Tuesday, July 21, 2009

BERITA: Johan Negeri: Kumpulan Nasyid SRA Sungai Udang Harumkan Nama Kapar


AJK DPPK Kapar, Sdr. Shaiful (bersongkok)
bergambar dengan kumpulan nasyid
Zahratul Firdaus

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar mengucapkan tahniah kepada kumpulan nasyid dari Sekolah Rendah Agama Sungai Udang kerana berjaya menjadi Johan Nasyid (Perempuan) dalam Amal Islami Negeri Selangor yang diadakan di Kuala Kubu Bharu pada 3-4 Julai lepas.

Pertandingan Amal Islami Negeri Selangor dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merupakan acara tahunan bagi mencungkil bakat pelapis pendakwah muda dan seterusnya menyuburkan syiar Islam dalam pelbagai bidang yang dipertandingkan. Antara acara yang dipertandingkan termasuk azan, marhaban, khat, tilawah alQuran, pidato bahasa arab, khutbah dan juga termasuk pertandingan nasyid.

Pasukan nasyid SRA Sungai Udang, telah berjaya memenangi kategori Nasyid Perempuan Negeri Selangor manakala bagi kategori Nasyid Lelaki dimenangi oleh SRA KAFA Johan Setia.


Kumpulan Nasyid Zahratul Firdaus menyampaikan
persembahan sempena program Tautan Mahabbah
di SRA Sungai Udang, Klang

Yang paling manis, pasukan yang sama turut berjaya menyertai Festival Nasyid Kebangsaan yang diadakan di Kuantan, Pahang pada 14-17 Julai lepas mewakili negeri Selangor dengan nama Zahratul Firdaus. Pasukan dari Sekolah Kebangsaan Teluk Pulai ini sebelum itu telah menjadi Johan MTQ Daerah Klang pada 26 Mac 2009 dan juga Johan MTQ Negeri Selangor yang diadakan di Gombak, Selangor dalam kategori Nasyid Perempuan. Walaubagaimanapun mereka tidak berjaya merampas kejuaraan di peringkat kebangsaan, dimana telah dimenangi oleh pasukan dari negeri Pahang.

DPPK Kapar amat berasa bangga dengan kejayaan pasukan nasyid ini kerana berjaya mengharumkan nama daerah Klang dan juga negeri Selangor. Diharapkan sekolah-sekolah di dalam Kawasan Kapar akan terus melahirkan pendakwah muda serta pemimpin Islam yang berkaliber pada masa akan datang hasil usaha yang sedang dilakukan sekarang ini.

No comments:

Post a Comment