Monday, July 27, 2009

BERITA: Ihtifal PASTI Kapar Mendapat Sambutan Hangat

Majlis Ihtifal PASTI Kawasan Kapar telah berjaya dilaksanakan pada Ahad lalu 26 Julai 2009, di Dewan Ahmad Razali, batu 4, Sementa.

Pada Majlis Ihtifal kali ini telah menyaksikan penyertaan dari semua Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang terdapat di kawasan ini iaitu 16 buah PASTI. Tuan rumah untuk majlis kali ini ialah PASTI di DUN Sementa yang terdiri dari PASTI al-Hikmah, PASTI Mahmudah, PASTI Wadi Sofea, PASTI As-Siddiq dan PASTI Aiman.

Pelbagai acara telah dipertandingkan bagi mencapai objektif mencungkil bakat dan potensi diri anak-anak PASTI serta meningkatkan tahap keyakinan diri mereka untuk berhadapan dengan orang ramai. Antara acara-acara tersebut ialah Nasyid, Bercerita, Azan, Khutbah, Pidato dan Hafazan.

bu bapa telah turut sama hadir bagi memeriahkan majlis dan memberi sokongan moral kepada anak-anak mereka yang mengambil bahagian dalam acara yang dipertandingkan. Ramai di kalangan hadirin merasa kagum dan terpesona dengan bakat-bakat anak-anak PASTI yang semuanya berumur 6 tahun dan ke bawah.

Majlis Penutup Ihtifal PASTI Kawasan Kapar ini telah disempurnakan oleh YB Dr Hjh Halimah binti Ali (Exco Negeri Selangor) yang juga merupakan salah seorang ADUN di Kawasan Kapar ini iaitu DUN Selat Klang.

Beliau menyatakan penghargaannya yang sangat tinggi kepada PASTI yang telah mengorak langkah mencipta pelbagai pencapaian khususnya di kalangan anak-anak PASTI yang mampu untuk meraih kecemerlangan dunia dan seterusnya di akhirat. Bahkan juga beliau dimaklumkan bahawa rata-rata anak-anak PASTI merupakan pelajar cemerlang di sekolah-sekolah dari pelbagai aspek kerana didikan yang sempurna telah mereka terima di alam pra-sekolah lagi.

Seterusnya beliau mengharapkan agar PASTI dapat membantu kerajaan negeri Selangor untuk menggarap modul baru dalam sistem pendidikan pra sekolah yang berasaskan S.P.I.E.S atau Spiritual, Physical, Intelectual, Emotion, Social.

Sebelum itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar Ustaz Haidar Taslin telah mengucapkan alu-aluan kepada yang hadir selaku penganjur majlis kerana telah memberi sokongan padu kepada PASTI khususnya di Kawasan Kapar.

Menurut beliau lagi, sokongan dan kepercayaan masyarakat terhadap PASTI telah menyebabkan PASTI mampu berada di tahap yang membanggakan kini bahkan lebih dari itu, PASTI dan para pelajarnya telah meraih pelbagai kecemerlangan hasil daripada usaha-usaha dan program PASTI antaranya ihtifal ini.

Sekalung syabas dan tahniah untuk semua pihak yang turut sama menjayakan Majlis Ihtifal ini terutamanya, AJK Panitia, Guru-guru, AJK PASTI, ibu bapa dan juga YB Dr Hjh Halimah Ali.

No comments:

Post a Comment