Friday, May 22, 2009

Karnival Hari Guru PASTI Kapar Mendapat Sambutan

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di DUN Meru melalui Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah menganjurkan Karnival sempena Hari Guru yang diadakan pada 17 Mei 2009 yang lalu. Karnival ini yang dianjurkan bersama Hal Ehwal Wanita (HalWa) DUN Meru telah berlangsung di Dewan Orang Ramai, Meru.

Karnival ini telah disertai oleh PASTI Ar-Raudhah, PASTI Sirajuddin, PASTI Nurul Iman, PASTI al-Hidayah, PASTI Darul Muslimin dan PASTI al-Munawwarah. Pelbagai pameran, gerai jualan dan acara telah diadakan bagi memeriahkan karnival ini yang mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Menurut Pengerusi PASTI Kawasan Kapar yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar, Ustaz Haidar bin Taslin karnival ini bertujuan mendekatkan institusi PASTI kepada masyarakat. PASTI yang dikenali sebagai pusat pendidikan pra-sekolah oleh orang ramai kini juga telah mengorak langkah sebagai wadah pendidikan secara tidak langsung kepada ibu bapa khususnya yang menghantar anak mereka ke PASTI kerana program-program keibubapaannya yang sangat bermanfaat.

Menurut beliau lagi, PASTI yang kini telah menjadi pilihan utama kepada masyarakat akan cuba mengorak langkah bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi. Justeru, beliau mengharapkan karnival ini sedikit sebanyak dapat membantu memperkukuhkan dana PASTI untuk tujuan meningkatkan kebajikan di kalangan guru-guru dan memperbaiki dan mempertingkatkan pengurusan dan prasarana PASTI.
Beliau berkata, walaupun PASTI tidak menerima sebarang bantuan kerajaan sama ada kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, beliau yakin PASTI tetap mampu mempertingkatkan prestasinya, di samping mengekalkan konsepnya yang mengutamakan kebajikan dan bukan keuntungan.

Semoga karnival ini juga akan membuka mata di kalangan masyarakat yang prihatin dengan kepentingan untuk menerapkan pendidikan Islam dalam diri anak-anak agar tampil membantu dan menyokong perjalanan PASTI di sini. Karnival ini juga turut diserikan dengan kehadiran YB Dr Hj Abd Rani Osman dan isterinya serta ketua-ketua kampung di sekita DUN Meru.

Thursday, May 21, 2009

Pelajar PASTI Menduduki Peperiksaan Pertengahan Tahun


Pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Kapar dan seluruh negeri Selangor kini sedang menduduki peperikasaan pertengahan tahun. Peperiksaan yang dijalankan serentak di negeri ini merupakan salah satu usaha bagi meningkatkan pencapaian akademik pelajar PASTI.

Peperiksaan ini telah bermula pada 18 Mei 2009 yang lalu dan akan berakhir pada 22 Mei ini. Antara kertas peperiksaan yang akan diduduki oleh para pelajar ialah Bahasa Arab, Bahasa Melayu, Pendidikan Sains Sosial dan Pembangunan Insan, Matematik, Bahasa Inggeris, Asas Jawi, Asas Quran dan Asas Komputer.

Selain daripada ujian bertulis yang dijalankan, para pelajar juga akan diuji dengan ujian lisan sepanjang tempoh peperiksaan ini. Matlamat peperiksaan ini dijalankan ialah bagi menilai tahap penerimaan pelajar terhadap matapelajaran yang diajar di dalam PASTI. Semoga usaha murni ini akan membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Wednesday, May 20, 2009

Pemuda PAS Taman Berkat Anjur Aktiviti Berbasikal

Sikap dan perwatakan golongan pemuda yang mempunyai jiwa yang lasak dan sukakan cabaran meruapakan satu aset yang sangat berguna jika dapat dimanfaatkan untuk kebaikan. Namun, sebaliknya juga boleh berlaku jika ia gagal untuk dikawal dan dibiarkan tanpa perhatian. Sebab itulah tidak hairan jika golongan ini sering dikaitkan dengan budaya negatif seperti 'mat rempit', dahah dan sebagainya.

Menyedari perkara ini, Pemuda PAS Cawangan Taman Berkat, Meru telah berinisiatif untuk menganjurkan aktiviti lasak dan penuh cabaran yang mempunyai banyak manfaat iaitu aktiviti berbasikal. Aktiviti yang mereka anjurkan ini telah disertai oleh ramai golongan pemuda khususnya di DUN Meru.

Pelbagai aktiviti berbasikal yang dilaksanakan di sekitar DUN Meru semakin mendapat perhatian dan sambutan. Ini kerana aktiviti ini bukan sahaja dapat menyihatkan badan, bahkan juga ia memberi pengalaman yang baru dan tersendiri buat peserta setiap kali ia dilaksanakan. Antara aktiviti berbasikal yang telah dibuat ialah kayuhan malam di Setia Alam dan Kota Damansara, Kayuhan di Trek Estate Kelapa Sawit dan Kayuhan di Kolam Tadahan Kg Budiman.

Menurut Ketua Pemuda PAS Cawangan Taman Berkat, Saudara Mohd Norkhalid aktiviti ini telah dapat memberi alternatif yang baik kepada 'mat-mat rempit' agar merasai pengalaman baru yang mencabar dan sekaligus terhindar dari gejala-gejala negatif yang diamalkan oleh 'mat-mat rempit' seperti dadah, arak, pergaulan bebas dan judi.

Semoga lebih banyak aktiviti-aktiviti alternatif yang baik dan bermanfaat dapat dianjurkan oleh golongan pemuda khususnya pemuda PAS agar dapat menberi contoh terbaik dan mengisi kekosongan jiwa para pemuda. Ini kerana golongan pemudalah yang paling memahami jiwa dan aspirasi mereka sendiri. Syabas dan tahniah! Untuk mengetahui lebih lanjut aktiviti dan program yang mereka anjurkan sila layari http://berkatbikers.blogspot.com

Monday, May 18, 2009

Sambutan Hari Guru PASTI Kapar Meriah

Pada 16 Mei 2009 yang lalu bertempat di Kelab Shah Alam, Selangor Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Kapar telah mengadakan majlis Sambutan Hari Guru untuk guru-guru PASTI kawasan tersebut.

PASTI Kawasan Kapar yang ditadbir oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar (DPPK) memiliki 16 PASTI cawangan antaranya, PASTI Ikhwan di Selat Klang, PASTI Mawaddah di Sungai Pinang, PASTI Munawwarah di Meru dan PASTI As-Siddiq di Sementa.

Menurut Pengerusi PASTI Kawasan tersebut iaitu Ustaz Haidar bin Taslin yang juga merupakan Ketua DPPK, majlis Sambutan Hari Guru PASTI Kapar merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh pihaknya sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru khususnya guru PASTI di kawasan Kapar.

Di dalam majlis tersebut, setiap guru-guru PASTI Kapar menerima cenderamata penghargaan di samping anugerah istimewa untuk guru-guru yang setia berkhidmat melebihi 10 tahun dan 15 tahun dan anugerah Tokoh Guru PASTI juga diadakan. Ini bagi menyuntik semangat guru-guru ini agar terus bersungguh-sungguh menyemai ilmu di dalam dada-dada anak murid mereka supaya menjadi insan yang mulia.

Majlis sambutan ini telah diserikan dengan ucapan perasmian oleh YB Dr Hj abd Rani bin Osman yang merupakan YDP PAS Kawasan Kapar yang juga ADUN Meru. Di samping itu juga majlis telah didahului oleh ucapan dari Ketua Majlis Guru PASTI (MGP) Kapar iaitu Puan Lelasari binti Hj Salleh dan juga ucapan daripada Pengerusi PASTI Kapar.

Dalam ucapannya, YB Dr Hj abd Rani menyeru agar PASTI terus menyemarakkan usaha mempromosikan khidmatnya kepada masyarakat khususnya melalui media seperti akhbar Sinar Harian. Ini penting agar program dan aktiviti PASTI yang sangat baik itu diketahui masayarakat dan sekaligus akan mengajak mereka untuk turut serta dan menjayakannya.

Pada kemuncak majlis sambutan tersebut, Tokoh Guru PASTI Kapar bagi tahun 2009 telah diumumkan jatuh kepada Puan Kartina binti Perman. Beliau merupakan seorang guru di PASTI Ikhwanul Muslimin, Sg Saim di DUN Sg Pinang. Beliau dinobatkan sebagai tokoh guru kerana komitmennya yang tinggi terhadap PASTI tersebut dan PASTI Kawasan Kapar. Beliau juga aktif dalam kegiatan masyarakat melalui penglibatannya sebagai Ketua Amal Nisa' di Kawasan Kapar ini. Semoga anugerah ini menjadi pemangkin agar beliau lebih giat berusaha mendidik anak bangsa.

Selamat Hari Guru dari warga PASTI Kapar

Blog PASTI Kapar menemui anda..


Setelah begitu lama ditunggu, akhirnya blog PASTI Kapar kini muncul! Insya Allah blog ini akan memaparkan informasi dan berita berkaitan PASTI di kawasan Kapar.

PASTI Kawasan Kapar telah mempunyai sejarah dan kisahnya sendiri. Di kawasan ini sahaja PASTI telah tumbuh dengan pesat sebagai satu wadah pilihan utama pendidikan pra-sekolah oleh para ibu bapa.

Buktinya PASTI Kawasan Kapar kini telah menampung jumlah pelajarnya seramai 1745 orang pada sesi 2009 ini. Ia merupakan jumlah terbesar berbanding kawasan-kawasan lain di negeri Selangor.

PASTI Kawasan Kapar juga dianggotai oleh 16 buah PASTI di peringkat cawangan. Antaranya PASTI Ikhwanul Muslimin yang merupakan PASTI terbesar di sini yang menampung jumlah pelajar seramai 300 orang setiap tahun. Ia juga merupakan PASTI terbesar di Malaysia.