Friday, May 22, 2009

Karnival Hari Guru PASTI Kapar Mendapat Sambutan

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di DUN Meru melalui Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah menganjurkan Karnival sempena Hari Guru yang diadakan pada 17 Mei 2009 yang lalu. Karnival ini yang dianjurkan bersama Hal Ehwal Wanita (HalWa) DUN Meru telah berlangsung di Dewan Orang Ramai, Meru.

Karnival ini telah disertai oleh PASTI Ar-Raudhah, PASTI Sirajuddin, PASTI Nurul Iman, PASTI al-Hidayah, PASTI Darul Muslimin dan PASTI al-Munawwarah. Pelbagai pameran, gerai jualan dan acara telah diadakan bagi memeriahkan karnival ini yang mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Menurut Pengerusi PASTI Kawasan Kapar yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar, Ustaz Haidar bin Taslin karnival ini bertujuan mendekatkan institusi PASTI kepada masyarakat. PASTI yang dikenali sebagai pusat pendidikan pra-sekolah oleh orang ramai kini juga telah mengorak langkah sebagai wadah pendidikan secara tidak langsung kepada ibu bapa khususnya yang menghantar anak mereka ke PASTI kerana program-program keibubapaannya yang sangat bermanfaat.

Menurut beliau lagi, PASTI yang kini telah menjadi pilihan utama kepada masyarakat akan cuba mengorak langkah bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi. Justeru, beliau mengharapkan karnival ini sedikit sebanyak dapat membantu memperkukuhkan dana PASTI untuk tujuan meningkatkan kebajikan di kalangan guru-guru dan memperbaiki dan mempertingkatkan pengurusan dan prasarana PASTI.
Beliau berkata, walaupun PASTI tidak menerima sebarang bantuan kerajaan sama ada kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, beliau yakin PASTI tetap mampu mempertingkatkan prestasinya, di samping mengekalkan konsepnya yang mengutamakan kebajikan dan bukan keuntungan.

Semoga karnival ini juga akan membuka mata di kalangan masyarakat yang prihatin dengan kepentingan untuk menerapkan pendidikan Islam dalam diri anak-anak agar tampil membantu dan menyokong perjalanan PASTI di sini. Karnival ini juga turut diserikan dengan kehadiran YB Dr Hj Abd Rani Osman dan isterinya serta ketua-ketua kampung di sekita DUN Meru.

No comments:

Post a Comment