Tuesday, June 30, 2009

Kejohanan Bola Sepak Terbuka 9 Sebelah Bukit Kapar


Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar dengan kerjasama Pemuda PAS Cawangan Jaya Setia dan Serai Wangi, Kg Bukit Kapar telah menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Terbuka 9 Sebelah. Kejohanan ini telah berlangsung dengan jayanya pada 28 Jun 2009, Ahad yang lalu.

Seramai 30 pasukan telah menyertai kejohanan terbuka ini yang dijalankan serentak di Padang Awam Serai Wangi dan Padang Awam, Jalan Kopi yang dirasmikan oleh YB Dr Hj Abd Rani Osman selaku YDP PAS Kawasan Kapar yang juga ADUN Meru.

Kejohanan yang telah mendapat sambutan yang luar dugaan ini telah disertai oleh pasukan-pasukan bola sepak sekitar daerah Klang seperti pasukan DPP Kapar, pasukan Pemuda Jalan Jambu, pasukan Putra A dan B, Pemuda Berkat

Kejohanan ini telah berakhir dengan dijuarai oleh pasukan Fort Rangers dari Pelabuhan Klang manakala pasukan Sebaya FC selaku tuan rumah pula di tempat kedua setelah perlawanan akhir berlangsung rancak dan disudahi dengan 1-0.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Ustaz Haidar Taslin yang merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Kapar dan juga Ahli Majlis MPK bagi kawasan tersebut. Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa bangga dengan komitmen para pemuda khususnya Pemuda PAS Cawangan Sebaya dan Jaya Setia kerana telah membuktikan bahawa golongan pemuda mampu untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti berfaedah dengan sokongan pelbagai pihak.
Beliau menegaskan kepada semua yang hadir termasuk para peserta agar segera membuktikan kepada masyarakat bahawa golongan pemuda hari ini layak untuk menjadi pelapis pemimpin akan datang. Label negatif terhadap golongan ini yang dicanangkan oleh pelbagai pihak perlu dihentikan dan sebaliknya ditukar dengan sokongan dan galakan yang padu.

Sebelum itu, Pengarah program Sdr Subahi bin Sayuti telah menggariskan beberapa matlamat dan harapan golongan pemuda khususnya di Bukit Kapar agar dilihat sebagai golongan yang memberi sumbangan berkesan kepada masyarakat. Menurut beliau lagi, Kariah Sebaya dan Jaya Setia Kg Bukit Kapar telah melakar sejarahnya yang tersendiri dengan penganjuran program ini kerana ia julung-julung kali diadakan.

Semoga dengan kejayaan program kejohanan ini akan memberikan impak positif yang berpanjangan kepada masyarakat khususnya di Bukit Kapar. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang menjayakan terutama YB Dr Hj Abd Rani Osman yang telah menaja sepenuhnya hadiah kejohanan.

Tuesday, June 16, 2009

Kejohanan Badminton Tertutup Kg Bukit Kapar



Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar dengan kerjasama Biro Belia JKKK Kg Bukit Kapar telah menganjurkan Kejohanan Badminton Tertutup Kg Bukit Kapar yang bermula pada 15 Jun 2009. Kejohanan ini yang dilakukan secara liga telah dijalankan pada sebelah malam sahaja dan dijangka berakhir pada 3 Julai 2009.
Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Ybhg Ust Farid bin Zainal yang merupakan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar di Dewan Orang Ramai, Kg Bukit Kapar. Beliau menjelaskan bahawa Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar sentiasa ingin mendampingi pemuda-pemuda dalam pelbagai bidang dan cuba memahami kehendak dan sekaligus memenuhinya dengan kemampuan serta menepati kaedah syarak.
Menurut beliau lagi, Islam sentiasa meletakkan sesuatu perbuatan itu akan dibalas dengan pahala ataupun dosa. Jika ita bermain dengan permainan yang sihat dan tidak bertentangan dengan syarak pun boleh mendapat pahala biarpun kita kalah dalam permainan tersebut. sebaliknya, jika kita menang sekalipun tetapi melanggar hukum syarak dan menyakitkan pihak lawan ia akan dibalas dosa. Begitulah istimewanya ajaran Islam.
Sebanyak 12 pasukan telah menyertai kejohanan ini antaranya pasukan Lapis 7, Hamdani, Bukit Kapar Tengah, Paya Barat A&B, Bakti Jaya dan Jalan Dusun. Selain daripada itu pasukan Setia Jaya, Jaya Setia, Batu 8 1/2, Sebaya dan Masjid juga menyertai kejohanan ini.
Menurut Pengarah Kejohanan Sdr Anuar bin Sachari, program ini bertujuan untuk mengisi aktiviti golongan belia dengan kegiatan yang berfaedah dan bermanfaat selain untuk mendekatkan mereka dengan pemimpin tempatan dan kawasan. Menurut beliau lagi, kejohanan ini juga menitikberatkan ajaran-ajaran Islam seperti menggalakkan peserta menutup aurat, mengelakkan bermain pada waktu solat, selain tazkirah dan motivasi disampaikan dari semasa ke semasa.
Beliau berharap peserta akan memahami bahawa Islam tidak membataskan seseorang itu dengan batasan yang sempit dan jumud. Bahkan Islam sangat menggalakkan kegiatan yang sihat asalkan ia tidak menyalahi prinsip-prinsip asas dalam ajarannya. Beliau berharap program ini akan berjaya mencapai matlamat dan memberikan kepuasan dan kefahaman kepada peserta.




Tuesday, June 9, 2009

Tuesday, June 2, 2009

Sukan PASTI Negeri Selangor

Sukan PASTI Negeri Selangor yang menganjurkan Kejohanan Mini Bola Sepak dan Mini Bola Jaring telah diadakan pada 31 Jun 2009 hari Ahad yang lalu di Padang UNISEL, Bestari Jaya, Selangor.

PASTI Kawasan Kapar telah menghantar johan peringkat kawasan pada kejohanan tersebut iaitu pasukan dari PASTI Nurul Iman, Bukit Kapar yang menyertai kejohanan mini bola sepak dan pasukan dari PASTI Ikhwanul Muslimin, Sg Saim yang menyertai kejohanan mini bola jaring.

Bagi kejohanan mini bolasepak wakil PASTI Kawasan Kapar pula telah gagal menduduki tempat kerana tidak berjaya melepasi peringkat suku akhir. Manakala bagi kejohanan mini bola jaring pula wakil PASTI Kawasan Kapar pula telah berjaya menduduki tempat keempat setelah berjaya menempatkan diri ke peringkat suku akhir.

Kejohanan yang berlangsung dalam suasana penuh ceria dan riang ini telah dirasmikan oleh YB Dr Zulkefli Ahmad selaku ahli parlimen Kuala Selangor.

Monday, June 1, 2009

Ekspedisi Pemuda PAS Meru ke Sg Selai

Gabungan Pemuda PAS cawangan Taman Meru Jaya, Jalan Kenangan dan Bukit Cherakah telah memulakan program Ekspedisi meredah Sg Selai di Daerah Raub, Pahang pada pagi 1 Jun 2009. Inisiatif pemuda-pemuda di cawangan ini untuk mengadakan aktiviti lasak ini adalah bertujuan untuk menguji ketahanan fizikal dan mental mereka mengharungi cabaran serta semangat setiakawan.

Ekspedisi yang dilepaskan oleh Yang Di-Pertua PAS Kawasan Kapar iaitu YB Dr Hj Abd Rani Osman yang juga ADUN Meru disertai oleh 24 orang dengan enam kenderaan pacuan empat roda. Menurut Pengarah program tersebut, Sdr Maktub Hj Hamim beliau menjangkakan bahawa ekspedisi ini akan tamat pada 3 Jun 2009 kerana pada keesokan harinya iaitu 4 Jun 2009 mereka akan menyertai Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai pemerhati.

Turut sama dalam acara pelepasan ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar iaitu Ustaz Haidar bin Taslin. Beliau berpesan kepada peserta agar berhati-hati dalam perjalanan dan sentiasa menjaga akhlak bukan sahaja di antara sesama mereka bahkan juga dengan alam sekitar yang juga makhluk Allah swt. Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah di atas penganjuran program ini dan merasa sedikit kecewa kerana tidak dapat bersama-sama peserta ekspedisi.

Komandan program ini iaitu Sdr Azhar Sabidin pula mengatakan bahawa ekspedisi yang agak mencabar ini akan melalui kawasan hutan dara melalui jalan tanah merah iaitu bekas laluan lori balak sebelum sampai ke Sungai Selai. Setibanya di sungai ini pula mereka akan bermalam dan menyusuri sungai tersebut keesokan harinya untuk menikmati keindahan alam semulajadi ciptaan Allah swt.
Menurutnya lagi, rata-rata yang menyertai program pada kali ini adalah di kalangan mereka yang baru berjinak dengan aktiviti lasak ekspedisi pacuan empat roda. Apa yang penting menurut beliau lagi adalah kerjasama dan semangat berpasukan dalam satu jemaah yang akan disemai dalam program ini. Semoga kejayaan program ini akan menjadi pembakar semangat kepada para peserta untuk menjalankan gerakerja menegakkan Islam yang semakin mencabar. InsyaAllah.