Saturday, July 18, 2009

BERITA: Pemuda DUN Meru Menyertai Sukan Lasak

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar, Ust Haidar bin Taslin telah menghulurkan sumbangan kepada Sdr Izwan bin Md Sumairi @ Hj Azhari yang akan menyertai ' Malakof University Duathlon Series 2009'.

Sumbangan kecil ini merupakan ransangan kepada beliau yang sebelum ini telah menjuarai kejohanan tersebut pada tahun lalu. Kejohanan ini merupakan kejohanan yang menguji ketahanan mental dan fizikal kerana peserta dikehendaki berlari sejauh 3.5 km dan diikuti dengan mengayuh basikal sejauh 15 km sebelum menamatkan perlumbaan dengan berlari semula sejauh 3.5 km.

Pada tahun ini kejohanan bersiri ini akan diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang pada 19 Julai 2009 diikuti dengan kejohanan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Bangi pada 25 Julai 2009 dan diakhiri di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2009.

Menurut Ust Haidar, beliau sangat kagum dengan kekuatan mental dan fizikal yang dimiliki Sdr Izwan dan ia harus dicontohi oleh golongan belia kerana dengan memiliki kekuatan dalaman seperti inilah para pemuda mampu untuk menghadapi cabaran hidup.

'Golongan belia yang terlibat dengan gejala sosial pada hari ini merupakan di kalangan mereka yang lemah segala-galanya termasuklah mental dan fizikal mereka. Mereka ini gagal untuk berfikir dengan waras buruk baik perbuatan yang mereka lakukan. Mereka takut dengan cabaran dan ingin lari dari masalah yang akhirnya terlibat dengan dadah. Mereka lemah mental dan mudah dipengaruhi dengan rakan-rakan yang mengajak mereka terlibat dengan lumba haram dan jenayah yang lain'.

'Namun apabila minda dan tubuh pemuda ini dilatih dan digarap dengan baik mereka mampu menjadi kuat dan kental dan mampu membuat kejutan seterusnya menaikkan nama diri mereka sendiri dalam apa jua lapangan yang mereka minati'.

Untuk rekod, Sdr Izwan telah menyertai beberapa kejohanan sepanjang tahun ini seperti Orienteering (Pandu Arah) Maksak Malaysia dan mendapat johan, Johor Bharu Eko Challenge 2009 mendapat tempat ke-3 dan Merbok Green Challenge juga mendapat johan. Beliau juga meraih Anugerah Atlit Harapan Majlis Perbandaran Klang.

Semoga beliau terus berjaya dalam bidang sukan yang beliau minati dan menaikkan nama anak jati Meru yang berjaya meraih kejayaan cemerlang.

No comments:

Post a Comment