Tuesday, July 28, 2009

KENYATAAN RASMI: Ucapan Tahniah DPPK Kapar kepada Pasukan Bola Sepak Selangor

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Selangor. Penantian selama 4 tahun untuk menggamit satu-satunya kejuaraan yang belum menjadi milik Selangor, akhirnya telah berjaya disusun dan dilaksanakan bagi menjadikan pasukan Selangor sebagai Juara Liga Super 2009. Upacara penyampaian Liga Super telah berlangsung pada hari Sabtu lepas di Stadium Shah Alam, selepas Selangor menewaskan Pahang dengan kemenangan bergaya 5-1.

Pasukan Selangor pada tahun ini mencipta pembaharuan dengan melantik seorang pengurus pasukan sepenuh masa untuk menguruskan pasukan dengan lebih professional seperti yang diterapkan oleh kelab-kelab ternama Eropah. Usaha pembaharuan ini hasilnya membuahkan kejuaraan bermula dengan Piala Sumbangsih, Piala FA dan terkini Piala Liga Super.

DPPK Kapar percaya jalinan kerjasama yang mantap di antara pihak pengurusan eksekutif yang dipimpin oleh Presiden FAS, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga Menteri Besar Selangor, kakitangan FAS, jurulatih, pengurus pasukan, dan juga pemain telah menjadi resepi kejayaan pasukan Selangor tahun ini. Kesemuanya menyumbang ke atas kejayaan pasukan.

Tidak ketinggalan, DPPK Kapar juga mengucapkan tahniah kepada pemain lincah yang juga anak jati Selangor, Amri Yahyah kerana menjadi tunjang kekuatan pasukan Selangor (dan juga pasukan kebangsaan baru-baru ini apabila menjaringkan 2 gol ketika menentang Manchester United!)

DPPK Kapar melihat hubungan rapat dari pihak pimpinan hinggalah pemain, mencapai matlamat kejayaan yang jelas, usaha yang bersungguh-sungguh, ukhwah yang erat di kalangan pemain, jurulatih dan pengurus, gabungan pemain berpengalaman dan pemain muda serta kebergantungan kepada Allah menjadikan pasukan Selangor digeruni. Tauladan Pengurus pasukan, Saudara Zakaria Ab. Rahim yang sering menunaikan solat berjamaah dan juga menganjurkan majlis keagamaan bersama pemain dan peminat perlu menjadi inspirasi semua.

Teruskan mengharumkan nama Negeri Selangor dan pertahankan kemenangan. Matlamat seterusnya adalah menjulang Piala Malaysia pula. Kami mewakili golongan muda di kawasan Kapar akan terus memberikan sokongan kepada pasukan Selangor. Sebahagian kain-kain rentang yang direntangkan di setiap perlawanan pasukan Selangor datangnya dari penyokong-penyokong di kawasan Kapar - contohnya Meru F.C, Klang United, Bukit Kapar dan bermacam lagi.


Merah Kuning itu Selangor!

Mohd Azeman Mohd Yunus
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar

No comments:

Post a Comment