Sunday, August 16, 2009

BERITA: Jambori Unit Amal Kapar Meningkatkan Kemahiran Ahli


Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah berjaya mengadakan Jambori Unit Amal Kapar 2009 pada 15 dan 16 Ogos 2009 di Kem Banyu Manis, Kg Bukit Kerayong, Jeram. Jambori pada kali ini telah disertai lebih 30 orang ahli Unit Amal seluruh Kawasan Kapar.

Pelbagai aktiviti telah disusun sepanjang program oleh Pengarah Program yang juga Ketua Unit Amal Kapar, Saudara Zainuri bin Ahmad. Program ini antara lain adalah untuk memdedahkan ahli Unit Amal kepada kemahiran-kemahiran kendiri yang akan meningkatkan keyakinan diri mereka untuk menghadapi pelbagai cabaran.

Antara aktiviti yang dirangka ialah, permainan seperti 'war game', mencipta 'gadjet', masakan suvival, persembahan berkumpulan dan jungle trekking. Semua ahli yang menyertai jambori kali ini merasa puas dan teruja dengan pelbagai program yang diatur.

'Ternyata aktiviti di dalam Jambori Unit Amal sangat berbeza dengan kem-kem yang pernah saya sertai sebelum ini. Ia banyak memberi ilmu dan pengalaman baru kepada saya' kata Ridzuan salah seorang peserta jambori.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh, Ustaz Haidar Taslin selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Kapar. Dalam ucapannya beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh anggota Unit Amal Kapar yang menjayakan dan menyertai Jambori kali ini. Beliau sentiasa ingin melihat agar Unit Amal Kapar sentiasa mempunyai peningkatan dari semasa ke semasa.

Justeru beliau berharap agar ahli di setiap cawangan dan DUN mempunyai inisiatif sendiri untuk menggerakkan Unit Amal di tempat masing-masing. Beliau juga berharap agar Unit Amal sentiasa menerokai aktiviti-aktiviti baru yang digemari oleh golongan muda seperti sukan lasak, kembara meredah hutan, konvoi berbasikal atau bermotor dan sebagainya.

Beliau berharap agar Unit Amal Kapar akan menjadi satu ikon yang mudah didampingi oleh semua golongan muda pelbagai latarbelakang di kawasan Kapar ini. Oleh yang demikian, ahli sedia ada perlu berjiwa besar dan bercita-cita tinggi untuk menjadikan Unit Amal lebih cemerlang kerana ia secara tidak langsung boleh menyampaikan mesej Islam kepada golongan muda dengan cara yang mereka senangi. Insya Allah.

1 comment:

  1. salam amal....
    moga aktiviti dapat diteruskan lg...
    selain dapat mberi kekuatan dr fizikal n mental..ia juga dapat memberi kekuatan secara batiniah..lebih dkt dgn Allah s.w.t...
    moga lebih berjaya dimasa2 akn dtg!!!!

    ReplyDelete