjaya menarik minat lebih kurang 80 orang remaja lelaki dan perempuan dari lingkungan umur 12 tahun hingga 17 tahun yang kebanyakkannya adalah pelajar sekolah di sekitar DUN Selat Klang.


AJK Muslimat turut sama menemani adik-adik muslimat mendengar kuliah


Wakil Pemuda Masjid Darul Muttaqin juga khusyuk mendengar kuliah


Adik-adik Briged Amal selalu menghadiri majlis ilmu anjuran masjid

Bro. Bukhari petah menyampaikan kuliahnya kepada peserta

Baca Seterusnya..