Tuesday, June 16, 2009

Kejohanan Badminton Tertutup Kg Bukit Kapar



Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar dengan kerjasama Biro Belia JKKK Kg Bukit Kapar telah menganjurkan Kejohanan Badminton Tertutup Kg Bukit Kapar yang bermula pada 15 Jun 2009. Kejohanan ini yang dilakukan secara liga telah dijalankan pada sebelah malam sahaja dan dijangka berakhir pada 3 Julai 2009.
Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Ybhg Ust Farid bin Zainal yang merupakan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar di Dewan Orang Ramai, Kg Bukit Kapar. Beliau menjelaskan bahawa Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar sentiasa ingin mendampingi pemuda-pemuda dalam pelbagai bidang dan cuba memahami kehendak dan sekaligus memenuhinya dengan kemampuan serta menepati kaedah syarak.
Menurut beliau lagi, Islam sentiasa meletakkan sesuatu perbuatan itu akan dibalas dengan pahala ataupun dosa. Jika ita bermain dengan permainan yang sihat dan tidak bertentangan dengan syarak pun boleh mendapat pahala biarpun kita kalah dalam permainan tersebut. sebaliknya, jika kita menang sekalipun tetapi melanggar hukum syarak dan menyakitkan pihak lawan ia akan dibalas dosa. Begitulah istimewanya ajaran Islam.
Sebanyak 12 pasukan telah menyertai kejohanan ini antaranya pasukan Lapis 7, Hamdani, Bukit Kapar Tengah, Paya Barat A&B, Bakti Jaya dan Jalan Dusun. Selain daripada itu pasukan Setia Jaya, Jaya Setia, Batu 8 1/2, Sebaya dan Masjid juga menyertai kejohanan ini.
Menurut Pengarah Kejohanan Sdr Anuar bin Sachari, program ini bertujuan untuk mengisi aktiviti golongan belia dengan kegiatan yang berfaedah dan bermanfaat selain untuk mendekatkan mereka dengan pemimpin tempatan dan kawasan. Menurut beliau lagi, kejohanan ini juga menitikberatkan ajaran-ajaran Islam seperti menggalakkan peserta menutup aurat, mengelakkan bermain pada waktu solat, selain tazkirah dan motivasi disampaikan dari semasa ke semasa.
Beliau berharap peserta akan memahami bahawa Islam tidak membataskan seseorang itu dengan batasan yang sempit dan jumud. Bahkan Islam sangat menggalakkan kegiatan yang sihat asalkan ia tidak menyalahi prinsip-prinsip asas dalam ajarannya. Beliau berharap program ini akan berjaya mencapai matlamat dan memberikan kepuasan dan kefahaman kepada peserta.




No comments:

Post a Comment