Monday, August 24, 2009

KENYATAAN RASMI: Sempena Ramadhan Al Mubarak dan Hari Kemerdekaan ke-52

'Merdeka Dunia, Merdeka Akhirat'

Itulah ungkapan yang sesuai digunakan sempena kehadiran Ramadhan dan sambutan Hari Kemerdekaan yang datang serentak pada tahun ini. Kemerdekaan hakiki yang dituntut oleh Allah SWT iaitu merdeka di dunia & akhirat.

Merdeka bukan sekadar bebas dari kuasa penjajah yang menakluk dan menguasai tanah tumpah darah. Merdeka juga bukan sekadar mendapat kuasa pemerintahan dari negara penjajah. Tetapi hakikat merdeka amatlah luas, bukan terbatas dalam dimensi kebebasan dunia, bahkan hingga melangkau kepada kebebasan di akhirat.


Apalah gunanya sekadar merdeka di dunia, tetapi kita dibelenggu dengan api neraka Allah SWT. Apalah gunanya bebas dari penjajah, tetapi akal, minda dan fahaman masih dibelenggu dengan fahaman dan ideology yang ditinggalkan oleh Barat. Sheikh Ibnu A’la Al-Maududi pernah mengungkapkan kata yang masyhur selepas pembebasan negara India oleh kuasa penjajah British : “Telah pergi penjajah berkulit putih (bangsa Inggeris), dan tinggallah penjajah berkulit hitam (bangsa India).

Justeru itu, kemerdekaan sebenar adalah bila manusia dapat tunduk kepada perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan Allah. Kemerdekaan juga adalah bila manusia meletakkan ajaran Islam sebagai pegangan hidup yang utama dan menolak segala fahaman yang bercanggah dengan Islam.
Dalam ucapan kalimah Syahadah “ لا إله إلا الله ”, ia mengandungi dua konsep sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama sebagaimana berikut :

1. Konsep an-Nafyu : Penafian
Kalimah لا إله memberi maksud tidak ada tuhan (ilah). Ia bermaksud penafian kita terhadap segala jenis dan bentuk tuhan, fahaman, ideologi dan pemikiran yang bercanggah dengan Islam.

2. Konsep al-Ithbat : Penegasan
Kalimah إلا الله adalah penegasan bahawasanya hanya Allah sahajalah satu-satunya tuhan yang layak disembah dan tidak boleh dipersekutukan dengan tuhan-tuhan yang lain. Ia juga bermaksud hanya ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah SWT sahajalah yang menjadi pegangan hidup kita dalam kehidupa di dunia ini dan menolak ajaran dan fahaman yang bercanggah dengan Islam.

Inilah satu bentuk pembebasan yang sebenarnya diajar oleh Islam kepada seluruh makhluk manusia. Iaitu membebaskan diri mereka daripada penyembahan makhluk, kepada penyembahan hanya kepada Allah SWT.

Marilah kita sama-sama mengambil pengajaran dari kata-kata yang pernah diucapkan oleh Panglima Tentera Islam, Rubai bin Amir yang dihantar oleh Khalifah Umar bin Al-Khattab untuk melawan tentera Parsi. Apabila beliau ditanya oleh Panglima Tentera Parsi, Rustum : “Apa yang mendorong kalian datang ke negeri kami?”

Ruba’i yang berdiri tegak penuh wibawa, menjawab dengan tegas, “ Kami datang untuk membebaskan manusia dari penyembahan sesama manusia kepada penyembahan hanya kepada Allah. Juga membebaskan mereka dari kesempitan dunia kepada keluasannya. Serta membebaskan mereka dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”
(al-Bidayah wa an-Nihayah)

Istimewanya, Sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun 2009 kali ini hadir bersama Bulan penuh kemuliaan bagi umat nabi Muhammad SAW iaitu bulan Ramdhan.

Suatu bulan yang dijanjikan oleh Nabi SAW bahawa Allah akan menurunkan rahmat, maghfirah dan pembebasan dari api neraka jahannam. Oleh itu, alangkah berutungnya bagi para hamba yang dapat menggunakan kesempatan ini untuk meraih tawaran dan ganjaran hebat daripada Allah SWT untuk para hambanya yang benar-benar bersungguh mendapatkan ganjaran tersebut. Sementara, celakalah bagi manusia yang mempersiakan Ramadhan dengan tidak melakukan amalan-amalan yang boleh meraih kemapunan dan keredhoan Allah SWT.

Dari Ka'ab bin Ujrah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda, "mendekatlah kalian ke mimbar!" Lalu kami pun mendekati mimbar itu. Ketika Rasulullah menaiki tangga mimbar yang pertama, beliau berkata, "Amin." Ketika menaiki tangga yang kedua beliau juga berkata, "Amin." Ketika beliau menaiki tangga yang ketiga pun beliau berkata, "Amin,". Setelah Rasulullah turun dari mimbar, kami pun bertanya, "Ya Rasulullah, sungguh kami telah mendengar dari engkau pada hari ini sesuatu yang belum pernah kami dengar sebelumnya."Rasulullah bersabda, "Ketika aku menaiki tangga yang pertama, Jibril muncul di hadapanku dan berkata, "Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan yang penuh berkah, tetapi tidak memperoleh keampunan." Maka aku berkata, "Amin."Ketika aku menaiki tangga yang kedua, Jibril berkata, "Celakalah orang yang apabila namamu disebutkan, dia tidak bershalawat atasmu," Aku pun berkata, "Amin." Dan ketika aku melangkah ke tangga yang ketiga, Jibril berkata, "Celakalah orang yang mendapati ibu bapanya yang telah tua atau salah satu dari keduanya, tetapi keduanya tidak menyebabkan orang itu masuk surga."Aku pun berkata, "Amin."

Di kesempatan ini Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan dan Kullu Am Wa Antum Bi Khair kepada seluruh umat Islam umumnya dan kepada seluruh pemuda–pemuda Islam khusunya. Kami juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-52 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Semoga kemerdekaan yang dikecapi ini berkekalan dan dipelihara oleh Allah SWT. Semoga kemerdekaan ini mampu menjadi momentum untuk kita mencapai kemerdekaan yang hakiki di akhirat sempena kehadiran Bulan Ramadhan Al-Mubarak 1430 Hijriyyah ini.

Takbir..Allahuakbar


Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar

No comments:

Post a Comment