Monday, October 26, 2009

KENYATAAN MEDIA : DPPK Kapar Arah Pemuda Patuhi Arahan

Merujuk kepada Kenyataan Rasmi Presiden PAS berkenaan soal kepimpinan jamaah PAS yang sedang diperkatakan sekarang, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar (DPPK) mengarahkan supaya ahli pemuda PAS kawasan Kapar supaya mengikuti arahan dan tidak membuat andaian dan spekulasi sendiri berkenaan isu tersebut.

Seandainya terdapat pertanyaan-pertanyaan daripada penyokong-penyokong mahupun orang awam tentang isu ini, bolehlah dijelaskan bahawa "Tuan Presiden telahpun mengarahkan Dato’ Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini."

Teruslah beristiqamah dalam perjuangan, sabar dengan ujian, berbaik sangka terhadap pimpinan dan doa jadikan amalan.

Mohd Azeman Muhammad Yunus
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kapar

=====================================================


KENYATAAN RASMI PRESIDEN PAS:
“Isu Dalaman Parti Islam SeMalaysia (PAS)”

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

PAS adalah merupakan sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah yang ditubuhkan sejak dari tahun 1951 dan pernah berhadapan dengan suasana yang lebih getir dalam lipatan sejarah perjuangannya. Semuanya berjaya dihadapi dan terus menerus mematangkan organisasi parti sehinggalah PAS mencapai kedudukan yang ada pada masa kini.

Sehubungan dengan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini. Persoalan yang timbul ini tidak akan dapat diselesaikan menerusi penggunaan media massa dan media baru. Ianya perlu diselesaikan secara musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya.

Saya juga sudah mengarahkan Dato’ Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini. Kita berdoa agar Allah SWT senantiasa memberikan taufik dan hidayah Nya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
6 Zulkaedah 1430 H bersamaan 25 Oktober 2009

1 comment:

  1. "Islam memiliki dinding dan pintu yang kuat. Dinding Islam ialah kebenaran dan pintunya ialah keadilan.

    Islam akan tetap jaya, selama penguasa-penguasa bersikap keras dan tegas, tetapi itu dilakukan tidak bererti mesti dengan pedang dan cemeti, melainkan dengan hak dan keadilan"

    -Kata2 Said bin Suwaid

    ReplyDelete