Monday, October 26, 2009

KENYATAAN MEDIA : DPPK Kapar Arah Pemuda Patuhi Arahan

Merujuk kepada Kenyataan Rasmi Presiden PAS berkenaan soal kepimpinan jamaah PAS yang sedang diperkatakan sekarang, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar (DPPK) mengarahkan supaya ahli pemuda PAS kawasan Kapar supaya mengikuti arahan dan tidak membuat andaian dan spekulasi sendiri berkenaan isu tersebut.

Seandainya terdapat pertanyaan-pertanyaan daripada penyokong-penyokong mahupun orang awam tentang isu ini, bolehlah dijelaskan bahawa "Tuan Presiden telahpun mengarahkan Dato’ Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini."

Teruslah beristiqamah dalam perjuangan, sabar dengan ujian, berbaik sangka terhadap pimpinan dan doa jadikan amalan.

Mohd Azeman Muhammad Yunus
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kapar

=====================================================


KENYATAAN RASMI PRESIDEN PAS:
“Isu Dalaman Parti Islam SeMalaysia (PAS)”

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

PAS adalah merupakan sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah yang ditubuhkan sejak dari tahun 1951 dan pernah berhadapan dengan suasana yang lebih getir dalam lipatan sejarah perjuangannya. Semuanya berjaya dihadapi dan terus menerus mematangkan organisasi parti sehinggalah PAS mencapai kedudukan yang ada pada masa kini.

Sehubungan dengan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini. Persoalan yang timbul ini tidak akan dapat diselesaikan menerusi penggunaan media massa dan media baru. Ianya perlu diselesaikan secara musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya.

Saya juga sudah mengarahkan Dato’ Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini. Kita berdoa agar Allah SWT senantiasa memberikan taufik dan hidayah Nya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
6 Zulkaedah 1430 H bersamaan 25 Oktober 2009

Thursday, October 8, 2009

BERITA : Pelancaran Cawangan PASTI 'Little Syabab'

Ketua Pemuda DPPK Kapar, Ust Haidar Taslin di samping bunting Pelancaran PASTI Little Syabab

Satu lagi cawangan Pusat Asuhan Asuhan Tunas Islam (PASTI) bagi kawasan Kapar bakal dibuka di Bandar Bukit Raja, Klang pada permulaan tahun hadapan.

PASTI yang diberi nama 'Little Syabab' akan dikelolakan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar sendiri ini, merupakan tadika pertama yang akan dibuka di kawasan perumahan Bandar Bukit Raja. Ianya secara tidak langsung memberi peluang kepada ibubapa untuk menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan pendidikan pra-sekolah di sini.

PASTI Little Syabab telah dirasmikan oleh Saudara Sabki, Naib Ketua Pemuda DPP Pusat pada 4 Oktober lalu di bangunan PASTI Little Syabab dekat Bandar Bukit Raja, Klang. Majlis turut dihadiri oleh YB. Dr. Abd Rani dan ahli jawatankuasa PAS Kawasan.

Sehingga kini terdapat 16 buah PASTI yang beroperasi di sekitar kawasan Kapar dengan pelajarnya seramai 1700 orang dibantu oleh seramai 80 orang guru. Ditanya kepada Pengurus PASTI Kawasan Kapar, Ust Fikri Bustami, tentang perancangan PASTI akan datang, DPPK berhasrat menambah 2 lagi cawangan baru untuk tahun hadapan.








BERITA : Majlis Mesra Aidilfitri Pemuda PAS Kapar Jalin Kemesraan


Dalam kemeriahan Aidilfitri yang masih terasa, Dewan Pemuda PAS Kapar menganjurkan program rumah terbuka 'Majlis Mesra Aidilfitri' pada hari Ahad, 4 Oktober yang lalu di Pejabat Dewan Pemuda PAS Kapar dekat Bandar Bukit Raja.

Walaupun berada dalam 15 Syawal, program yang diadakan ini bermula jam 4.00 petang sehingga 7.00 malam berjaya mengumpulkan ahli-ahli pemuda PAS sekitar kawasan Kapar termasuk ahli keluarga masing-masing.

Selain DPPK dan ahli-ahli pemuda pas Kapar yang hadir, masyarakat kawasan kejiranan perumahan Bandar Bukit Raja turut diundang. Kehadiran masyarakat setempat termasuk dari bangsa Cina dan India amat memberangsangkan. Ketibaan Yang Dipertua PAS Kawasan Kapar merangkap ADUN Meru, Yang Berhormat Dr. Abd Rani Osman serta Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Pusat, Saudara Sabki Yusuf turut mewarnai suasana.

Para tetamu disajikan dengan jamuan makanan serta mereka berpeluang mendengar ucapan dari Ketua Pemuda DPPK, Ustar Haidar Taslin, YB. Dr. Abd Rani dan juga Saudara Sabki Yusuf.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan lagu-lagu nasyid oleh Kumpulan Amrain dan juga tayangan video untuk kanak-kanak yang diadakan di dalam ruang tamu.