Saturday, January 29, 2011

SeTENANG dan seredup Cikgu Mala

Bookmark and Share

Walaupun kempen PRK N05 Tenang berbaki tinggal beberapa jam lagi, namun suasana redup tetap menggenangi kawsan pilihanraya ini. Ia benar-benar tenang dan redup walaupun biasanya suasana PRK adalah panas dan penuh emosi. Ditambah dengan mendung yang sekejap-sekejap gerimis dan hujan, pasti meredupkan lagi suasana di sini.

Jajaan isu yang meluap dan mengganas tetap menjadi tenang persis nama DUN PRK itu. Ia tampak tenang dengan wajah redup calon Pakatan Rakyat iaitu Cikgu Mala. Siapa sangka, seorang muslimah melayu yang tipikal berpangkat guru sekolah mampu menggegarkan dunia sepak terajang politik nasional dan mengundang perhatian seluruh rakyat Malaysia.

Cikgu Mala yang sebelum ini duduk mengajar di kelas anak-anak muridnya, telah mampu membina 'kelas'nya yang tersendiri di dalam dunia politik tanahair. Biarpun keputusan PRK N05 Tenang belum terjawab, namun Cikgu Mala telah menang di sana dan di sini.

Cikgu Mala menang dari sudut penampilan muslimahnya, kerana ia bukan lagi satu halangan tetapi merupakan aset penting buat dirinya. Nyata penampilannya itu bukan hanya disenangi oleh kawan dan lawan bahkan ia telah merentasi sempadan kaum dan agama. Siapa sahaja yang mempertikaikan penampilan muslimahnya itu hanya ibarat menepuk air di dulang. Padan muka MCA dan Chua Soi Lek!!

Cikgu Mala menang dengan kemesraannya kerana beliau mewakili majoriti rakyat marhaen di bumi Felda dan kampung tradisi melayu ditambah dengan keikhlasan beliau yang tampak ketara tanpa janji-janji politik pasca pilihanraya yang memualkan! Beliau adalah Cikgu Mala yang serupa di hadapan semua pengundi tanpa mengira melayu, cina atau india. Kata-kata dan ucapan Cikgu Mala hanya lahir dari sanubarinya yang tulus bukan dari jiwa gejolak politikus.

Cikgu Mala menang dengan lebih besar apabila pencalonannya yang mungkin di pandang enteng oleh pihak lawan akhirnya telah memaksa mereka mengerah seluruh jentera untuk menghadapi tubuh kering Cikgu Mala. Tidak cukup dengan jentera parti, kini seluruh jentera kerajaan, Felda malah media dijojol sehabisnya hanya untuk menghadapi Cikgu Mala. Seluruh pak menteri dan wakil-wakil rakyat BN yang terasa ingin bertanding lagi juga terpaksa tunjuk muka di Tenang. Mereka datang bukan dengan poket kosong. Sekurang-kurangnya hamper dan beras bolehlah dirasai oleh penduduk Tenang.

Tidak apalah kalau Cikgu Mala dan suaminya dijadikan mangsa sedayusnya kalau rakyat di Tenang yang memperolehi hasilnya. Bukan sedikit janji yang bakal diperolehi oleh rakyat di sini, sebijaknya perlu dicatat satu persatu dan dijaja sebaik mungkin agar ia dilaksana. Perjuangan Cikgu Mala melalui PAS sudah tampak hasilnya dan mencapai matlamatnya. Sangat besar mesej yang berjaya Cikgu Mala hantarkan kepada pengundi Tenang dan seluruh rakyat Malaysia.

Kini bukan lagi soal siapa menang dan kalah dalam pilihanraya. Soalnya adalah kebenaran dan keikhlasan yang diperlukan dalam perjuangan Islam, kembali diperingatkan oleh seorang serikandi Muslimah. Ia adalah hasil tarbiyah dan perjuangan PAS yang hakiki. Sebenarnya, ramai lagi orang yang seperti Cikgu Mala di dalam PAS, hanya lensa yang belum tertumpu ke arah mereka.

No comments:

Post a Comment