Tuesday, June 30, 2009

Kejohanan Bola Sepak Terbuka 9 Sebelah Bukit Kapar


Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar dengan kerjasama Pemuda PAS Cawangan Jaya Setia dan Serai Wangi, Kg Bukit Kapar telah menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Terbuka 9 Sebelah. Kejohanan ini telah berlangsung dengan jayanya pada 28 Jun 2009, Ahad yang lalu.

Seramai 30 pasukan telah menyertai kejohanan terbuka ini yang dijalankan serentak di Padang Awam Serai Wangi dan Padang Awam, Jalan Kopi yang dirasmikan oleh YB Dr Hj Abd Rani Osman selaku YDP PAS Kawasan Kapar yang juga ADUN Meru.

Kejohanan yang telah mendapat sambutan yang luar dugaan ini telah disertai oleh pasukan-pasukan bola sepak sekitar daerah Klang seperti pasukan DPP Kapar, pasukan Pemuda Jalan Jambu, pasukan Putra A dan B, Pemuda Berkat

Kejohanan ini telah berakhir dengan dijuarai oleh pasukan Fort Rangers dari Pelabuhan Klang manakala pasukan Sebaya FC selaku tuan rumah pula di tempat kedua setelah perlawanan akhir berlangsung rancak dan disudahi dengan 1-0.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Ustaz Haidar Taslin yang merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Kapar dan juga Ahli Majlis MPK bagi kawasan tersebut. Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa bangga dengan komitmen para pemuda khususnya Pemuda PAS Cawangan Sebaya dan Jaya Setia kerana telah membuktikan bahawa golongan pemuda mampu untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti berfaedah dengan sokongan pelbagai pihak.
Beliau menegaskan kepada semua yang hadir termasuk para peserta agar segera membuktikan kepada masyarakat bahawa golongan pemuda hari ini layak untuk menjadi pelapis pemimpin akan datang. Label negatif terhadap golongan ini yang dicanangkan oleh pelbagai pihak perlu dihentikan dan sebaliknya ditukar dengan sokongan dan galakan yang padu.

Sebelum itu, Pengarah program Sdr Subahi bin Sayuti telah menggariskan beberapa matlamat dan harapan golongan pemuda khususnya di Bukit Kapar agar dilihat sebagai golongan yang memberi sumbangan berkesan kepada masyarakat. Menurut beliau lagi, Kariah Sebaya dan Jaya Setia Kg Bukit Kapar telah melakar sejarahnya yang tersendiri dengan penganjuran program ini kerana ia julung-julung kali diadakan.

Semoga dengan kejayaan program kejohanan ini akan memberikan impak positif yang berpanjangan kepada masyarakat khususnya di Bukit Kapar. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang menjayakan terutama YB Dr Hj Abd Rani Osman yang telah menaja sepenuhnya hadiah kejohanan.

No comments:

Post a Comment