Tuesday, July 28, 2009

KENYATAAN RASMI: Ucapan Tahniah DPPK Kapar kepada Pasukan Bola Sepak Selangor

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Selangor. Penantian selama 4 tahun untuk menggamit satu-satunya kejuaraan yang belum menjadi milik Selangor, akhirnya telah berjaya disusun dan dilaksanakan bagi menjadikan pasukan Selangor sebagai Juara Liga Super 2009. Upacara penyampaian Liga Super telah berlangsung pada hari Sabtu lepas di Stadium Shah Alam, selepas Selangor menewaskan Pahang dengan kemenangan bergaya 5-1.

Pasukan Selangor pada tahun ini mencipta pembaharuan dengan melantik seorang pengurus pasukan sepenuh masa untuk menguruskan pasukan dengan lebih professional seperti yang diterapkan oleh kelab-kelab ternama Eropah. Usaha pembaharuan ini hasilnya membuahkan kejuaraan bermula dengan Piala Sumbangsih, Piala FA dan terkini Piala Liga Super.

DPPK Kapar percaya jalinan kerjasama yang mantap di antara pihak pengurusan eksekutif yang dipimpin oleh Presiden FAS, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga Menteri Besar Selangor, kakitangan FAS, jurulatih, pengurus pasukan, dan juga pemain telah menjadi resepi kejayaan pasukan Selangor tahun ini. Kesemuanya menyumbang ke atas kejayaan pasukan.

Tidak ketinggalan, DPPK Kapar juga mengucapkan tahniah kepada pemain lincah yang juga anak jati Selangor, Amri Yahyah kerana menjadi tunjang kekuatan pasukan Selangor (dan juga pasukan kebangsaan baru-baru ini apabila menjaringkan 2 gol ketika menentang Manchester United!)

DPPK Kapar melihat hubungan rapat dari pihak pimpinan hinggalah pemain, mencapai matlamat kejayaan yang jelas, usaha yang bersungguh-sungguh, ukhwah yang erat di kalangan pemain, jurulatih dan pengurus, gabungan pemain berpengalaman dan pemain muda serta kebergantungan kepada Allah menjadikan pasukan Selangor digeruni. Tauladan Pengurus pasukan, Saudara Zakaria Ab. Rahim yang sering menunaikan solat berjamaah dan juga menganjurkan majlis keagamaan bersama pemain dan peminat perlu menjadi inspirasi semua.

Teruskan mengharumkan nama Negeri Selangor dan pertahankan kemenangan. Matlamat seterusnya adalah menjulang Piala Malaysia pula. Kami mewakili golongan muda di kawasan Kapar akan terus memberikan sokongan kepada pasukan Selangor. Sebahagian kain-kain rentang yang direntangkan di setiap perlawanan pasukan Selangor datangnya dari penyokong-penyokong di kawasan Kapar - contohnya Meru F.C, Klang United, Bukit Kapar dan bermacam lagi.


Merah Kuning itu Selangor!

Mohd Azeman Mohd Yunus
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar

Monday, July 27, 2009

BERITA: Ihtifal PASTI Kapar Mendapat Sambutan Hangat

Majlis Ihtifal PASTI Kawasan Kapar telah berjaya dilaksanakan pada Ahad lalu 26 Julai 2009, di Dewan Ahmad Razali, batu 4, Sementa.

Pada Majlis Ihtifal kali ini telah menyaksikan penyertaan dari semua Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang terdapat di kawasan ini iaitu 16 buah PASTI. Tuan rumah untuk majlis kali ini ialah PASTI di DUN Sementa yang terdiri dari PASTI al-Hikmah, PASTI Mahmudah, PASTI Wadi Sofea, PASTI As-Siddiq dan PASTI Aiman.

Pelbagai acara telah dipertandingkan bagi mencapai objektif mencungkil bakat dan potensi diri anak-anak PASTI serta meningkatkan tahap keyakinan diri mereka untuk berhadapan dengan orang ramai. Antara acara-acara tersebut ialah Nasyid, Bercerita, Azan, Khutbah, Pidato dan Hafazan.

bu bapa telah turut sama hadir bagi memeriahkan majlis dan memberi sokongan moral kepada anak-anak mereka yang mengambil bahagian dalam acara yang dipertandingkan. Ramai di kalangan hadirin merasa kagum dan terpesona dengan bakat-bakat anak-anak PASTI yang semuanya berumur 6 tahun dan ke bawah.

Majlis Penutup Ihtifal PASTI Kawasan Kapar ini telah disempurnakan oleh YB Dr Hjh Halimah binti Ali (Exco Negeri Selangor) yang juga merupakan salah seorang ADUN di Kawasan Kapar ini iaitu DUN Selat Klang.

Beliau menyatakan penghargaannya yang sangat tinggi kepada PASTI yang telah mengorak langkah mencipta pelbagai pencapaian khususnya di kalangan anak-anak PASTI yang mampu untuk meraih kecemerlangan dunia dan seterusnya di akhirat. Bahkan juga beliau dimaklumkan bahawa rata-rata anak-anak PASTI merupakan pelajar cemerlang di sekolah-sekolah dari pelbagai aspek kerana didikan yang sempurna telah mereka terima di alam pra-sekolah lagi.

Seterusnya beliau mengharapkan agar PASTI dapat membantu kerajaan negeri Selangor untuk menggarap modul baru dalam sistem pendidikan pra sekolah yang berasaskan S.P.I.E.S atau Spiritual, Physical, Intelectual, Emotion, Social.

Sebelum itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar Ustaz Haidar Taslin telah mengucapkan alu-aluan kepada yang hadir selaku penganjur majlis kerana telah memberi sokongan padu kepada PASTI khususnya di Kawasan Kapar.

Menurut beliau lagi, sokongan dan kepercayaan masyarakat terhadap PASTI telah menyebabkan PASTI mampu berada di tahap yang membanggakan kini bahkan lebih dari itu, PASTI dan para pelajarnya telah meraih pelbagai kecemerlangan hasil daripada usaha-usaha dan program PASTI antaranya ihtifal ini.

Sekalung syabas dan tahniah untuk semua pihak yang turut sama menjayakan Majlis Ihtifal ini terutamanya, AJK Panitia, Guru-guru, AJK PASTI, ibu bapa dan juga YB Dr Hjh Halimah Ali.

Wednesday, July 22, 2009

IKLAN: Kursus Aplikasi Adobe Photoshop (Siri 1)


Lajnah Penerangan & IT, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar mengalu-alukan penyertaan ahli-ahli pemuda PAS, Nisa', ahli jawatankuasa di peringkat kawasan Kapar, ahli jawatankuasa masjid dan JKKK untuk menyertai kursus Aplikasi Adobe Photoshop.

Kursus akan diadakan pada 2 Ogos 2009 (Ahad) di Pejabat Khidmat Masyarakat Meru. Peserta akan didedahkan kepada kerja amali dan teknik grafik yang boleh diaplikasikan untuk membuat banner, poster, buletin dan kulit buku. Jadual kursus adalah seperti berikut:

8.30 pagi - Pendaftaran Peserta
8.45 pagi - Perasmian oleh oleh Ketua Pemuda DPPK Kapar
9.00 pagi - Hand’s on Talk 1 : Pengenalan & Asas Rekabentuk dan Fotoshop
10.30 pagi - Minum Pagi
10.45 pagi - Hand’s on Talk 2 : Ciri-ciri Khas Fotoshop dan rekabentuk khas
12.00 tgh - Tutorial Aplikasi Fotoshop
1.30 tgh - Sesi Tamat dan Makan Tengahari

Peserta dikehendaki membawa laptop sendiri.

Tempat adalah terhad. Sebanyak 30 tempat sahaja dibuka. Bayaran dikenakan hanya RM20!

Ayo daftar lekas! Hubungi Saudara Mawandi di talian 019-3936451.

Tuesday, July 21, 2009

BERITA: Johan Negeri: Kumpulan Nasyid SRA Sungai Udang Harumkan Nama Kapar


AJK DPPK Kapar, Sdr. Shaiful (bersongkok)
bergambar dengan kumpulan nasyid
Zahratul Firdaus

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar mengucapkan tahniah kepada kumpulan nasyid dari Sekolah Rendah Agama Sungai Udang kerana berjaya menjadi Johan Nasyid (Perempuan) dalam Amal Islami Negeri Selangor yang diadakan di Kuala Kubu Bharu pada 3-4 Julai lepas.

Pertandingan Amal Islami Negeri Selangor dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merupakan acara tahunan bagi mencungkil bakat pelapis pendakwah muda dan seterusnya menyuburkan syiar Islam dalam pelbagai bidang yang dipertandingkan. Antara acara yang dipertandingkan termasuk azan, marhaban, khat, tilawah alQuran, pidato bahasa arab, khutbah dan juga termasuk pertandingan nasyid.

Pasukan nasyid SRA Sungai Udang, telah berjaya memenangi kategori Nasyid Perempuan Negeri Selangor manakala bagi kategori Nasyid Lelaki dimenangi oleh SRA KAFA Johan Setia.


Kumpulan Nasyid Zahratul Firdaus menyampaikan
persembahan sempena program Tautan Mahabbah
di SRA Sungai Udang, Klang

Yang paling manis, pasukan yang sama turut berjaya menyertai Festival Nasyid Kebangsaan yang diadakan di Kuantan, Pahang pada 14-17 Julai lepas mewakili negeri Selangor dengan nama Zahratul Firdaus. Pasukan dari Sekolah Kebangsaan Teluk Pulai ini sebelum itu telah menjadi Johan MTQ Daerah Klang pada 26 Mac 2009 dan juga Johan MTQ Negeri Selangor yang diadakan di Gombak, Selangor dalam kategori Nasyid Perempuan. Walaubagaimanapun mereka tidak berjaya merampas kejuaraan di peringkat kebangsaan, dimana telah dimenangi oleh pasukan dari negeri Pahang.

DPPK Kapar amat berasa bangga dengan kejayaan pasukan nasyid ini kerana berjaya mengharumkan nama daerah Klang dan juga negeri Selangor. Diharapkan sekolah-sekolah di dalam Kawasan Kapar akan terus melahirkan pendakwah muda serta pemimpin Islam yang berkaliber pada masa akan datang hasil usaha yang sedang dilakukan sekarang ini.

ARAHAN: Jayakan Himpunan Mansuh ISA


1. Tarikh 1 Ogos 2009 adalah tarikh yang mesti dipahat dalam sejarah . Tarikh yang memansuhkan akta drakonian negara dengan himpunan raksasa seluruh rakyat prihatin menentang kezaliman di ibu negara KL jam 2 pm [ Sogo , Masjid Jamek , KL Central ].

2. Serentak tarikh ini juga , semangat solidariti ummah bangkit berhimpun untuk menentang semua bentuk kezaliman termasuk tragedi yang menimpa Teoh setelah dijumpai terbunuh di Plaza Masalam sejurus disiasat oleh SPRM.

3. Saya harap seluruh rakyat dapat sebarkan maklumat ini dan pastikan semua dapat turun bagi mendesak agar undang - undang lapuk [ ISA ] dimansuhkan dan pihak yang melakukan kezaliman serta mengakibatkan penderitaan dan kesengsaraan rakyat dikutuk dan dicemuh secara keras sehingga menghentikan segala peluang dan menutup segala pintu yang menghela mereka melakukan kezaliman.

4. Khasnya Dewan Pemuda PAS Kawasan dan Negeri dapat memobilisasi seramai mungkin anggota mereka dan para pemuda yang anti kezaliman dan simpati kepada mangsa kezaliman untuk turut serta dengan yakin , semangat dan tabah.

5. Wahai Pemuda Insaf ! kalianlah sandaran rakyat dan negara untuk menyaksikan segala kesengsaraan akibat ISA yang zalim ini lenyap . Tenaga kalian yang gagah , semangat kalian yang waja dan cita - cita kalian yang tinggi menjadi harapan bernaung golongan mustadhafin [ orang yang lemah dan tertindas ] .

Posted by Nasrudin Hassan at Tantawi (Ketua Pemuda PAS Pusat)

Saturday, July 18, 2009

BERITA: Pemuda DUN Meru Menyertai Sukan Lasak

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar, Ust Haidar bin Taslin telah menghulurkan sumbangan kepada Sdr Izwan bin Md Sumairi @ Hj Azhari yang akan menyertai ' Malakof University Duathlon Series 2009'.

Sumbangan kecil ini merupakan ransangan kepada beliau yang sebelum ini telah menjuarai kejohanan tersebut pada tahun lalu. Kejohanan ini merupakan kejohanan yang menguji ketahanan mental dan fizikal kerana peserta dikehendaki berlari sejauh 3.5 km dan diikuti dengan mengayuh basikal sejauh 15 km sebelum menamatkan perlumbaan dengan berlari semula sejauh 3.5 km.

Pada tahun ini kejohanan bersiri ini akan diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang pada 19 Julai 2009 diikuti dengan kejohanan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Bangi pada 25 Julai 2009 dan diakhiri di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2009.

Menurut Ust Haidar, beliau sangat kagum dengan kekuatan mental dan fizikal yang dimiliki Sdr Izwan dan ia harus dicontohi oleh golongan belia kerana dengan memiliki kekuatan dalaman seperti inilah para pemuda mampu untuk menghadapi cabaran hidup.

'Golongan belia yang terlibat dengan gejala sosial pada hari ini merupakan di kalangan mereka yang lemah segala-galanya termasuklah mental dan fizikal mereka. Mereka ini gagal untuk berfikir dengan waras buruk baik perbuatan yang mereka lakukan. Mereka takut dengan cabaran dan ingin lari dari masalah yang akhirnya terlibat dengan dadah. Mereka lemah mental dan mudah dipengaruhi dengan rakan-rakan yang mengajak mereka terlibat dengan lumba haram dan jenayah yang lain'.

'Namun apabila minda dan tubuh pemuda ini dilatih dan digarap dengan baik mereka mampu menjadi kuat dan kental dan mampu membuat kejutan seterusnya menaikkan nama diri mereka sendiri dalam apa jua lapangan yang mereka minati'.

Untuk rekod, Sdr Izwan telah menyertai beberapa kejohanan sepanjang tahun ini seperti Orienteering (Pandu Arah) Maksak Malaysia dan mendapat johan, Johor Bharu Eko Challenge 2009 mendapat tempat ke-3 dan Merbok Green Challenge juga mendapat johan. Beliau juga meraih Anugerah Atlit Harapan Majlis Perbandaran Klang.

Semoga beliau terus berjaya dalam bidang sukan yang beliau minati dan menaikkan nama anak jati Meru yang berjaya meraih kejayaan cemerlang.

Thursday, July 16, 2009

IKLAN: Jom Meriahkan Hari Ihtifal PASTI Kapar 2009!


Dewan Pemuda PAS Kapar (DPPK) tampil menganjurkan Ihtifal Tahunan PASTI Kapar 2009. Matlamat Ihtifal ini diadakan adalah bagi melahirkan anak-anak PASTI yang cemerlang dari sudut akademik & berkemahiran dari sudut amal islami. Secara tidak langsung ihtifal ini dapat menjana minda dan membina pelapis perjuangan PARTI ISLAM SeMALAYSIA(PAS) yang mahir dari segala keperluan bidang & kemahiran.

Hari Ihtifal PASTI Kapar 2009 akan diadakan pada 26 Julai 2009 (Ahad) bertempat di Dewan Ahmad Razali, Batu 4, Kapar bermula jam 7.30 pagi. Tentatif program adalah seperti berikut:
7.00 pagi - Persiapan
7.30 pagi - Pendaftaran peserta

8.00 pagi - Acara bermula (pertandingan nasyid, hafazan, azan, khutbah, bercerita, pidato dan sajak)

12.00 tgh - Majlis penyampaian hadiah

1.00 tgh - Penutup
Majlis juga akan diserikan dengan kehadiran Y.B. Hjh. Halimah Hj. Ali, Pengerusi Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan selaku perasmi ihtifal tersebut.

Ruang-ruang gerai turut dibuka untuk tempahan bagi mereka yang berminat untuk menambahkan sumber pendapatan dan turut memeriahkan Hari Ihtifal ini. Sila hubungi 013-9053991 (Sdr. Adzhurain)

Jom datang beramai-ramai! Kita meriahkan Hari Ihtifal PASTI Kapar 2009.
Ojo kelalen!

Wednesday, July 15, 2009

Tuesday, July 14, 2009

IDEA: Pemuda PAS Mahu Kembali Ke Posisi Menyerang




Pemuda PAS dengan saf pimpinan barunya tidak mengambil masa yang lama untuk kembali berada di posisi menyerang dari asyik terperangkap dengan isu-isu yang sering membawa pandangan bahawa mereka sedang cuba berbaik dan berdamai dengan Umno.
Dalam satu mesejnya kepada The Malaysian Insider, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat telah menjanjikan komitmen pergerakannya untuk secara bersungguh-sungguh menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang selama ini menjadi tunjang cengkam dan perintah Kerajaan Umno dan Barisan Nasional.


Pemuda PAS juga, mengikut Nasrudin akan berjuang habis-habisan supaya akta drakonian warisan penjajah British ini akhirnya akan dihapus dan dimansuhkan.

Sehubungan dengan itu, Nasrudin dalam kenyataannya menyeru supaya seluruh kekuatan Pemuda PAS digerakkan bagi menjayakan demonstrasi raksasa yang berupa Sambutan Ulang Tahun ke-49 Perlaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ini.


Sambutan yang telah dua kali tertangguh ini dirancang untuk diadakan di ibu kota Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2009 nanti. Penganjurannya adalah oleh GMI (Gerakan Mansuhkan ISA) dengan kerjasama parti-parti politik termasuk PAS dan juga NGO-NGO.

Antara lain, demonstrasi ini adalah medan peringatan kepada Najib yang selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia telah berjanji untuk menyemak semula ISA, akta yang sejak sekian lama menjadi bahan kritikan oleh banyak pihak.

Malangnya sehingga kini tiada satu pun pengumuman atau langkah konkrit yang diambil Najib dalam menangani hal ini.

Demi menjayakan demonstrasi dan perayaan ini, Nasrudin di akhir kenyataannya meminta semua saluran penerangan PAS terutamanya ceramah, kuliah dan sesi pidato digunakan bagi menyebar luas maklumat tentangnya, supaya nanti hasrat untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya 100,000 rakyat akan tercapai.


Perhimpunan besar-besaran terakhir yang pernah diadakan sebelum ini adalah himpunan Bersih dan bantahan terhadap PPSMI.

Adakah perhimpunan membantah ISA ini akan berjaya sebagaimana dua perhimpunan sebelum ini, masih terlalu awal untuk diperkatakan.

(sumber: Malaysia Insider)

Monday, July 13, 2009

BERITA: Lawatan DPP Negeri Selangor ke DPP Kapar





Lawatan Kerja Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor ke Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar
- Pada 12 Julai 2009 Ahad, 2.00 petang
- Di DUN Meru
- Diketuai oleh: Ust Hasbullah Ridzuan, Ketua DPPNS
- Disambut oleh: Ust Haidar Taslin, Ketua DPPK
- Disertai oleh barisan exco DPPNS dan AJK DPPK
- Agenda:
1- Membina jambatan ukhuwah dan ikatan hati
2- Berkenalan dengan anggota DPPNS dan DPPK terutamanya yang baru dilantik
3- Bertukar-tukar idea dan pandangan berkaitan isu pemuda dan lain-lain.

BERITA: Ketua DPPK Kapar Meraikan Meru Motorsport Club


Pada 10 Julai 2009, Ahad yang lalu Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah bersama-sama mengiringi anggota Meru Motorsport Club sebelum mereka berlepas ke Litar Pasir Gudang, Johor bagi menyertai Perlumbaan ' Johor Race Series' pada 11 & 12 Julai.

Menurut beliau, Dewan Pemuda PAS Kapar memandang positif aktiviti-aktiviti lasak yang dianjurkan oleh golongan pemuda kerana ia sesuai dengan jiwa mereka. Walaubagaimana pun aktiviti ini mestilah selari dan tidak melanggar ajaran Islam seperti mengutamakan keselamatan, tidak terlibat dengan aktiviti perjudian dan sebagainya.

Menurut Pengerusi Meru Motorsport Club pula, Sdr Mohd Noorhafidzi bin Abdul Latiff beliau amat berbangga dengan pencapaian anggota kelab ini. Walaupun tidak diwar-warkan dalam media perdana, tetapi nama kelab ini telah meniti di bibir-bibir peminat sukan lumba kereta kerana telah beberapa kali menjuarai perlumbaan tersebut.

Menurut beliau lagi kali ini, MMC akan menghantar wakil sebanyak 7 buah kereta yang akan dipandu oleh anak Meru sendiri. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Dewan Pemuda PAS Kapar yang perihatin dengan kelab ini dan sudi menyalurkan sumbangan bagi menampung kos perlumbaan. Beliau merasa terharu kerana inilah kali pertama ada pihak yang menyokong MMC sejak ia ditubuhkan pada tahun 1999 lagi.

Aktiviti ini diharap menjadi saluran sihat kepada anak muda yang minat dengan sukan permotoran. Sekaligus ia dapat membendung gejala negatif seperti lumba haram, mat rempit dan sebagainya di samping membawa nama Meru dipersada sukan yang semakin mendapat perhatian ini.

Harapan mereka agar ada pihak yang sudi memikirkan untuk mewujudkan semula litar lumba seperti Litar Lumba Shah Alam suatu masa dahulu yang disertai oleh pelumba-pelumba amatur dan tidak dikenakan yuran yang tinggi. Ini adalah untuk manfaat kebanyakan rakyat yang tidak mampu untuk berlumba di litar antarabangsa yang berprestij tetapi dikenakan yuran yang tinggi.