Saturday, May 21, 2011

PASTI KAWASAN KAPAR PASTI TERBAIK NEGERI SELANGOR 2011

Tanjong Karang, tahniah diucapkan kepada PASTI Kapar kerana telah dianugerahkan PASTI terbaik peringkat negeri Selangor 2011. anugerah ini telah disampaikan ketika muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor di Dewan Dato Hormat, Tanjong Karang baru-baru ini. PASTI Kapar telah memenangi kategori A, anugerah ini telah dirangkul dua tahun berturut-turut.
Bookmark and Share

Wednesday, February 9, 2011

Pengalaman PAS cerminan Halatuju Revolusi Mesir

Bookmark and Share

Satu perkara yang menarik dalam peristiwa yang sedang memahat sejarah di bumi Mesir sekarang ini ialah peranan Ikhwanul Muslimin. Ramai di kalangan pemerhati politik dan aktivis gerakan Islam sedang ternanti-nanti apakah gerakan atau taktikal politik yang sedang dilakukan oleh pertubuhan itu.

Ikhwanul Muslimin sebenarnya sebuah gerakan yang sangat berpengaruh dan mempunyai kekuatan yang luarbiasa di Mesir. Walaupun sudah berpuluh tahun mereka ditekan dengan pelbagai asakan dari pihak kerajaan, tetapi mereka mampu bertahan bahkan menjadi lebih baik dan tersusun dalam keadaan yang tidak diketahui umum dan pihak kerajaan.

Bahkan, masyarakat umum khasnya aktivis gerakan Islam rasanya tidak sabar untuk melihat Ikhwanul Muslimin untuk segera bertindak menghapuskan Hagemoni Politik Presiden Hosni Mubarak. Namun, Ikhwanul Muslimin tetap sabar menanti detik yang sesuai untuk mencorak politik baru di bumi Mesir.

Hakikatnya, Ikhwanul Muslimin bukan hanya menghadapi Presiden Hosni Mubarak, tetapi yang lebih difikirkan adalah kuasa di belakangnya iaitu Amerika dan Israel yang menguasai dunia hari ini. Cukuplah tohmahan Gerakan Islam sebagai pengganas yang dicanang oleh mereka menjadi ukuran, sudah memberi pengaruh besar kepada dunia terhadap Islam hari ini.

Justeru, Ikhwanul Muslimin perlu menjadi lebih bijak agar tindak tanduk mereka tidak memangsakan diri dan seluruh rakyat Mesir. Seandainya, mereka hari ini dilihat sebagai juara dan meminpin kebangkitan rakyat Mesir menentang Hosni Mubarak sudah tentu Amerika dan Israel akan segera campur tangan dengan alasan menghapuskan apa yang mereka katakan sebagai keganasan! Ini akan memburukkan masa depan seluruh negara Mesir.

Justeru, pilihan yang mereka ada ialah pengalaman yang telah digunapakai oleh sebuah Gerakan Islam di nusantara yang telah berjaya meniti situasi getir dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan menghadapi tohmah musuh dan membina imej yang baik serta diterima masyarakat umum termasuk bukan Islam. Gerakan Islam ini ialah Parti Islam Semalaysia (PAS).

Kehadiran Al-Baradei sebagai seorang individu berpengaruh dan mempunyai nama baik di mata dunia kerana pernah menerima anugerah Nobel dan juga pernah mengepalai IAEA iaitu sebuah agensi nuklear di bawah PBB merupakan cerminan kemunculan Anwar Ibrahim memimpin gerakan rakyat di Malaysia pada tahun 1999.

PAS telah berjaya mencipta pelbagai formula beru dan dilihat sangat berjaya dalam menghadapi gelombang fitnah barat dan media kerajaan yang menjadi halangan besar kepada mana-mana gerakan Islam seluruh dunia. Pendekatan PAS yang toleran dan berhati-hati telah memerangkap musuh yang selama ini memberikan pelbagai tanggapan negatif kepada parti itu dan ideologi Islamnya. Hasilnya, bukan sahaja PAS telah dilihat sebagai sebuah parti yang mendokong Islam yang menjadi aset kelebihan yang tidak ada dalam parti politik yang lain bahkan ia telah menarik perhatian golongan bukan Islam yang semakin memahami perjuangan mereka itu.

Justeru, tanpa ragu-ragu lagi Ikhwanul Muslimin telah mengambil pendekatan yang hampir serupa agar fitnah besar barat tidak lagi menjadi pemusnah cita-cita mereka. Ikhwanul Muslimin telah mengangkat Al-Baradei sama seperti PAS mengangkat Anwar Ibrahim. Ikhwanul Muslimin menyeru agar pembangkang di Mesir bersatu sama seperti PAS bersatu di dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Ikhwanul Muslimin menyeru kebangkitan rakyat bukan menjuarainya sama seperti PAS menyeru seluruh rakyat menentang rasuah dan penyelewengan bukan memaksa mereka menerima Islam. PAS dan Ikhwanul Muslimin menggunakan jalan demokrasi untuk menyampaikan dakwah Islam kepada seluruh rakyat.

Bukan dengan tujuan untuk banding-membanding, tetapi keistimewaan dan kebijaksanaan PAS telah menjadi cerminan halatuju gerakan-gerakan Islam seluruh dunia pada hari ini.

Monday, January 31, 2011

Tenang yang memberikan Pengajaran

Bookmark and Share

Pelbagai reaksi kekalahan PAS di DUN Tenang akan dapat kita saksikan melalui siaran media sepanjang minggu ini. Pun begitu, ayuh kita saksikan ia sebagai satu pengajaran dan pembelajaran kita dalam merentasi arus perjuangan yang panjang ini.


Kejadian banjir di Tenang ketika hari pengundian bukanlah satu ciptaan dan perancangan manusia yang boleh kita rencanakan. Ia adalah rahmat Allah yang kita semua perlu yakini bahawa ia adalah sesuatu yang bakal menjadi pemangkin kemenangan Islam yang kita tak tahu bila dan bagaimana ia datang.


Tumpuan kita adalah kepada gerakerja yang wajib untuk dilaksanakan, sebijak dan sedaya mungkin. Selebihnya adalah hak Allah swt untuk menentukan. Justeru, tawakkal kita mesti dimulai dengan analisa yang dalam untuk mengetahui kelemahan yang wujud dalam melaksanakan gerakerja kita bagi
menampungnya untuk menghadapi pilihanraya umum untuk merentas jalan kemenangan Islam.

Kemenangan BN dalam PRK Tenang, tidak seharusnya menggusarkan kita. Mungkin ia adalah 'makar' (perancangan) Allah swt untuk menjadikan kita lebih bersedia dan membuatkan musuh dibuai dalam zon selesa.

Hakikatnya, kemenangan mereka dengan undi sebanyak 6699 undi pad
a PRK ini berbanding PRU 2008 sebanyak 6367 undi hanya berjaya menambah sebanyak 332 undi sahaja yang dicampur dengan undi pos. Sesuatu yang sangat tidak berbaloi dengan pelaburan berjuta-juta dan janji-janji manis. Kesimpulannya, BN sebenarnya telah gagal untuk menagih kembali undi mereka pada tahun 2004.Kegagalan PAS mungkin berpunca kerana kita banyak bertumpu kepada aktiviti kempen secara makro. Mungkin aktiviti kita perlu bertukar corak kepada mikro pula. Biasanya kita hanya berkempen dengan aktiviti ceramah umum, ceramah kelompok, edar risalah, ziarah yang boleh dilihat dan disaksikan dengan mata kasar kawan dan lawan. Aktiviti ini sudah terlalu biasa dan mungkin dianggap oleh pengundi biasa sebagai sesuatu yang tiada apa-apa.

Aktiviti kempen yang boleh dilihat mata kasar ini, mungkin kita perlu seimbangkan dengan aktiviti kempen secara mikro juga. Antara kempen mikro yang kita boleh lakukan ialah melalui Kumpulan 10. Ia perlu digerakkan dan dijayakan terutama kepada pengundi atas pagar. Ketua kumpulan ini perlu memastikan pegangan politik anak buahnya tidak goyah sehingga hari mengundi dan tidak berhalangan untuk mengundi. Ia perlu dilakukan secara senyap dan tersusun.

Jaringan pengaruh kita juga boleh dilakukan secara mikro, contohnya anggota PAS perlu menguasai pertubuhan-pertubuhan dan kumpulan-kumpulan masyarakat. Justeru, anggota PAS perlu ditarbiyah bukan sahaja meliputi hal aqidah dan akhlak, tetapi juga perlu menitik bertakan kepada hal kepimpinan dalam masyarakat. Jika pertubuhan dan kumpulan dalam masyarakat ini telah kita kuasai, maka lebih mudahlah untuk menyebarkan pengaruh dalam masyarakat.

Anak-anak muda yang celik IT juga perlu didedahkan dengan politik. Hakikatnya, semakin besar jumlah mereka yang tidak hirau bahkan menyampah dengan gelagat orang politik yang jauh dari mereka. Hal ini perlu ditangani segera agar mereka menjadi pemangkin kepada kemenagan kita.

Gerakerja hari mengundi pula tidak seharusnya ditumpukan kepada merayu undi dan pondok panas sahaja. Malah yang lebih penting adalah menjemput dan menghantar pengundi terutamanya mereka yang susah dan pengundi rapuh (atas pagar). Gerakerja ini perlu selari dengan Kumpulan 10. Kegagalan utama kita di Tenang mungkin disebabkan faktor ini. Jika dilihat, peti undi yang sebelum ini kita menang, jumlah keluar mengundi hanya sekitar 50 % sahaja berbanding di kawasan tumpuan BN mereka berjaya meraih sehingga 80% jumlah keluar mengundi.

Begitu juga faktor pengundi luar yang kita hanya harapkan mereka pulang, tanpa menjejak dan membawa mereka ke tempat mengundi. Dikatakan sejumlah 500 pengundi luar tidak pulang pada hari mengundi di Tenang.

Justeru, tawakkal kita kepada Allah swt mungkin tersilap kerana banyak kerja-kerja yang tidak kita laksanakan. Ayuh kita kembali rapatkan saff perjuangan. Muhasabah dan kembali bekerja untuk memenangkan Islam. Perjuangan ini masih panjang dan jangan sekali-kali berputus asa.
Allahu akbar!!

Saturday, January 29, 2011

SeTENANG dan seredup Cikgu Mala

Bookmark and Share

Walaupun kempen PRK N05 Tenang berbaki tinggal beberapa jam lagi, namun suasana redup tetap menggenangi kawsan pilihanraya ini. Ia benar-benar tenang dan redup walaupun biasanya suasana PRK adalah panas dan penuh emosi. Ditambah dengan mendung yang sekejap-sekejap gerimis dan hujan, pasti meredupkan lagi suasana di sini.

Jajaan isu yang meluap dan mengganas tetap menjadi tenang persis nama DUN PRK itu. Ia tampak tenang dengan wajah redup calon Pakatan Rakyat iaitu Cikgu Mala. Siapa sangka, seorang muslimah melayu yang tipikal berpangkat guru sekolah mampu menggegarkan dunia sepak terajang politik nasional dan mengundang perhatian seluruh rakyat Malaysia.

Cikgu Mala yang sebelum ini duduk mengajar di kelas anak-anak muridnya, telah mampu membina 'kelas'nya yang tersendiri di dalam dunia politik tanahair. Biarpun keputusan PRK N05 Tenang belum terjawab, namun Cikgu Mala telah menang di sana dan di sini.

Cikgu Mala menang dari sudut penampilan muslimahnya, kerana ia bukan lagi satu halangan tetapi merupakan aset penting buat dirinya. Nyata penampilannya itu bukan hanya disenangi oleh kawan dan lawan bahkan ia telah merentasi sempadan kaum dan agama. Siapa sahaja yang mempertikaikan penampilan muslimahnya itu hanya ibarat menepuk air di dulang. Padan muka MCA dan Chua Soi Lek!!

Cikgu Mala menang dengan kemesraannya kerana beliau mewakili majoriti rakyat marhaen di bumi Felda dan kampung tradisi melayu ditambah dengan keikhlasan beliau yang tampak ketara tanpa janji-janji politik pasca pilihanraya yang memualkan! Beliau adalah Cikgu Mala yang serupa di hadapan semua pengundi tanpa mengira melayu, cina atau india. Kata-kata dan ucapan Cikgu Mala hanya lahir dari sanubarinya yang tulus bukan dari jiwa gejolak politikus.

Cikgu Mala menang dengan lebih besar apabila pencalonannya yang mungkin di pandang enteng oleh pihak lawan akhirnya telah memaksa mereka mengerah seluruh jentera untuk menghadapi tubuh kering Cikgu Mala. Tidak cukup dengan jentera parti, kini seluruh jentera kerajaan, Felda malah media dijojol sehabisnya hanya untuk menghadapi Cikgu Mala. Seluruh pak menteri dan wakil-wakil rakyat BN yang terasa ingin bertanding lagi juga terpaksa tunjuk muka di Tenang. Mereka datang bukan dengan poket kosong. Sekurang-kurangnya hamper dan beras bolehlah dirasai oleh penduduk Tenang.

Tidak apalah kalau Cikgu Mala dan suaminya dijadikan mangsa sedayusnya kalau rakyat di Tenang yang memperolehi hasilnya. Bukan sedikit janji yang bakal diperolehi oleh rakyat di sini, sebijaknya perlu dicatat satu persatu dan dijaja sebaik mungkin agar ia dilaksana. Perjuangan Cikgu Mala melalui PAS sudah tampak hasilnya dan mencapai matlamatnya. Sangat besar mesej yang berjaya Cikgu Mala hantarkan kepada pengundi Tenang dan seluruh rakyat Malaysia.

Kini bukan lagi soal siapa menang dan kalah dalam pilihanraya. Soalnya adalah kebenaran dan keikhlasan yang diperlukan dalam perjuangan Islam, kembali diperingatkan oleh seorang serikandi Muslimah. Ia adalah hasil tarbiyah dan perjuangan PAS yang hakiki. Sebenarnya, ramai lagi orang yang seperti Cikgu Mala di dalam PAS, hanya lensa yang belum tertumpu ke arah mereka.