Monday, June 1, 2009

Ekspedisi Pemuda PAS Meru ke Sg Selai

Gabungan Pemuda PAS cawangan Taman Meru Jaya, Jalan Kenangan dan Bukit Cherakah telah memulakan program Ekspedisi meredah Sg Selai di Daerah Raub, Pahang pada pagi 1 Jun 2009. Inisiatif pemuda-pemuda di cawangan ini untuk mengadakan aktiviti lasak ini adalah bertujuan untuk menguji ketahanan fizikal dan mental mereka mengharungi cabaran serta semangat setiakawan.

Ekspedisi yang dilepaskan oleh Yang Di-Pertua PAS Kawasan Kapar iaitu YB Dr Hj Abd Rani Osman yang juga ADUN Meru disertai oleh 24 orang dengan enam kenderaan pacuan empat roda. Menurut Pengarah program tersebut, Sdr Maktub Hj Hamim beliau menjangkakan bahawa ekspedisi ini akan tamat pada 3 Jun 2009 kerana pada keesokan harinya iaitu 4 Jun 2009 mereka akan menyertai Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai pemerhati.

Turut sama dalam acara pelepasan ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar iaitu Ustaz Haidar bin Taslin. Beliau berpesan kepada peserta agar berhati-hati dalam perjalanan dan sentiasa menjaga akhlak bukan sahaja di antara sesama mereka bahkan juga dengan alam sekitar yang juga makhluk Allah swt. Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah di atas penganjuran program ini dan merasa sedikit kecewa kerana tidak dapat bersama-sama peserta ekspedisi.

Komandan program ini iaitu Sdr Azhar Sabidin pula mengatakan bahawa ekspedisi yang agak mencabar ini akan melalui kawasan hutan dara melalui jalan tanah merah iaitu bekas laluan lori balak sebelum sampai ke Sungai Selai. Setibanya di sungai ini pula mereka akan bermalam dan menyusuri sungai tersebut keesokan harinya untuk menikmati keindahan alam semulajadi ciptaan Allah swt.
Menurutnya lagi, rata-rata yang menyertai program pada kali ini adalah di kalangan mereka yang baru berjinak dengan aktiviti lasak ekspedisi pacuan empat roda. Apa yang penting menurut beliau lagi adalah kerjasama dan semangat berpasukan dalam satu jemaah yang akan disemai dalam program ini. Semoga kejayaan program ini akan menjadi pembakar semangat kepada para peserta untuk menjalankan gerakerja menegakkan Islam yang semakin mencabar. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment