Friday, August 7, 2009

KENYATAAN MEDIA oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (6 OGOS 2009)


Rombongan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyerahkan memorandum kepada YB Ronnie Liu


UMNO PUNCA SEBENAR ISU ARAK DI SELANGOR

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPN Selangor) memandang serius kekecohan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Selangor ekoran isu kawalan penjualan arak sekarang ini. Memang tidak dinafikan bahawa DPPN Selangor membantah tindakan keras Exco Kerajaan Selangor, Y.B Ronnie Liu yang telah campur tangan dalam menghalang penguatkuasa MBSA yang bertindak ke atas premis yang menjual arak secara terbuka. DPPN Selangor juga telah menghantar memorandum kepada Y.B Ronnie tanda ketegasan pihak DPPN Selangor dalam membela isu-isu yang berkaitan umat Islam.

Walau bagaimanapun, DPPN Selangor tidak akan melayan sebarang percubaan Umno Selangor untuk mengeruhkan keadaan ini. DPPN Selangor menolak cadangan untuk berdemostrasi bersama-sama Umno bagi membantah perkara tersebut. DPPN Selangor melihat percubaan Umno untuk memperalatkan isu ini sebagai satu tindakan munafik kerana merekalah sebenarnya punca kekecohan ini. DPPN Selangor percaya isu ini tidak memberi kesan buruk kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, sebaliknya semua masalah ini akan diselesaikan dalam semangat setia kawan.

DPPN Selangor ingin mempertegaskan di sini bahawa isu arak ini bukanlah berpunca daripada DAP atau Kerajaan PR. Tetapi ia adalah berpunca daripada kegagalan dasar-dasar Kerajaan Umno/BN sebelum ini yang telah menyebabkan berlaku kerosakan di negeri ini. Adapun masalah dengan DAP ini hanyalah masalah teknikal pentadbiran sahaja yang boleh diselesaikan secara baik.

Punca utama masalah ini ialah apabila Umno yang memerintah Selangor semenjak 52 tahun lalu dengan sengaja membiarkan arak dijual secara berleluasa. Bahkan, di Selangor sendiri terdapat dua buah kilang arak yang besar yang terletak di kawasan penduduk Melayu. Ternyata slogan ‘Penerapan Nilai-nilai Islam’ dan ‘Islam Hadhari’ yang dilaung-laungkan oleh Umno selama ini adalah palsu semata-mata. Pemimpin Umno sengaja membutakan hati dan mata mereka terhadap kesan-kesan sosial yang timbul akibat arak. Sama ada kita sedar atau tidak, bahawa lebih 4,000 pusat hiburan yang disebut oleh Dr Mohd Khir Toyo itu hampir semuanya menjual arak. Ini belum diambil kira kedai-kedai runcit yang menjual arak seperti 7-Eleven dan juga pasar-pasar raya di seluruh Selangor. Arak pada masa ini dijual secara berleluasa sehingga mendedahkan masyarakat kepada bahaya keruntuhan moral.

Kesan daripada sikap munafik umno ini, telah timbul gejala sosial yang begitu parah dalam masyarakat, bukan sahaja di kalangan remaja, tetapi juga golongan dewasa dan warga emas. Arak yang menjadi ibu segala maksiat dijual secara berleluasa dalam negeri yang kononnya hendak menegakkan Islam Hadhari. Sekarang ini golongan remaja termasuk pelajar sekolah telah terlibat dengan gejala arak yang dibiarkan penjualannya oleh Umno selama ini. Kerana itulah timbul isu-isu sosial seperti dadah, rempit, lepak, buang anak, zina, memandu dalam keadaan mabuk dan sebagainya. Apalah ertinya kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk membangunkan minda rakyat dan meningkat kesihatan masyarakat, tetapi dalam masa yang sama membiarkan arak dijual secara berleluasa.

Atas asas inilah, DPPN Selangor menyalahkan sepenuhnya kepada Umno dalam masalah yang berbangkit ini. DPPN Selangor merasakan bahawa salah satu cara untuk memulihkan masalah sosial dalam masyarakat ialah dengan mengawal penjualan arak ini. Tidak ada sebab bagi DPPN Selangor bekerjasama dengan Umno untuk memperjuangkan isu ini, kerana Umno sendiri adalah punca kepada masalah ini. DPPN Selangor sebaliknya menyokong penuh tindakan MBSA untuk menyita kedai-kedai arak yang tidak mengikut peraturan. Dan tidak timbul bahawa PAS dan DAP berselisih pendapat dalam soal ini, melainkan hanyalah salah faham pentadbiran sahaja.

DPPN Selangor mencabar Umno melakukan bantahan dan tindakan yang serupa terlebih dahulu ke atas negeri-negeri dibawah pemerintahan Umno (BN) sekiranya mereka ingin menfikan yang mereka bukan bermuka-muka dan munafik dalam isu penjualan arak ditempat terbuka ini.


AHMAD ZAIDY ABDUL MUTALIB
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

4 comments:

  1. Aku dah agak, pasti ada yang menjadikan arak ini untuk membuatkan PAS kembali ke pangkuan UMNO dan pasti Kerajaan Perpaduan akan menjadi rencam nya..

    Dan aku pelik, isu ini kembali bergema bila nak dekat PRK.. Sama macam PRK Manek Urai hari tu... Nampak sgt ada tangan dalam PAS yang cuba nk sabotaj PAS dari dalam.

    Dan aku tak nafikan, ada anasir jahat yang sebenarnya saja nk memecahkan pakatan rakyat di SELANGOR dan menabalkan Dato Dr Hasan Mohamad Ali sebagai MENTERI BESAR SELANGOR jika PAS membentuk kerajaan perpaduan dengan UMNO...

    Apa peranan Task Force dalam isu ini...

    Aku tak kata ARAK itu TAK HARAM... Aku wajib kate ARAK itu HARAM untuk orang Islam. Tapi kenapa sekarang ia cuba dijadikan isu. Dan kenapa isu ini ditangani dengan cara yang cukup emosi macam budak-budak baru bermain politik

    Adakah PAS dah cukup kuat nk tadbir Selangor ini sorang-sorang. Atau Dato Dr Hasan Mohamad Ali dah tak sabar nk jadi MB Selangor....

    Pikirkanlah hoi....

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum...

    Saya ni bukan lah ahli pas atau umno, saya cuma seorang pelajar yang tinggal di Shah Alam, saya ada beberapa kemusykilan iaitu apabila isu arak ini timbul ia bukanlah isu politik semata-mata ia melibatkan maruah agama islam yang selama ini yang diperjuangkan oleh parti pas, umno memang akan dicap sebagai pembawa fitnah oleh pas dlm apa2 isu yang boleh menjatuhkan kredibiliti peminpin mereka,

    tapi jika kita lihat disebalik isu ini bukan pasal pilihanraya atau politik negara sahaja ianya melibatkan islam itu sendiri, sekarang ini pas bermatian menuduh umno memporakperandakannya...tapi apa penyelesaian pas dalam isu ini...

    pas cakap umnolah membenarkan arak dijual, tapi apabila pas memegang portfolio agama islam di Selangor kenapa mereka tak haram arak di Selangor malah makin bertambah arak di Selangor, sampai kedai runcit kecil2 pun ada...tak kira lagi rumah urut yang tumbuh bagaikan cendawan...

    klu dulu bukan main lagi sampai nak tutup kilang calsberg tu, tapi ternyata peranan yang dimainkan pas setakat ini di Selangor amat sedikit...mcm tak nampak langsung pun ada...sepatutnya jika umno tak dapat lakukan (HARAMKAN ARAK)semasa mereka memerintah selangor, pas sepatutnya melakukannya sebab telah diberi kuasa oleh rakyat, bukan jadi lebih teruk dari apa yang umno buat, nak kata pas bina surau atau masjid pun x nampak jgk...sekarang ada ura2 nak guna wang zakat pula untuk perbangunan di Selangor...saya tak pasti samaada pas boleh memastikan yang wang tersebut akan digunakan mengikut syariat Islam...sbb isu arak pun pas tidak mampu nak tak atasi...

    saya hanya melihat pas hanya dok sibuk nak jaga hubungannya dengan ahli PR yang lain bukan memperjuangkan agama Islam seperti yang diwar-warkan, pas lebih tertarik untuk menangkis sabotaj terhadap parti daripada menangkis sabotaj terhadap agama islam itu sendiri...

    sebelum saya mengundur diri saya ingin ambil petikan dari kata2 tok guru lbih kurang mcm ni "Pas sanggup berkawan dengan syaitan jika ianya menolong perjuangan Islam"...adakah sekarang ini syaitan itu telah memperjuangkan islam..? ingatlah bahawa pada hakikatnya syaitan tak akan melihat islam diperjuangkan...amalkanlah politik dakwah, bukan dakwah politik....sbb diakhirat kelak ustaz2 dan para ulamak dalam PAS akan disoal terlebih dahulu...berbanding orang biasa seperti umno....Takbir..katakanlah yang benar walaupun pahit untuk ditelan..

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum wrt wbt...

    Terima kasih atas komentar teman2 yg beri pandangan dlm isu ini. Sy melihat ada beberapa perkara positif telah berlaku sejak kewujudan laman blog DPPK Kapar ini. antaranya :

    1. Tahniah kpd Pemuda PAS Kapar krn berjaya menyediakan satu platform utk pimpinan, ahli, dan masyarakat massa melontarkan idea, pandangan, mesej dan luahan hati seta perasaan dlm blog yg sy kira x lah seberapa ni jika nak dibandingkan dgn blog2 massa yg ada di M'sia.

    2. Sudah ada pihak luar yg bukan ahli PAS sudi utk berkongsi pendapat, pandangan, idea, gagasan dan sebagainya melalui wadah rasmi PAS di peringkat DPPKK ini. Kita berharap suasana ini akan berterusan bagi merealisasikan Konsep "PAS FOR ALL" yg sering dicanangkan.

    3. Komentar dan pandangan pelawat2 blog merupakan mesej yg sangat penting utk mendapatkan maklumbalas dan respon masyarakat terhadap isu2yg berlaku kpd PAS sendiri samada di peringkat negara, negeri, kawasan, Parlimen, DUN, cawangan atau masyarakat setempat. Ianya boleh dijadikan sbg maklumat, data dan kayu ukur bgmn kedudukan PAS khususnya Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar sendiri di mata masyarakat.

    4.Blog Syababkapar ini juga boleh menjadi medium terbaik utk mempromosikan DPPKK dan PAS sendiri kpd masyarakat secara mudah n murah. X perlu kos melainkan komitmen idea, tenaga dan masa shj.

    Berkaitan isu arak ini, sy lihat komen2 pembaca ibarat mengata dlang paku serpih, mengata orang dia yg lebih....

    Kenapa tuduh PAS politikkan isu arak...sedangkan dlm masa sama tuduh Dr. Hassan dgn mcm2 isu. Nak jd MB, nak tadbir Selangor n lain2.

    Pada sy, PAS tlh melaksanakan tgjwb yg besar dlm hal ini. Dlm keadaan tiada pihak yg berani membangkitkan isu arak, x kira sejak UMNO memerintah atau skrg, tp PAS dgn lantang tlh menyuarakannya.

    Sepanjang 52 thun pemerintahan UMNO, x pernah parti itu berani menyuarakan penentangan terhadap arak.

    Bahkan sejarah membuktikan pemompin UMNO lah yg menjuarai pembelaan artis2 dan org Melayu yg terlibat dgn kes arak. Teman2 penguatkuasa di JAIS, MAIWP dan negeri lain sering mengadu, setiap kali tangkapan dibuat, ada sahaja gangguan tangan2 politik ghaib utk melindungi isu ini. Tidakkah ini memalukan ?

    Apa yg saya lihat, komen2 ahli & pimpinan UMNO dlm isu arak ini hanya sekadar komen utk memecahbelahkan kjn PR shj. Tidak lebih dr itu. Buktinya, komen2 dr pemimpin UMNO hanya sekadar menyelar kesepakatan pimpinan PR shj, tp langsung x menunjukkan penentangan arak utk dijual kpd umat Islam.

    Hakikatnya, negeri2 di bawah UMNO yg masih jual arak secara berleluasa pulak yg berani komen dgn lantang terhadap Dato' Hassan Ali. Nak tergelak sy bila bc komen Ali Rustam dlm isu arak ni. Klu PAS betul nak perjuang Islam, sila keluar dr Pakatan Rakyat. Ibarat cerita lawak jenaka je.

    Sekurang2nye pemuda PAS telah menyahut seruan menentang arak ini dengan menaikkan banner dan sepanduk sbg kempen membebaskan umat Islam dr Najis Arak. UMNO bila lg??? Klu betul nak perjuang Islam, kenapa x berani. Takut MIC dan MCA marah..??

    Terpulang kepada para pembaca utk menilainya.

    Sekian. Wallahua'lam bissowab.

    Wassalamualaikum wrt wbt.

    ReplyDelete
  4. Salam,
    terima kasih atas komen yg diberi. Kepada rebok & Anonymous, segala persoalan anda terjawab kalau anda beli Harakah (mukasurat depan gambar Anwar Ibrahim). Harakah keluaran ini banyak memperincikan persoalan arak dari aspek agama, perundangan, sejarah di Selangor dan macam2 lagi.

    Andai anda adalah ahli PAS, maka berpeganglah dengan tarbiyyah sebagai ahli. Wala' dengan pimpinan. Jangan bersangka buruk dgn pimpinan. Yakini apa yg dilakukan adalah yg terbaik untuk jamaah Islam dan masyarakatnya.

    Andai anda adalah masyarakat terbanyak, lihatlah dengan mata hati. Umur 1 tahun 4 bulan PAS membuat yg terbaik walau tidak sempurna, berbanding 51 tahun tidak pernah dibangkitkan. Lihat dan timbanglah dengan adil.

    Jangankan bapak gajah bersaiz 50 tan 50 tahun depan mata tak nampak, kuman halus bersaiz 1 tahun 4 bulan yg nak dibesarkan.

    Bukankah Allah berfirman "Harus ada dari kamu golongan (orang-orang) yang mengajak kepada kebaikan dan menganjurkan segala ma'ruf (yang baik) dan mencegah mungkar dan merekalah orang-orang yang beruntung (bahagia)." bukankah cantik?

    jangan pula kita digolongkan seperti yg disebutkan oleh nabi S.A.W "Sesungguhnya diantara manusia itu ada yang menjadi pembuka untuk kebaikan dan penutupan dari kejahatan, dan ada juga manusia yang menjadi pembuka kejahatan dan penutupan kebaikan, maka sesungguhnya untung bagi orang yang dijadikan Allah s.w.t. sebagai pembuka kebaikan dan binasa bagi yang dijadikan Allah s.w.t. pembuka kejahatan itu ditangannya."

    Andai hendak dihujahkan berkenaan 'PAS berkawan dgn syaitan'ruang ini amat terhad utk dibincangkan. Insya'allah DPPK akan menyediakan ruangan untuk dibincangkan hal tersebut dengan lebih lanjut. Terima kasih.

    Lajnah Penerangan & IT DPPK

    ReplyDelete