Monday, July 13, 2009

BERITA: Ketua DPPK Kapar Meraikan Meru Motorsport Club


Pada 10 Julai 2009, Ahad yang lalu Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah bersama-sama mengiringi anggota Meru Motorsport Club sebelum mereka berlepas ke Litar Pasir Gudang, Johor bagi menyertai Perlumbaan ' Johor Race Series' pada 11 & 12 Julai.

Menurut beliau, Dewan Pemuda PAS Kapar memandang positif aktiviti-aktiviti lasak yang dianjurkan oleh golongan pemuda kerana ia sesuai dengan jiwa mereka. Walaubagaimana pun aktiviti ini mestilah selari dan tidak melanggar ajaran Islam seperti mengutamakan keselamatan, tidak terlibat dengan aktiviti perjudian dan sebagainya.

Menurut Pengerusi Meru Motorsport Club pula, Sdr Mohd Noorhafidzi bin Abdul Latiff beliau amat berbangga dengan pencapaian anggota kelab ini. Walaupun tidak diwar-warkan dalam media perdana, tetapi nama kelab ini telah meniti di bibir-bibir peminat sukan lumba kereta kerana telah beberapa kali menjuarai perlumbaan tersebut.

Menurut beliau lagi kali ini, MMC akan menghantar wakil sebanyak 7 buah kereta yang akan dipandu oleh anak Meru sendiri. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Dewan Pemuda PAS Kapar yang perihatin dengan kelab ini dan sudi menyalurkan sumbangan bagi menampung kos perlumbaan. Beliau merasa terharu kerana inilah kali pertama ada pihak yang menyokong MMC sejak ia ditubuhkan pada tahun 1999 lagi.

Aktiviti ini diharap menjadi saluran sihat kepada anak muda yang minat dengan sukan permotoran. Sekaligus ia dapat membendung gejala negatif seperti lumba haram, mat rempit dan sebagainya di samping membawa nama Meru dipersada sukan yang semakin mendapat perhatian ini.

Harapan mereka agar ada pihak yang sudi memikirkan untuk mewujudkan semula litar lumba seperti Litar Lumba Shah Alam suatu masa dahulu yang disertai oleh pelumba-pelumba amatur dan tidak dikenakan yuran yang tinggi. Ini adalah untuk manfaat kebanyakan rakyat yang tidak mampu untuk berlumba di litar antarabangsa yang berprestij tetapi dikenakan yuran yang tinggi.




No comments:

Post a Comment