Friday, September 18, 2009

UCAPAN: Salam Aidilfitri dari Dewan Pemuda PAS Kapar

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
La Ilahaillaulahu Allahu Akbar,
Allahu Akbar walillahil Hamdu.

Al-hamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah swt kerana nikmat-nikmat yang tidak pernah putus bahkan ditambah-tambahnya lagi. Kehadiran Aidilfitri kali ini mudah-mudahan akan disambut dengan suasana yang indah dan penuh rasa ketaqwaan. Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar saya mengucapkan Salam Aidilfitri, salam kemenangan buat semua muslimin dan muslimat yang wajib merayakannya.

Aidilfitri ini merupakan perayaan yang istimewa untuk umat Muhammad saw. Kita merayakannya dengan penuh penzahiran rasa gembira sebagai mensyiarkan suruhan Allah swt bahawa agama Islam itu adalah agama yang membawa kegembiraan untuk umatnya. Apatah lagi rasa gembira yang kita zahirkan itu menjadi ibadah pula pada hari yang indah ini dan ia menjadi kekal dengan pahala yang diperolehi sehingga hari akhirat nanti.

Benar Islam itu sangat indah sehingga kegembiraan menjadi satu perkara yang dituntut dalam kita merayakan Aidilfitri. Namun, ia juga dibatasi dengan rasa keimanan hasil tarbiyah Ramadhan supaya kegembiraan itu disambut dengan tertib dan tidak melampau apatah lagi melewati batas syariat.

Namun amat malang bagi kita umat Islam di Malaysia apabila suasana Aidilfitri yang bakal menjelang ini bakal juga disambut dengan perayaan yang mengguris hati dan luhur iman kita, apabila kerajaan Malaysia membenarkan penganjuran konsert 'Black Eyed Peas' seawal hari ke-6 dalam bulan syawal ini.

Bukan sahaja penganjuran konsert berkenaan yang biasanya mengundang pelbagai gejala negatif dan perlanggaran syariat apabila dibenarkan umat Islam yang jahil menyertainya bahkan lebih malang lagi ia boleh menjahanamkan akidah mereka pula. Ini disebabkan penganjuran konsert tersebut pada kali ini bukan sahaja untuk mempamerkan aksi tarian dan muzik tetapi agenda besarnya ialah bagi menyambut ulang tahun ke-250 'Athur's Day' iaitu kelahiran syarikat arak terkemuka dunia, Guinness.


Ironinya ia bakal berlaku seusai umat Islam menyambut Ramadhan dan ketika menyambut aidilfitri pula. Ia bakal berlaku di sebuah negara yang majoritinya umat Islam dengan majoriti pemimpinnya adalah melayu Islam. Justeru, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar menyelar penganjuran konsert dan sambutan ini dan menggesa pihak-pihak lain yang bertanggungjawab seperti JAKIM, Mufti dan Jabatan Agama Islam untuk bersuara menegur sikap penganjur dan juga penguasa yang membenarkannya.


Sempena Aidilfitri ini juga, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar ingin berpesan agar kegembiraan yang kita sambut pada Aidilfitri ini juga tidak sepatutnya kita hidangkan dengan adegan-adegan kesedihan yang tidak dituntut tetapi menjadi kebiasaan. Memang menjadi lazim untuk kita mengingati sesorang yang telah pergi meninggalkan kita sebagai tanda kasih. Namun ingatan itu seharusnya diiringi dengan doa kesejahteraan bukan dengan tangisan dan ratapan yang tidak bermakna. Tambah pilu apabila hidangan media juga turut didendangkan dengan lagu-lagu sedih Aidilfitri dan drama-drama yang menyayat hati.


Justeru, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar ingin mengajak muslimin dan muslimat agar meninggalkan amalan yang tidak menjadi sunnah Aidilfitri ini. Ayuh kita bangunkan jiwa umat Islam untuk merasai nikmat kegembiraan kemenangan setelah kita berperang dengan hawa nafsu yang sebenarnya menjadi punca kejahilan dan seterusnya menghalang kepada kejayaan umat Islam itu sendiri.

Ramadhan telah mengajar umat Islam bahawa mereka mampu mengorbankan tuntutan hawa nafsu mereka demi suruhan Allah swt. Oleh itu, kita juga harus memahami dan menghayati konsep ini untuk dibawa dalam kita merealisasikan matlamat menegakkan Islam yang syumul itu. Korbankanlah kepentingan diri, kesenangan dunia, kehebatan pangkat, kelicikan politik demi menegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliyah.

Akhirnya, mewakili saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar saya ingin memohon keampunan dari semua umat islam khususnya saudara dan kenalan kami serta rakyat di Kawasan Kapar ini. Sesungguhnya terlalu banyak kelemahan dan kelalaian kami dalam melaksanakan amanah dakwah yang terlalu berat ini. Doakanlah agar kami sentiasa diberi kekuatan oleh Allah swt dan sentiasa dilimpahi berkat dn rahmatnya.

Sesungguhnya, kami amat mengharapkan sokongan dan dokongan padu selagi kami berada dilandasan kebenaran ini. Sebaliknya, berilah peringatan dan perbetulkanlah kami seandainya kami semakin lalai, leka dan dekat dengan kesilapan.

Saya mengambil kesempatan ini ingin menjemput semua untuk menikmati kesederhanaan di Majlis Mesra Aidilfitri Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar dan Pelancaran PASTI Little Syabab pada 4 Oktober 2009 (Ahad) jam 4.00 petang hingga 7.00 malam di No 20, Jalan Gamelan 1B, Bandar Bukit Raja, Klang. Semoga kehadiran anda akan mempertautkan ukhuwah yang tinggi nilainya di sisi Allah swt.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar..
Walillahil Hamdu.

Maaf Zahir dan Batin.

Ketua,
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar

2 comments:

  1. Terima kasih kerana ziarah ye PakKaramu.
    Selalu-selalulah mampir sini lagi

    ReplyDelete