Friday, August 28, 2009

ANALISIS: Permatang Pasir - PR Menang Di Semua Saluran

Pakatan Rakyat berjaya menyapu bersih semua saluran pengundian di DUN Permatang Pasir semalam, sementara menjauhkan jurang antara PR dengan BN dengan rekod 6-1, dalam pilihan raya kecil sejak Malaysia dilanda tsunami politik pada 8 Mac 2008.

UMNO-BN yang tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil DUN Penanti, 31 Mei 2009, walau bagaimanapun mengekalkan rekod kekalahan 6 kali berturut-turut di Semenanjung Malaysia selepas PRU ke-12, dalam pertembungannya dengan Pakatan Rakyat.

Kemenangan mutlak PAS-PR

PAS dari PR semalam bernafas lega, apabila menundukkan calon UMNO-BN dengan kemenangan mutlak di kesemua saluran pengundian. Menurut keputusan terperinci yang terpapar, BN hampir menembusi saluran pengundian kedua di Permatang Ara (97% pengundi Melayu) dengan 287 undi, bagaimanapun tidak kesampaian apabila PAS-PR memperolehi satu undi lebih daripadanya.


Begitu juga apabila UMNO-BN dihampakan dengan 10 undi sahaja, di saluran pengundian kedua di Kampung Pelet, kawasan yang terdiri daripada 72% pengundi Melayu. PAS-PR memperolehi 185 undi, berbanding UMNO-BN dengan 175 undi.

Antara sembilan daerah mengundi, PAS-PR menang dengan margin majoriti yang paling selesa di Cross Street, dengan menyapu 75% undi. Cross Street terdiri daripada lebih 80% pengundi bukan Melayu. Sebaliknya, di daerah mengundi yang terdiri daripada 93% pengundi Melayu, Kubang Semang, menyaksikan PAS-PR merangkul 74% jumlah undi.

Di daerah mengundi seperti Sama Gagah, Permatang Pauh dan Permatang Tengah, PAS-PR berjaya mencatat nisbah jumlah undi 7:3, berbanding UMNO-BN.

UMNO-BN hanya mampu merapatkan jurang di daerah mengundi seperti Permatang Ara (43% undi), Kampung Pelet (42% undi) dan Bukit Indera Muda (40% undi). Dari struktur kaum pengundi, kawasan tersebut adalah kawasan Melayu majoriti, dengan Permatang Ara 97% pengundi Melayu, Kg.Pelet 72% pengundi Melayu dan Bukit Indera Muda 96% pengundi Melayu.

Pengundi muda tetap memihak PR

Walau bagaimanapun, PR kekal dengan kelebihannya di saluran pengundian ketiga dan keempat, memperlihatkan sokongan pengundi muda terhadap pakatan politik baru ini. Walaupun di kawasan yang majoritinya pengundi Melayu, misalnya di ketiga-tiga daerah pengundian di mana UMNO-BN “berjaya merapatkan jurang”, golongan pengundi muda tetap bersama PR. Di Permatang Ara misalnya, UMNO-BN kalah dengan satu undi di saluran pengundian kedua, tetapi kalah dengan 152 undi majoriti (PAS 349: BN 197) di saluran ketiga.
Di daerah mengundi Permatang Tengah misalnya, dengan majoriti 89% pengundi Melayu, jumlah undi di saluran pengundian ketiga, keempat dan kelima menyaksikan bagaimana UMNO-BN tewas dengan 491 undi majoriti, apabila PAS-PR memperolehi 804 undi dan UMNO-BN mendapat 313 undi.

UMNO-BN dijangka tidak berubah

Jelas, kelebihan UMNO-BN hanya pada saluran pengundian pertama dan kedua, iaitu golongan pengundi yang umurnya lebih lanjut, di kawasan pengundi Melayu majoriti. Peningkatan sokongan Melayu mungkin tidak jelas, khususnya di kubu politik Anwar Ibrahim. Tetapi, mungkinkah keputusan ini cukup untuk memberangsangkan pemimpin UMNO?

Pengarah Strategi PKR, Tian Chua meramalkan bahawa UMNO-BN akan terus dengan propagandanya seperti “Anwar pengkhianat”, “DAP hina Islam” dan sebagainya, memandangkan peningkatan undi 1% pun mungkin memberi kepuasan kepada UMNO.

“Sememangnya kami (PR) juga bimbang akan kehilangan undi Melayu, tetapi selagi kami mengambil pendekatan yang sederhana, mengekalkan sokongan dari struktur pengundi yang sedia ada, maka UMNO-BN akan musnah dengan sendirinya,” jelas Tian Chua kepada MerdekaReview.

Kelas pekerja bersama PR

Ahli Parlimen Batu ini mengingatkan bahawa golongan yang tidak mengundi semalam adalah dari kelas pekerja, yang tidak mempunyai cuti, malah mungkin keberatan untuk balik mengundi kerana tambang kenderaan yang mahal.

Beliau yakin bahawa penurunan peratus pengundian sebanyak 10%, dikenalpasti sebagai pengundi pekerja yang akan mengundi untuk PR. Maka, kemenangan PAS-PR semalam mengukuhkan keyakinan PR bahawa strategi dan pendekatan yang sama wajar diteruskan, untuk berdepan dengan PRU ke-13.Cuma, bagaimana pula dengan UMNO-BN
Lim Hong Siang

Thursday, August 27, 2009

IDEA: Isu Sebat - Jawapan Kepada Tun Dr Mahathir

Isu Sebat : Jawapan Kepada Tun Dr Mahathir
Oleh Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

Negarawan Malaysia, Tun Dr Mahathir, berkata di dalam blognya : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak? Beliau kemudiannya berkata :

"Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan."

Sebagai menyahut pertanyaan Tun tersebut, saya sediakan artikel ringkas ini memberikan input kepada beliau dan mereka yang masih tertanya-tanya.

ARAK DAN STATISTIK KEBURUKANNYA

Sebelum saya menghuraikan ringkas jawapan bagi persoalan Tun Dr Mahathir, izinkan saya meningingatkan pembaca berkenaan arak dan statistik keburukannya, sehingga menyebabkan Islam begitu bersungguh melarang dan meletakkan undang-undang ke atas peminumnya juga. Ia sebenarnya tidak lain kecuali untuk mengutamakan keadilan umum, di atas hak individu.
Menurut statistik rasmi di United Kingdom, Alcohol-related crime adalah seperti berikut :-
  • Hampir 45 - 46 % kejadian jenayah, mangsa meyakini bahawa penyerangnya di bawah pengaruh alcohol (arak).

  • Angka tadi naik kepada 58% dalam kes serangan oleh individu yang tidak dikenali.

  • 39% keganasan dalam rumahtangga melibatkan alcohol (arak)

  • Hampir sejuta serangan ganas yang berlaku dalam tahun 2007-2008, dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang mabuk atau separa mabuk. (Source: British Crime Survey 2007/08)

Manakala di Russia pula, sekitar 72 % kes pembunuhan adalah berkait dengan akibat minuman arak. 42 % pula kes mati bunuh diri hasil dari arak. Menurut Prof Nemtsov, Russia kehilangan (mati) rakyatnya seramai 500,000 ke 750,000 akibat arak. ( sumber )

Tanpa had dan kawalan berkesan, lebih menggerunkan di UK statistik menunjukkan 30% kanak-kanak berumur 11 hingga 15 tahun turut minum arak sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Selain penyebab jenayah, arak juga turut memberi impak amat buruk kepada kesihatan.
Seorang doktor di London memaklumkan purata umur pesakit dari kesan arak adalah berumur 20 ke 30 tahun, sebelum ini biasanya mereka yang berumur 50 tahun ke atas sahaja yang kerap ke hospital akibat arak. (rujuk)

Dilaporkan oleh organisasi kesihatan, di United Kingdom jumlah penduduk yang dirawat akibat penyakit dari kesan minuman arak bertambah dua kali ganda sejak sepuluh tahun lepas.

Secara purata rakyat Britain 'menelan' arak sebanyak 9.6 liters arak keras dan tulen secara tahunan, ia lebih dahsyat dari Russia yang mencatatkan 8.7 liter sahaja. Sedangkan Russia diwartakan sebagai negara yang terbanyak ‘peminum arak' sebelum ini.

Hasil dari petikan statistik ringkas ini, adakah masih terdapat pemimpin yang begitu ‘TIDAK BERTANGUNGJAWAB' sehingga sanggup mempertahankan penjualan arak dengan MELUAS tanpa kawalan dan hanya beriman dengan ‘kawalan diri'?, disamping membawakan hujjah hak kebebasan individu, bangsa, agama tertentu dan hak syarikat?.

Sebenarnya, membenarkan penjualan arak adalah satu pencabulan hak bagi majoriti masyarakat Malaysia yang lain, kerana ia mendedahkan individu lain dalam keadaan bahaya sebagaimana yang berlaku di UK, Russia dalam lain-lain negara aktif arak.

HUKUMAN MINUM ARAK DALAM ISLAM

Dalam Islam, arak itu sendiri adalah haram atau dilarang. Sama ada minum sedikit atau banyak adalah sama sahaja larangannya. Demikian juga dadah. Sabda Nabi s.a.w

ما أسكر كثيره فقليله حرام
Ertinya : Apa-apa yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya juga haram ( walaupun belum memabukkan) ( Riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud : Ibn HIbban : Sohih )


Ayat al-Quran dan hadis berkenaannya terlalu banyak dan amat biasa kita baca. Islam mengakui wujudnya manfaat kecil dari arak tetapi manfaatnya adalah berdiri di atas kehancuran pihak yang lain. Sama seperti judi, yang menang sememangnya gembira namun ia menang di atas kekalahan pihak yang lain.

Firman Allah swt :
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

"Mereka bertanyakan kepada kamu tentang arak dan judi, katakanlah (kepada mereka) pada kedua-duanya terdapat dosa yang besar dan kebaikan kepada manusia, dan dosa pada kedua-duanya lebih banyak dari kebaikan" (Al-Baqarah : 219)

Lagi Allah menegaskan :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah ( DIHARAMKAN) perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan ( Al-Maidah : 90)

Terbukti secara teori dalam ilmu Islam dan realiti dari statistik yang diberikan, arak adalah salah satu punca utama jenayah, selagi ruang dan peluang dibuka seluasnya selagi itulah manusia akan melakukan kesalahan mabuk.

Kerana itu nabi menyebut :-

الخمر أم الخبائث
Ertinya : Arak itu adalah ibu kepada kejahatan ( Hadis Hasan : Albani ; Silsilah Ahadith As-Sohihah, 1854)

Gunakan kuasa dengan tepat dan adil, selaras dengan perjuangan kamu. Adil dalam konteks arak adalah mengharamkannya dalam penjualan bebas.

HUKUMAN SEBAT BAGI PEMINUM ARAK

Bagi sesiapa sahaja yang bertanya dari kitab mana, dan buku mana, sumber mana diambil hukuman sebat bagi peminum arak, jawabnya adalah seperti berikut, tindakan mengenakan sebatan bagi peminum arak adalah diambil dari kumpulan hadis-hadis Nabi yang cukup banyak, antaranya :-

1) Hadis Nabi :
إذا شربوا الخمر فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم

Ertinya : Apabila mereka minum arak, sebatlah mereka, dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka ( Riwayat Abu Daud)

2. Hadis Nabi :
أن النبي أتي برجل قد شرب الخمر , فجلده بجريدتين نحو أربعين

Ertinya : Nabi telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [1]

3. Hadis Nabi
كان يضرب في الخمر بالنعال والجريد أربعين

Ertinya : Sesungguhnya dipukul (sebat) bagi arak (peminum) dengan kasut-kasut dan pelapah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [2]

4. Hadis Nabi :-
أن النبي صلى الله عليه وسلم : جلد في الخمربالجريد والنعال , ثم جلد أبو بكر أربعين فلما كان عمر ودنا الناس من الريف والقرى , قال : ما ترون في جلد الخمر؟ فقال عبدالرحمن بن عوف : أرى أن نجعلها كأخف الحدود , فجلد عمر ثمانين

Ertinya : Sesungguhnya Nabi s.a.w merotan (sebat) dalam kes arak dengan pelepah tamar dan sepatu, kemudian Abu Bakar ( di zaman pemerintahannya) juga menyebat dengan 40 kali sebatan, di ketika pemerintahan Umar, beliau meminta pandangan orang ramai dari kampong dan desa lalu berkata : Apa pandangan kamu berkenaan sebatan bagi peminum arak?, lalu Abd Rahman Auf berkata : Aku berpandangan kita menjadikannya hudud yang paling ringan (merujuk kepada sebatan qazf) [3], maka Umar membuat keputusan untuk menyebat dengan 80 kali sebatan ( Riwayat Muslim dan Abu Daud)[4]

5. Athar sahabat
قال علي : جلد رسول الله في الخمر أربعين , وأبو بكر أربعين , وعمر ثمانين , وكل سنة وهذا أحب إليّ

Ertinya : Berkata Ali r.a : Rasulullah menyebat peminum arak 40 sebatan, Abu Bakar juga 40 sebatan, Umar menyebat 80 sebatan, semuanya adalah sunnah, dan ini ( merujuk kepada 40 sebatan) adalah lebih aku sukai. ( Riwayat Muslim ) [5]

6. Hadis Nabi
أن رجلا رفع إلى النبي صلى الله عليه وسلم قد سكر ، فأمر قريبا من عشرين رجلا ، فجلدوه بالجريد ، والنعال

Ertinya : Seorang lelaki dibawa ke penghakiman Nabi s.a.w kerana telah mabuk (minum arak), lalu Nabi s.a.w mengarahkan sekitar 20 orang lelaki untuk menyebatnya dengan pelepah tamar dan sepatu ( Al-Bayhaqi)[6]

Jika dikatakan, itu semua hadis, mana dalil al-Quran yang suruh, jawabnya adalah

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Ertinya : Kami turunkan kepadamu Al Qur'an, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan ( An-Nahl : 44)
Maka itulah tugas hadis nabi yang bersumber dari kata-kata, perbuatan dan perakuan baginda Nabi s.a.w yang menjadi penjelas kepada Al-Quran.

PERBEZAAN TASFIRAN ULAMA

Ulama telah bersepakat bahawa mesti dijatuhkan hukuman bagi peminum arak, sama ada ia minum banyak atau sedikit. Namun ulama berbeza pandangan dalam sekurang-kurang dua perkara iaitu :-

1) Adakah hukuman sebatan ke atas peminum arak adalah dalam kategori hukuman hudud atau hanya ta'zir.

Kebanyakan mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafie meletakkan hukuman sebat ke atas peminum arak sebagai hukuman hudud.

Namun demikian, sebahagian ulama lain seperti At-Tabari, Ibn Munzir, As-Syawkani, Ibn Qayyim, Al-Qaradhawi, Al-Uthaymin menganggapnya sebagai ta'zir semata-mata, yang mana ia terserah kepada hakim untuk menentukan jumlah sebatan dan keperluan untuk menyebat atau tidak.

Menurut Al-Qaradhawi, ia terbukti sebagai ta'zir kerana wujud pelbagai dalil yang menunjukkan :-

a- Jumlah pukulan berbeza mengikut keadaan peminum. Ada yang dikenakan 40 kali dan ada yang dikenakan 80 kali. Sifat hukuman hudud adalah tetap, namun ini berbeza-beza menunjukkan ia hanyalah dari hukuman ta'zir, yang terserah kepada kebijaksanaan hakim menentukan jumlahnya.

b- Dalam salah satu hadis yang tesebut di atas, Abd Rahman Auf r.a mencadangkan kepada Umar agar diletakkan hukuman yang paling rendah berbanding hudud, ini menunjukkan hukuman ini adalah ta'zir kerana menurut majoriti ulama, hukuman ta'zir tidak boleh melebihi hudud.

c- Cara penjatuhan hukuman juga berbeza, ada yang disebat menggunakan sepatu, ada yang menggunakan tangan, baju dan sebahagian lain menggunakan pelepah tamar[7]. Tidak mungkin hukuman ini dari jenis hudud jika sedemikian kerana hukuman hudud semestinya fixed atau tetap jumlahnya.

Berdasarkan penelitian terhadap dalil dan perbincangan para ulama yang panjang lebar dan mendalam, secara peribadi saya cenderung kepada hukuman ini adalah ta'zir dan bukan hudud. Wallahu'alam.

2) Jumlah sebatan yang perlu dikenakan.

Dalam hal ini, para ulama terbahagi kepada dua kumpulan :-

Pertama : Mazhab Hanafi, Maliki, At-Thawry dan Hanbali : Sebatan sebanyak 80 kali sebatan sama ada lelaki atau perempuan.

Kedua : Mazhab Syafie : 40 kali sebatan sahaja. Namun jika hakim mendapati kesalahannya berat, hakim boleh menambah sehingga 80 kali sebatan, dan lebih dari 40 sebatan itu dikira sebagai ta'zir , manakala 40 sebatan yang awal adalah hudud.

BOLEHKAH PESALAH TIDAK DISEBAT?

Ia bergantung kepada mazhab mana yang dterima pakai oleh Mahkamah Syariah Malaysia, hakim dan negara Malaysia.

Jika Hudud

Jika kesalahan meminum arak diterima sebagai kesalahan hudud sebagaimana pandangan mazhab Syafie. Pesalah tidak boleh dielak dari hukuman sebat tadi kerana hukuman sebat dikira sebagai hak Allah swt. Hak Allah perlu didahulukan dari sekalian hak makhluk dan sesuatu itu termasuk dalam hak Allah apabila kemudaratannya meluas dan umum, seperti zina, riba, murtad dan sebagainya. Namun pelaksanaan hukuman hudud ke atas seseorang pesalah, boleh ditangguh berdasarkan keperluan tertentu.

Dalam kategori ini, semua pesalah walau kali pertama[8] melakukan kesalahan, akan dihukum kerana mudarat ke atas masyarakat umum.

Jika Ta'zir

Jika kesalahan ini dianggap dari jenis Ta'zir, maka hakim mempunyai kuasa untuk mengampun sama ada atas alasan ia kesalahan kali pertama, ia seorang yang lemah, ia seorang tidak sihat dan sebagainya. Demikian menurut mazhab Syafie.

Justeru, sebelum dikritik keputusan hakim, bincangkan terlebih dahulu mazhab mana yang ingin diikuti di Malaysia, khususnya dalam konteks hukum minum arak ini.

SEJAUH MANA SEBATAN INI ADIL?

Pertama

Jika ia benar-benar hudud dan termasuk dalam hak Allah swt, tiada layak manusia yang hina untuk mempersoalkan tentang keadilan, kerana Allah swt sentiasa adil walau menghumban sesorang manusia ke nerakaNya. Allah tetap adil walau Dialah yang menysatkan sekumpulan manusia dan memberi hidayat kepada sebagai yang lain. Kerana Apa adil?? Kerana piawan adil Allah tidak sama dengan manusia yang dicipta. Keadilan Allah adalah kerana dia yang mencipta kita, dan Dia berhak untuk menentukan apa sahaja yang diinginiNya. Jika kita merasakan Allah tidak adil menyesatkan sekumpulan manusia. Individu tersebut perlu memulangkan nyawa yang Allah berikan kepada mereka dan beredar dari galaksi ciptaan Allah swt ini ke sebuah alam ciptaan sendiri.

Kedua

Sebatan ini, tidak zalim sama sekali kerana ia bukan bertujuan menyakitkan seperti sebatan ekor pari yang menghakis kulit, daging dan sampai ke tulang. Sebatan ini hanyalah untuk pengajaran, seperti denda cikgu kepada muridnya, ibu kepada anaknya atas tujuan mengajar, atas asas belas kashian dan bukan dendam kesumat dan ‘geram' memukul.

Hasilnya, pelbagai displin sebatan telah ditentukan dalam hukum Islam iaitu [9] :-

  • Tidak boleh dipukul wajah dan kemaluan.[10]

  • Alat yang digunakan mestilah tidak besar, bukan tongkat yang besar, ia adalah seperti dahan dan ranting sederhana sahaja.

  • Tidak diharuskan si pemukul mengangkat tanganya melebihi paras ketiaknya, atau tidak boleh terlihat bawah lengannya semasa mengangkat pemukul, dam pukulan tidak terlalu menyakitkan, tidak pula terlalu perlahan.

  • Yang diangkat adalah sikunya sahaja dan bukan lengan.

  • Lelaki disebat secara berdiri, wanita secara duduk.

Adakah jenis pukulan yang sebegini pun dianggap zalim? Jika demikian guru-guru sekolah, ibu bapa, suami memukul, adalah lebih zalim kerana hukumannya tidak dibicarakan di mahkamah.

Bagi saya, jika hukuman sebegini pun masih zalim, tentunya yang menuduh ia zalim itu akan jadi lebih zalim kerana bercakap dan mengkritik tanpa ilmu.

Ketiga

Sejauh mana pula adilnya orang luar seperti Tun Dr Mahathir dan yang lainnya, mempertikaikan hak seorang hakim dalam membuat keputusan?.

Bukankah sang hakim lebih berhak menentukan hukuman yang paling adil disebabkan beliau berada sepanjang sesi perbicaraan dari kedua-dua belah pihak, mendengar pandangan kesemua pembela dan pendakwa. Justeru, adalah TIDAK ADIL bagi orang di luar mahkamah untuk mengkiritk sewenangnya keputusan hakim, sedangkan mereka tidak mempunyai gambaran sebenar di sebalik sesebuah kes. Mungkin sahaja, si pesalah yang reda dan ingin hukuman dilaksanakan. Justeru itulah keadilannya.

Keempat

Bukankah keputusan hakim patut dihormati sebagai menunjukkan autoriti badan kehakiman dari sebarang gangguan luar?. Kita kerap mendengar di mahkamah civil bahawa sebarang keputusan mahkamah tidak boleh dikritik terbuka sama ada di dalam mahkamah atau diluarnya, kerana akan termasuk di dalam kesalahan ‘menghina mahkamah' (contempt of court), lalu mengapa pula pihak yang kurang maklumat di luar ini dengan senang dan mudah mengkritik keputusan mahkamah Syariah?.

Kelima

Di dalam Islam, adil atau tidak bukan terletak pada logik aqal manusia semata-mata, namun adil yang sebenarnya adalah melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt dan baginda Nabi s.a.w. Kalau dalam konteks kes ini, pesalah juga telah bersedia menjalani hukuman tersebut sebagai satu proses kesedaran dirinya. Adilkah kita mempersoalkan hak pesalah untuk mendapat hukuman.?

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan kepada beberapa jawapan kepada persoalan yang diutarakan oleh Tun Dr Mahathir.

  • DR. M : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak?

    Ya, benar, bukti-bukti berkenaan wujudnya hukuman ini bersumberkan hadis-hadis yang sohih.
  • DR. M : Apakah ada larangan dalam Islam untuk mengkanunkan undang-undang syariah?

    Di dalam Islam, tiada larangan sama sekali, malah digalakkan bagi mencapai keseragaman dalam keputusan hakim.
  • DR. M : Jika Kerajaan tidak mengkanunkan undang-undang syariah melalui proses perbahasan dan kelulusan oleh dewan-dewan undangan, atau melalui fatwa oleh ulama-ulama, bolehkah tulisan-tulisan ulama tertentu dijadikan asas hukum mengikut pendapat hakim?

    Ini saya tidak pasti, tetapi sepatutnya sesebuah kerajaan negeri bertanggungjawab untuk mengkanunkannya. Namun sebelum ia dikanunkan, pertikaian yang diutarakan memang relevan dalam konteks hukum dunia, namun adalah salah di sisi Islam, kerana semau hukum Islam sepatutnya dikanunkan.

    Mahkamah ini pula adalah mahkamah Syariah yang khusus untuk hal ehwal orang Islam dan bukannya mahkamah sivil. Justeru apa ertinya sebuah mahkamah dinamakan ‘SYARIAH' jika keputusan yang berlandaskan hukum Islam juga tidak boleh dilaksanakan.? Jika demikian, tiada erti nama ‘syariah' pada sebuah mahkamah Syariah lagi.
  • DR.M : Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?

    Lebih zalim yang mengkritik tanpa ilmu. Hukuman ini adalah adil atau tidak telah diulas di atas, dan ia juga tertakluk kepada penentuan sama ada hukuman sebat peminum arak adalah hudud atau takzir.
  • DR. M : Sudahkah kita rujuk kepada Al-Quran berkenaan dengan minum beer (arak) dan hukuman yang perlu dikenakan supaya keadilan tercapai?

    Oleh kerana dirujuk kepada hukum al-Quran dan Hadis nabi, hukuman tersbeut patut dijalankan. Kerna arak terbukti merosakkan umum dan bukan hanya individu terbabit semata-mata. Cuba lihat dan fahami statistik yang disertakan di atas.
  • DR. M : Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan.

    Boleh rujuk senarai kitab yang dirujuk di dalam nota kaki artikel ini. Itulah kitab-kitabnya. Jika nak lihat gambar kitabnya, saya sertakan salah sebuah darinya yang amat penting. Semoga dapat membacanya dengan faham.

AKHIRNYA DIHARAP TUN DR MAHATHIR SUDI UNTUK MEMBACA ULASAN DAN JAWAPAN SAYA KEPADA SOALAN-SOALAN BELIAU INI.



Gambar : Kitab Fathul Bari Syarah Sohih al-Bukhari, Karangan Imam Ibn HajarAl-Asqolani.

Semoga beroleh manfaat, sekian

Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
5 Ramadhan 1430 H
26 Ogos 2009




[1] Sohih Muslim, mp 1706, jil 11, 216
[2] Riwayat Bukhari, no 6391, Jil 6, hlm 2487 ; Sohih Muslim, no 1706, Jil 11, hlm 211
[3] Dalam satu riwayat yang lain, Abd Rahman Auf berkata : "Seringan-ringan hudud adalah lapan puluh sebatan". Abd Rahman Auf mencadangkan agar diikut sebatan hudud yang paling ringan iaitu 80 sebatan bagi pesalah qazf. Lalu cadangan ABd Rahman tersebut, diterima Umar r.a.
[4] Sohih Muslim, no 1706, jil 11, hlm 215 ; Sunan Abu Daud, JIl 2, hlm 472
[5] Sohih Muslim, no 1707, Jil 11, hlm 216
[6] Sunan Al-Kubra, Al-Bayhaqi ; Al-Talkhis al-habir, IBn Hajar, no. 2118, jil 4, hlm 144,
[7] Rujuk hadis sohih riwayat al-Bukhari, no 6395, Jil 6, hlm 2488
[8] Tetapi mestilah pesalah memenuhi syarat-syarat berikut : 1) Islam 2) Sudah baligh dan beraqal 3) buat atas pilihan sendiri dan bukan dipaksa 4) Mengetahui berkenaan haramnya arak. 5) Minum arak dengan jelas sama ada melalui mulut atau suntikan dan sedar. 6) Minuman yang diminum itu memabukkan ( Rujuk MUghni al-Muhtaj, 4/178 ; AL-Muhazzab, As-Syirazi, 5/467 ; Al-Majmu' , An-Nawawi, 22/258)
[9] Al-Muhazzab, 5/458 ; Al-Majmu', An-Nawawi, 22/261 ; Al-Mu'tamad Inda As-Syafie, 5/228
[10] Dari hadis riwayat Abu Daud, 2/476

Monday, August 24, 2009

KENYATAAN RASMI: Sempena Ramadhan Al Mubarak dan Hari Kemerdekaan ke-52

'Merdeka Dunia, Merdeka Akhirat'

Itulah ungkapan yang sesuai digunakan sempena kehadiran Ramadhan dan sambutan Hari Kemerdekaan yang datang serentak pada tahun ini. Kemerdekaan hakiki yang dituntut oleh Allah SWT iaitu merdeka di dunia & akhirat.

Merdeka bukan sekadar bebas dari kuasa penjajah yang menakluk dan menguasai tanah tumpah darah. Merdeka juga bukan sekadar mendapat kuasa pemerintahan dari negara penjajah. Tetapi hakikat merdeka amatlah luas, bukan terbatas dalam dimensi kebebasan dunia, bahkan hingga melangkau kepada kebebasan di akhirat.


Apalah gunanya sekadar merdeka di dunia, tetapi kita dibelenggu dengan api neraka Allah SWT. Apalah gunanya bebas dari penjajah, tetapi akal, minda dan fahaman masih dibelenggu dengan fahaman dan ideology yang ditinggalkan oleh Barat. Sheikh Ibnu A’la Al-Maududi pernah mengungkapkan kata yang masyhur selepas pembebasan negara India oleh kuasa penjajah British : “Telah pergi penjajah berkulit putih (bangsa Inggeris), dan tinggallah penjajah berkulit hitam (bangsa India).

Justeru itu, kemerdekaan sebenar adalah bila manusia dapat tunduk kepada perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan Allah. Kemerdekaan juga adalah bila manusia meletakkan ajaran Islam sebagai pegangan hidup yang utama dan menolak segala fahaman yang bercanggah dengan Islam.
Dalam ucapan kalimah Syahadah “ لا إله إلا الله ”, ia mengandungi dua konsep sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama sebagaimana berikut :

1. Konsep an-Nafyu : Penafian
Kalimah لا إله memberi maksud tidak ada tuhan (ilah). Ia bermaksud penafian kita terhadap segala jenis dan bentuk tuhan, fahaman, ideologi dan pemikiran yang bercanggah dengan Islam.

2. Konsep al-Ithbat : Penegasan
Kalimah إلا الله adalah penegasan bahawasanya hanya Allah sahajalah satu-satunya tuhan yang layak disembah dan tidak boleh dipersekutukan dengan tuhan-tuhan yang lain. Ia juga bermaksud hanya ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah SWT sahajalah yang menjadi pegangan hidup kita dalam kehidupa di dunia ini dan menolak ajaran dan fahaman yang bercanggah dengan Islam.

Inilah satu bentuk pembebasan yang sebenarnya diajar oleh Islam kepada seluruh makhluk manusia. Iaitu membebaskan diri mereka daripada penyembahan makhluk, kepada penyembahan hanya kepada Allah SWT.

Marilah kita sama-sama mengambil pengajaran dari kata-kata yang pernah diucapkan oleh Panglima Tentera Islam, Rubai bin Amir yang dihantar oleh Khalifah Umar bin Al-Khattab untuk melawan tentera Parsi. Apabila beliau ditanya oleh Panglima Tentera Parsi, Rustum : “Apa yang mendorong kalian datang ke negeri kami?”

Ruba’i yang berdiri tegak penuh wibawa, menjawab dengan tegas, “ Kami datang untuk membebaskan manusia dari penyembahan sesama manusia kepada penyembahan hanya kepada Allah. Juga membebaskan mereka dari kesempitan dunia kepada keluasannya. Serta membebaskan mereka dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”
(al-Bidayah wa an-Nihayah)

Istimewanya, Sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun 2009 kali ini hadir bersama Bulan penuh kemuliaan bagi umat nabi Muhammad SAW iaitu bulan Ramdhan.

Suatu bulan yang dijanjikan oleh Nabi SAW bahawa Allah akan menurunkan rahmat, maghfirah dan pembebasan dari api neraka jahannam. Oleh itu, alangkah berutungnya bagi para hamba yang dapat menggunakan kesempatan ini untuk meraih tawaran dan ganjaran hebat daripada Allah SWT untuk para hambanya yang benar-benar bersungguh mendapatkan ganjaran tersebut. Sementara, celakalah bagi manusia yang mempersiakan Ramadhan dengan tidak melakukan amalan-amalan yang boleh meraih kemapunan dan keredhoan Allah SWT.

Dari Ka'ab bin Ujrah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda, "mendekatlah kalian ke mimbar!" Lalu kami pun mendekati mimbar itu. Ketika Rasulullah menaiki tangga mimbar yang pertama, beliau berkata, "Amin." Ketika menaiki tangga yang kedua beliau juga berkata, "Amin." Ketika beliau menaiki tangga yang ketiga pun beliau berkata, "Amin,". Setelah Rasulullah turun dari mimbar, kami pun bertanya, "Ya Rasulullah, sungguh kami telah mendengar dari engkau pada hari ini sesuatu yang belum pernah kami dengar sebelumnya."Rasulullah bersabda, "Ketika aku menaiki tangga yang pertama, Jibril muncul di hadapanku dan berkata, "Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan yang penuh berkah, tetapi tidak memperoleh keampunan." Maka aku berkata, "Amin."Ketika aku menaiki tangga yang kedua, Jibril berkata, "Celakalah orang yang apabila namamu disebutkan, dia tidak bershalawat atasmu," Aku pun berkata, "Amin." Dan ketika aku melangkah ke tangga yang ketiga, Jibril berkata, "Celakalah orang yang mendapati ibu bapanya yang telah tua atau salah satu dari keduanya, tetapi keduanya tidak menyebabkan orang itu masuk surga."Aku pun berkata, "Amin."

Di kesempatan ini Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan dan Kullu Am Wa Antum Bi Khair kepada seluruh umat Islam umumnya dan kepada seluruh pemuda–pemuda Islam khusunya. Kami juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-52 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Semoga kemerdekaan yang dikecapi ini berkekalan dan dipelihara oleh Allah SWT. Semoga kemerdekaan ini mampu menjadi momentum untuk kita mencapai kemerdekaan yang hakiki di akhirat sempena kehadiran Bulan Ramadhan Al-Mubarak 1430 Hijriyyah ini.

Takbir..Allahuakbar


Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar

BERITA: Khidmat Masyarakat Tetap Berterusan di Bulan Ramadhan



Pada Ahad, 23 Ogos lalu siri pertemuan dengan masyarakat telah diadakan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kapar dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Klang di Pasar Pagi Jalan Kedah, Taman Klang.


Antara yang hadir ialah YB S.Manikavasagam selaku Ahli Parlimen Kapar, En Haidar Taslin dan En Ivan Ho selaku Ahli Majlis MPK selain para petugas dan AJK Persatuan Penduduk. Aktiviti yang dijalankan ialah pendaftaran Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor dan Pemberian 'Face Mask' secara percuma kepada pengunjung pasar tersebut.

YB Manikavasagam dalam ucapannya menegaskan bahawa komitmen kerajaan Pakatan Rakyat untuk memberi kebajikan kepada rakyat adalah satu kewajipan yang mesti ditunaikan. Kekayaan hasil kerajaan negeri mestilah sama dirasa oleh rakyat semua lapisan tanpa mengira bangsa dan agama.


En Haidar Taslin selaku ahli majlis pula menyatakan ucapan terima kasih kepada yang sudi hadir untuk memberi kerjasama dengan melakukan pendaftaran dalam skim-skim yang ditawarkan kerajaan negeri. Beliau menyatakan rasa terharu dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan dalam aktiviti tersebut dan ia jauh malangkaui daripada retorik '1 Malaysia' yang dilaungkan oleh Barisan Nasional.

Di samping itu juga beliau memberi jaminan bahawa usaha yang berterusan sentiasa dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat untuk memberi kebajikan kepada semua. Ini terbukti bahawa skim kebajikan yang ditawarkan bukan cakap kosong, bahkan semua pimpinan bekerja keras untuk melaksanakannya seperti turun padang bertemu masyarakat dan menjelaskan serta mempromosikan skim-skim tersebut untuk disertai masyarakat walaupun dalam keadaan mereka berpuasa di bulan Ramadhan ini.

Semoga usaha murni ini akan dihargai oleh masyarakat dan mendapat ganjaran di sisi Allah taala.

Thursday, August 20, 2009

GEMPAR: Rahsia Projek BN Tawan Selangor Terbongkar!

Menggemparkan! Begitulah ekspresi saya ketika membaca surat rahsia yang didakwa ditulis oleh 'Pegawai-pegawai SPRM Malaysia' ini. Isu surat ini mula timbul semasa inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini.

Surat rahsia berkenaan mendakwa pegawai tinggi SPRM terlibat dalam 'pakatan sulit' untuk menjatuhkan kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat.
(sumber bahan: laman web RPK - http://mt.m2day.org/2008/content/view/25886/84/)






Wednesday, August 19, 2009

BERITA: YB Dr Halimah Sumbang RM 300 untuk Ihtifal PASTI Kapar


Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Dr Hajjah Halimah kerana telah memberi sumbangan ikhlas kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Kapar sempena Majlis Ihtifal PASTI Kapar yang berlangsung 26 Julai 2009 yang lalu.

Walaupun sumbangan berjumlah RM 300.00 itu dianggap kecil namun ia memberi makna yang besar kepada PASTI Kawasan Kapar yang sentiasa mengharapkan bantuan dan kerjasama dari semua pihak.

Majlis Ihtifal PASTI Kapar yang telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya itu telah dirasmikan penutupnya oleh YB Dr Hajjah Halimah sendiri dengan disaksikan oleh para perserta pertandingan yang terdiri daripada pelajar-pelajar PASTI, guru-guru dan para ibu bapa seramai lebih 1000 orang. Sambutan yang diadakan dengan gilang-gemilang ini menelan belanja yang besar melebihi RM10,000.00 dan ditanggung oleh PASTI Kawasan Kapar dan individu yang perihatin.

"Sumbangan YB ini menandakan sokongan beliau terhadap PASTI Kapar khususnya PASTI yang terdapat di DUN Selat Klang yang ditandingi oleh YB sendiri yang menampung jumlah pelajar lebih 300 orang saban tahun." Kata Ketua Pengurus PASTI Kapar, Saudara Ahmad Fikri.

Pihaknya sangat berterima kasih kerana beliau yakin sumbangan ini datangnya daripada poket YB Dr Hajjah Halimah sendiri kerana beliau dimaklumkan pihak YB tidak mengamalkan polisi sumbangan wang kerajaan kepada pihak parti (PAS).

BERITA: DPP Kapar Simpati Mangsa Ribut





Semalam, 18 Ogos 2009 Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah membuat lawatan ke rumah mangsa-mangsa bencana ribut yang melanda Kampung Batu 4, Sementa. Dilaporkan lebih 40 buah rumah telah terjejas akibat ribut yang melanda pada petang 17 Ogos 2009, Isnin yang lalu.

"Saya mendapat panggilan daripada Saudara Azmi, Setiausaha JKKK Kampung Bt 4, Sementa ketika berada di Permatang Pasir, beliau memohon bantuan untuk menempatkan mangsa di Dewan Orang Ramai, saya segera pulang pada sebelah malamnya untuk meninjau dan memberikan bantuan", kata beliau.

Beliau telah dimaklumkan oleh penduduk tempatan, Sdr Khalilullah Osman yang juga mangsa ribut tersebut bahawa pihak agensi kerajaan telah segera datang untuk mendapatkan maklumat mengenai mangsa antaranya, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Zakat Selangor dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sementa.

Seorang mangsa, En Ibrahim bin Ghani berkata beliau sedang berada di tempat kerja apabila dimaklumkan bumbung rumahnya telah habis diterbangkan ribut. "Walaupun kejadian malang ini menimpa keluarga saya, namun saya rasa bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku". Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang perihatin terhadapnya termasuk Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar.

Beliau berharap pihak agensi kerajaan yang terbabit dapat mempercepatkan bantuan agar beliau dan keluarga dapat kembali meneruskan kehidupan seharian seperti biasa apatah lagi dengan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia tak lama lagi.


Walaubagaimanapun, terdapat mangsa yang mengambil inisiatif sendiri memperbaiki kerosakan rumah mereka kerana tidak terlalu teruk dan mampu untuk menampungnya sendiri. "Saya mengambil tindakan untuk segera memperbaiki rumah saya memandangkan kerosakannya tidak terlalu teruk, tambahan pula hari mendung dan hujan boleh turun pada bila-bila masa dan saya bimbang air hujan akan merosakkan barang-barang di dalam rumah", kata En Azmi bin Lekir salah seorang mangsa.

Monday, August 17, 2009

BERITA: Unit Amal Kapar Giat Perkasakan Pemuda





Unit Amal Kapar, salah satu cabang lajnah di bawah Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar, sedang giat merencana aktiviti dan menyusun barisan pemuda bagi menghadapi sebarang cabaran mendatang.

Melihatkan banyak aktiviti-aktiviti parti dan kemasyarakatan yang memerlukan tenaga petugas pemuda terlatih dan bersemangat waja, amatlah perlu Unit Amal Kapar ini diperkasakan. Aktiviti seperti demonstrasi yang dianjurkan di peringkat pusat, kawalan keselamatan di setiap ceramah umum, gotong-royong, urusan kematian dan sebagainya merupakan antara contoh aktiviti yang sangat memerlukan keterlibatan Unit Amal.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar sedang mempersiapkan jentera amal parti untuk memenuhi kehendak tersebut. Antaranya modul pemantapan ahli Unit Amal sedia ada dan juga 'recruitment' atau melahirkan ahli-ahli baru.

Sebagai contoh baru-baru ini pada 29 Julai 2009 lepas, satu majlis Ramah Mesra Amal Kapar telah berjaya dilaksanakan bertempat di Markaz Tarbiyyah PAS Sementa, bertujuan sebagai wadah suai kenal ahli baru dengan ahli Unit Amal Kapar. Ahli baru diperkenalkan dengan 'komando' Unit Amal Kapar seperti Tuan Hj. Jamuliddin Elias yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kapar, En. Tarmizi Ali, dan juga En. Azrae. Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Kapar, Tn. Hj. Samsul Bahri Ikhsan, Y.B. Dr. Rani Osman selaku Yang Dipertua PAS Kapar yang juga ADUN Meru dan juga seluruh AJK DPPK Kapar.

Ketua Pemuda DPPK Kapar, Ust Haidar Taslin, membuka bicara program Ramah Mesra Amal dengan kata-kata perangsang kepada ahli baru dan mengingatkan kepada semua ahli bahawa Unit Amal bergerak atas keikhlasan hati dan hanya mengharapkan keredhaan dari Allah. Seterusnya majlis diisi dengan ucapan daripada Tuan Hj. Jamuliddin Elias yang menceritakan susur galur Unit Amal, pengalaman beliau menduduki jawatan Unit Amal di peringkat pusat, juga pengalaman kerja-kerja amal di luar negara dan seterusnya motivasi kepada semua ahli.

Hasil dari perjumpaan ini juga, Unit Amal Kapar turut berjaya menganjurkan Jambori Amal Kapar yang diadakan pada 15 - 16 Ogos yang lepas. Akan ada banyak lagi pengisian dan aktiviti yang telah dirancang untuk memastikan Unit Amal Kapar sentiasa bergerak di saf hadapan mendepani cabaran yang bila-bila masa akan menyerang. Dalam waktu yang sama mereka akan terus diberikan tarbiyyah untuk melengkapkan akhlak dan sahsiyyah sesuai sebagai ahli sebuah pertubuhan Islam.

Sunday, August 16, 2009

BERITA: Laporan Polis ka Atas 'Kain Rentang Fitnah'


Satu Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar, Ust Haidar bin Taslin berkenaan kewujudan 'baner' atau kain rentang yang berunsur fitnah telah digantung di beberapa tempat sekitar kawasan Parlimen Kapar.

Kain rentang tersebut tertulis 'Bebaskan Umat Islam Dari ARAK... KAMI MENYOKONG TINDAKAN MBSA Bila Lagi Nak Keluar Dari PAkatan Rakyat!!!' Kami Ahli-ahli PAS Kawasan Parlimen Kapar.'

Pihak Dewan Pemuda PAS Kapar telah melakukan siasatan dalaman di kalangan pemimpin-pemimpin PAS di cawangan-cawangan dan didapati tiada pihak dari PAS Kawasan Kapar yang mengaku menggantung kain rentang tersebut.

Setelah didapati kain rentang seumpama itu digantung di beberapa tempat seperti persimpangan Taman Sri Pekan, Meru, persimpangan Kg Rantau Panjang dan Teluk Kapas beliau telah membuat keputusan untuk membuat laporan di Balai Polis berikutan terdapat unsur-unsur fitnah dan provokasi pada tulisan kain rentang tersebut.

Menurut beliau, isu ini telah dianggap selesai dan tiada isu untuk PAS keluar dari Pakatan Rakyat seperti yang dinyatakan di dalam kain rentang tersebut. Ternyata perbuatan ini dilakukan oleh orang yang tidak senang dengan perpaduan di dalam Pakatan Rakyat dan cuba memberi imej buruk PAS kepada masyarakat.

'PAS tetap konsisten dengan perjuangan Islam walaupun bergabung di dalam Pakatan Rakyat bersama parti-parti lain yang berbilang kaum. Berbeza dengan UMNO, PAS tetap menyatakan pendirian perjuangannya yang tidak akan bersekongkol dengan perkara yang diharamkan syarak.'

'Walaupun perkara ini pada awalnya menimbulkan pelbagai reaksi, namun berkat kesabaran dan kegigihan kita menerangkan prinsip itu, akhirnya ia dapat diterima malah dihormati. Kita tidak akan sekali-kali membenarkan kerajaan yang kita kuasai untuk bertindak melanggar syarak dengan sewenang-wenangnya sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini walaupun UMNO menerajuinya.'

'Dalam masa yang sama, Islam tidak menghalang untuk orang bukan Islam melakukan perkara yang tidak diharamkan oleh agama mereka seperti meminum arak. Namun prinsip hormat-menghormati mestilah dijunjung semua pihak.'

Beliau kesal dengan tindakan segelintir pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dan cuba menggagalkan niat murni PAS untuk memberi kefahaman tentang konsep Islam yang syumul kepada masyarakat seluruhnya tanpa dibatasi agama dan kaum. Semoga pihak-pihak ini segera memberhentikan perbuatan mereka dan insaf serta bertaubat sempena dengan kedatangan bulan Ramadhan yang tidak lama lagi.

BERITA: Jambori Unit Amal Kapar Meningkatkan Kemahiran Ahli


Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar telah berjaya mengadakan Jambori Unit Amal Kapar 2009 pada 15 dan 16 Ogos 2009 di Kem Banyu Manis, Kg Bukit Kerayong, Jeram. Jambori pada kali ini telah disertai lebih 30 orang ahli Unit Amal seluruh Kawasan Kapar.

Pelbagai aktiviti telah disusun sepanjang program oleh Pengarah Program yang juga Ketua Unit Amal Kapar, Saudara Zainuri bin Ahmad. Program ini antara lain adalah untuk memdedahkan ahli Unit Amal kepada kemahiran-kemahiran kendiri yang akan meningkatkan keyakinan diri mereka untuk menghadapi pelbagai cabaran.

Antara aktiviti yang dirangka ialah, permainan seperti 'war game', mencipta 'gadjet', masakan suvival, persembahan berkumpulan dan jungle trekking. Semua ahli yang menyertai jambori kali ini merasa puas dan teruja dengan pelbagai program yang diatur.

'Ternyata aktiviti di dalam Jambori Unit Amal sangat berbeza dengan kem-kem yang pernah saya sertai sebelum ini. Ia banyak memberi ilmu dan pengalaman baru kepada saya' kata Ridzuan salah seorang peserta jambori.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh, Ustaz Haidar Taslin selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Kapar. Dalam ucapannya beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh anggota Unit Amal Kapar yang menjayakan dan menyertai Jambori kali ini. Beliau sentiasa ingin melihat agar Unit Amal Kapar sentiasa mempunyai peningkatan dari semasa ke semasa.

Justeru beliau berharap agar ahli di setiap cawangan dan DUN mempunyai inisiatif sendiri untuk menggerakkan Unit Amal di tempat masing-masing. Beliau juga berharap agar Unit Amal sentiasa menerokai aktiviti-aktiviti baru yang digemari oleh golongan muda seperti sukan lasak, kembara meredah hutan, konvoi berbasikal atau bermotor dan sebagainya.

Beliau berharap agar Unit Amal Kapar akan menjadi satu ikon yang mudah didampingi oleh semua golongan muda pelbagai latarbelakang di kawasan Kapar ini. Oleh yang demikian, ahli sedia ada perlu berjiwa besar dan bercita-cita tinggi untuk menjadikan Unit Amal lebih cemerlang kerana ia secara tidak langsung boleh menyampaikan mesej Islam kepada golongan muda dengan cara yang mereka senangi. Insya Allah.

Thursday, August 13, 2009

TAKZIAH: Ustaz Asri Ibrahim (Solo Kumpulan Rabbani) Kembali Ke Rahmatullah


Kemaskini 13/8/2009; 1500hrs
Jenazah allahyarham Ust Asri Ibrahim sedang dibawa ke kediaman ibu beliau di Jalan Ikan Keli, Kampung Bukit Lancung, Seksyen 27 Shah Alam untuk diuruskan di sana. Jenazah beliau akan disembahyangkan di masjid Bukit Lancung selepas Asar. Difahamkan jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Seksyen 21 (di belakang kilang Panasonic).

AJK DPPK Kapar, Sdr. Mohd Shaiful Roseman sempat ke Hospital Pantai, Bangsar sebentar tadi. Kelihatan ramai rakan-rakan artis nasyid, wartawan dan keluarga allahyarham berada di sana.

Turut kelihatan Presiden Persatuan Penggiat Industri Nasyid (PIN), En Mahadi Mohd, Qariah Malaysia yang baru memenangi Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa baru-baru ini, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman, dan juga Amy Searh yang datang jam 2.20 ptg. Amy Search pernah berganding suara bersama-sama allahyarham dalam salah sebuah album Rabbani.
======================================================
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar (DPPK) amat terkejut apabila mendengar khabar solo kumpulan Rabbani, Ustaz Asri Ibrahim, telah kembali ke rahmatullah pagi tadi.

Beliau dikhabarkan meninggal dunia jam 11 pagi tadi akibat serangan jantung. Sumber terdekat menyatakan beliau jatuh pengsan ketika mengendalikan satu program pagi tadi di Angkasapuri. Sehingga berita ini ditulis, jenazah allahyarham masih berada di Hospital Lembah Pantai, Bangsar.

DPPK Kapar mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham dan juga seluruh anggota kumpulan Rabbani. Semoga bersabar dengan ujian Allah.


Al-Fatihah...


Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar


Pergi Tak Kembali

Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayunya alunan suara
Cemas di dada...lemah tak bermaya
Terbuka hijab di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisahlah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baikkah atau sebaliknya

Amalan dan takwa jadi bekalan
Sejahtera bahagia pulang...ke sana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal-bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiring doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

SOAL JAWAB AGAMA: Lanjutan Doa Hindar Selesema H1N1


Mengambil kira respon yang diterima dari pelayar blog Syabab Kapar yang menginginkan penjelasan lanjut berkenaan doa hindari selesema H1N1 yang diragui keabsahannya menurut pandangan Ustaz Mohd Farid, di sini beliau memberikan hujah lanjutannya setelah beberapa kajian dijalankannya dengan merujuk beberapa kitab:

==================================================


Terima kasih atas komentar sahabat-sahabat semua.

Setelah mengkaji dengan lebih lanjut, saya tetap berpegang bahawa doa ini bukanlah doa yang warid daripada Rasulullah SAW. Bahkan setelah diselidiki, ia tidak diriwayatkan dalam mana-mana kitab Hadith.

Di dalam Kitab Mausuah Al-Adyan wal Firaq wal Mazahib Al-Fikriyyah Al-Muasiroh (Ensiklopedia Agama, Firqah dan Mazhab Pemikiran/Ideologi Masakini) meyatakan :
Terdapat satu pecahan Golongan Syiah yang dikenali dengan Kumpulan Baryalwi( بريلوي )yang diasaskan oleh ketua mereka yg bernama Baryalwi.

Sheikh Baryalwi banyak meriwayatkan hadith-hadith palsu bagi pihak syiah dan mendakwanya ia adalah Sunah & Hadis Nabi SAW.
Antara hadith-hadith palsu tersebut ialah seperti :

1. "Ali ialah pembahagi Neraka"

2. "Sesungguhnya Fatimah dinamakan dengan namanya kerana Allah menyelamatkannya dan zuriatnya dari bakaran api neraka"

Mazhab syiah Barlawi juga mendakwa : Sesungguhnya doa ini sangat berkesan untuk menolak penyakit dan mendekatkan diri kepada Allah serta mendapat pahala daripadanya, iaitu doa :

لي خمسة أطفي بها حر الوباء الحاطمة
المصطفى والمرتضى وابناهما والفاطمة

Oleh itu, jelas bahawa dakwaan yang mengatakan ayat ini adalah satu doa yang warid dan ada sandaran Islam adalah satu dakwaan yg salah dan tiada asas kebenarannya.

Saya ingin menegaskan juga, jika diteliti dengan betul akan maksud kata-kata ini, ia memang jelas bukan Hadith Nabi atas sebab berikut :

1. Kalimah لي : yang bermaksud "bagiku". Ia bukan merujuk kepada kata2 Rasulullah SAW.
Berdasarkan apa yg dijelaskan oleh kitab Mausuah Al-Adyan wal Firaq wal Mazahib Al-Fikriyyah Al-Muasiroh (Ensiklopedia Agama, Firqah dan Mazhab Pemikiran/Ideologi Masakini, ia adalah Syair yang disusun oleh pengikut Syiah Baryalwi yang disandarkan kepada kata-kata Saidina Ali. Namun hakikatnya, tiada riwayat yang sahih yang membuktikan ia adalah kata-kata Saidina Ali.

2. Doa yang sah di sisi Syara' hanyalah doa yg dipohon kepada Allah SWT. Walaubagaimanapun, ayat dalam bait-bait syair ini dengan jelas menyatakan bahawa penyembuh penyakit adalah 5 orang yang disebutkan dalam Biat Syair itu.

Perkara ini jelas bertentangan dgn Islam. Bahkan apa yg lebih merbahaya ialah, ia jelas boleh mendatangkan Syirik kepada Allah. Kerana dalam ajaran Islam, hanya Allah sahaja yang boleh menyembuhkan segala penyakit dan hanya kepada Allah sahajalah kita memohon segala sesuatu.

Oleh itu, saya menyeru kepada sesiapa yg menjumpai artikel seumpama ini agar berhati-hati dan jangan terus menerimanya melainkan dirujuk kepada para ustaz dan alim ulama. semoga kita terhindar dr amalan syirik dan menyesatkan, kerana balasannya adalah seburuk-buruk tempat iaitu Api Neraka Jahannam.

Wallhu A'lam bissowab.

Wassalamualaikum wrt wbt.

Ustaz Mohd Farid Mohd Zainal
Naib Ketua Pemuda DPPK Kapar

Monday, August 10, 2009

IKLAN: Ketua Pemuda Gesa Pemuda PAS Kapar Hadiri Jambori

Jabatan Amal DPPK Kapar mengadakan Jambori Amal Kawasan Kapar 2009 yang menjadi program tahunan DPPK Kapar. Justeru diingatkan kepada semua syabab para pemuda agar turun menghadirkan diri pada program tersebut. Saranan daripada Ketua Pemuda DPPK Kapar kepada seluruh ahli pemuda kawasan Kapar (JPC Selat Klang, Meru, Sementa & Sungai Pinang) agar tidak mencari alasan yang sengaja diadakan tanpa ada uzur syar’i.

Jambori Amal Kawasan Kapar merupakan program yang julung kali diadakan bertujuan bagi memenuhi kehendak Unit Amal Negeri Selangor yang mahukan pemuda-pemuda PAS mempunyai semangat yang kuat, berdisiplin dan mempunyai jatidiri yang kental. Pemuda-pemuda seperti inilah yang akan dilahirkan untuk menerajui kepimpinan DPPK di masa akan datang.

Beberapa aktiviti lasak dan juga tarbiyyah telah disusun antaranya pertandingan kawad, nasyid, merentas halangan dan banyak lagi. Yuran dikenakan hanya RM10. Sila hubungi atau sms ke nombor 0132212632 (Zainuri) untuk mendaftar.

BERITA: Kejohanan Futsal Tertutup Kariah Jaya Setia





Kejohanan Futsal Kariah Jaya Setia yang telah berlangsung meriah pada 7 & 8 Ogos 2009 iaitu pada hari Sabtu dan Ahad yang lalu. Kejohanan ini yang telah dianjurkan oleh Pemuda PAS di Cawangan tersebut telah diadakan di Gelanggang Futsal Kg Bukit Kerayong 2.

Kejohanan ini telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 12 pasukan termasuk 2 pasukan veteran. Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar, Ustaz Haidar bin Taslin yang juga Ahli Majlis MPK.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengucapkan tahniah kepada pemuda cawangan tersebut yang mempunyai inisiatif sendiri untuk menganjurkan kejohanan itu. Ini menunjukkan para pemuda di cawangan tersebut adalah di kalangan mereka yang mampu untuk menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat.

"Pemuda hari ini perlu bangkit dan segera berdikari untuk melaksanakan program dan aktiviti mereka sendiri. Ini kerana apabila pemuda dapat melaksanakannya, golongan ini akan mendapat lebih manfaat seperti mempelajari kaedah penganjuran sesuatu program, melaksanakan program yang sesuai dengan kehendak mereka dan membuktikan kepada masyarakat bahawa pemuda bukanlah liabiliti kepada mereka." kata Ustaz Haidar ketika berucap pada majlis perasmian acara tersebut.

Beliau percaya, keupayaan golongan pemuda jika diasah dengan betul dan diberi ruang dan sokongan yang secukupnya pasti mampu membentuk diri mereka sendiri menjadi orang yang berguna.

Friday, August 7, 2009

KENYATAAN MEDIA oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (6 OGOS 2009)


Rombongan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyerahkan memorandum kepada YB Ronnie Liu


UMNO PUNCA SEBENAR ISU ARAK DI SELANGOR

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPN Selangor) memandang serius kekecohan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Selangor ekoran isu kawalan penjualan arak sekarang ini. Memang tidak dinafikan bahawa DPPN Selangor membantah tindakan keras Exco Kerajaan Selangor, Y.B Ronnie Liu yang telah campur tangan dalam menghalang penguatkuasa MBSA yang bertindak ke atas premis yang menjual arak secara terbuka. DPPN Selangor juga telah menghantar memorandum kepada Y.B Ronnie tanda ketegasan pihak DPPN Selangor dalam membela isu-isu yang berkaitan umat Islam.

Walau bagaimanapun, DPPN Selangor tidak akan melayan sebarang percubaan Umno Selangor untuk mengeruhkan keadaan ini. DPPN Selangor menolak cadangan untuk berdemostrasi bersama-sama Umno bagi membantah perkara tersebut. DPPN Selangor melihat percubaan Umno untuk memperalatkan isu ini sebagai satu tindakan munafik kerana merekalah sebenarnya punca kekecohan ini. DPPN Selangor percaya isu ini tidak memberi kesan buruk kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, sebaliknya semua masalah ini akan diselesaikan dalam semangat setia kawan.

DPPN Selangor ingin mempertegaskan di sini bahawa isu arak ini bukanlah berpunca daripada DAP atau Kerajaan PR. Tetapi ia adalah berpunca daripada kegagalan dasar-dasar Kerajaan Umno/BN sebelum ini yang telah menyebabkan berlaku kerosakan di negeri ini. Adapun masalah dengan DAP ini hanyalah masalah teknikal pentadbiran sahaja yang boleh diselesaikan secara baik.

Punca utama masalah ini ialah apabila Umno yang memerintah Selangor semenjak 52 tahun lalu dengan sengaja membiarkan arak dijual secara berleluasa. Bahkan, di Selangor sendiri terdapat dua buah kilang arak yang besar yang terletak di kawasan penduduk Melayu. Ternyata slogan ‘Penerapan Nilai-nilai Islam’ dan ‘Islam Hadhari’ yang dilaung-laungkan oleh Umno selama ini adalah palsu semata-mata. Pemimpin Umno sengaja membutakan hati dan mata mereka terhadap kesan-kesan sosial yang timbul akibat arak. Sama ada kita sedar atau tidak, bahawa lebih 4,000 pusat hiburan yang disebut oleh Dr Mohd Khir Toyo itu hampir semuanya menjual arak. Ini belum diambil kira kedai-kedai runcit yang menjual arak seperti 7-Eleven dan juga pasar-pasar raya di seluruh Selangor. Arak pada masa ini dijual secara berleluasa sehingga mendedahkan masyarakat kepada bahaya keruntuhan moral.

Kesan daripada sikap munafik umno ini, telah timbul gejala sosial yang begitu parah dalam masyarakat, bukan sahaja di kalangan remaja, tetapi juga golongan dewasa dan warga emas. Arak yang menjadi ibu segala maksiat dijual secara berleluasa dalam negeri yang kononnya hendak menegakkan Islam Hadhari. Sekarang ini golongan remaja termasuk pelajar sekolah telah terlibat dengan gejala arak yang dibiarkan penjualannya oleh Umno selama ini. Kerana itulah timbul isu-isu sosial seperti dadah, rempit, lepak, buang anak, zina, memandu dalam keadaan mabuk dan sebagainya. Apalah ertinya kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk membangunkan minda rakyat dan meningkat kesihatan masyarakat, tetapi dalam masa yang sama membiarkan arak dijual secara berleluasa.

Atas asas inilah, DPPN Selangor menyalahkan sepenuhnya kepada Umno dalam masalah yang berbangkit ini. DPPN Selangor merasakan bahawa salah satu cara untuk memulihkan masalah sosial dalam masyarakat ialah dengan mengawal penjualan arak ini. Tidak ada sebab bagi DPPN Selangor bekerjasama dengan Umno untuk memperjuangkan isu ini, kerana Umno sendiri adalah punca kepada masalah ini. DPPN Selangor sebaliknya menyokong penuh tindakan MBSA untuk menyita kedai-kedai arak yang tidak mengikut peraturan. Dan tidak timbul bahawa PAS dan DAP berselisih pendapat dalam soal ini, melainkan hanyalah salah faham pentadbiran sahaja.

DPPN Selangor mencabar Umno melakukan bantahan dan tindakan yang serupa terlebih dahulu ke atas negeri-negeri dibawah pemerintahan Umno (BN) sekiranya mereka ingin menfikan yang mereka bukan bermuka-muka dan munafik dalam isu penjualan arak ditempat terbuka ini.


AHMAD ZAIDY ABDUL MUTALIB
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

SOAL JAWAB AGAMA : Doa Hindar Selesema H1N1 Sesat?

Soalan:
Assalamualaikum Ustaz,
Dalam kerisauan penularan wabak pandemik H1N1 yang melanda Malaysia dan seluruh dunia mutakhir ini, banyak email yang saya dapat berkenaan doa-doa yang boleh diamalkan untuk menghindarinya. Salah satunya termasuklah seperti yang saya lampirkan.


Mohon pendapat ustaz berkenaan doa tersebut. Adakah boleh kita mengamalkannya? Ada yang menganggap ianya dari syiah. Mohon penjelasan.

Terima kasih,

Syukor,
Kuala Lumpur


Jawapan:
Waalaikumsalam...

Selepas meneliti kandungan risalah yg dilampirkan, saya dapati ada banyak keraguan dari sudut kenyataan, kandungan dan matan doa itu sendiri.

Antaranya adalah seperti berikut :

1. Status Syeikh Ibnu Ahmad At-Tamimi Al-Malizi yang dikatakan Murshid. Tidak pernah saya terbaca dalam mana-mana kitab himpunan ulama'-ulama' tanahair ada ulama yang dikenali dengan nama tersebut.

2. Di bawah risalah tersebut dinyatakan, disediakan oleh ustaz Thalut @ Muhammad Adeeb Sakiran, Bahagaian Dakwah Bebas JAIS, kategori D1, D2 & D3, beserta no rujukan fail dan no HP.

Untuk pengetahuan tuan, ada banyak keraguan di sini :

i. Tidak wujud pegawai dengan nama tersebut bertugas di Bahagian Dakwah JAIS.
ii. Tidak wujud yang dinamakan "Bahagian Dakwah Bebas" JAIS
iii. D1, D2, & D3.. setahu saya ia adalah kod bagi kategori kad tauliah mengajar. Jadi, apa kaitan dengan bahagian dakwah JAIS yang dinyatakan.
iv. No HP yang tertera telah cuba dihubungi, tapi tidak diangkat.

3. Matan doa yang di tulis juga mempunyai banyak keraguan.

i. Dari sudut maknanya, ia seolah-olah bukan doa yang dipohon kepada Allah, tetapi tawassul yang dipohon kepada manusia. Ulama bersepakat bahawa haram bertawassul dengan memohon kepada makhluk. Yang dibolehkan adalah tawassul dengan kemuliaan dan keberkatan orang soleh dan hajat tetap dipohon kepada Allah.

ii. Doa tersebut jelas tidak mengandungi perkataan dalam bentuk apa-apa doa, permintaan hajat kepada Allah. Hanya sekadar tawassul kepada 5 orang yg disebutkan dalam matan ayat tersebut.

4. Saya mengandaikan, ini adalah surat berantai yang disebarkan oleh individu tertentu dan tidak mempunyai apa-apa sandaran nas juga tidak warid (bersambung) dari Rasulullah SAW.

Oleh itu, abaikan sahaja dan wajib kita hindari apa2 amalan yg tiada sandaran nas daripada al-Quran dan al-hadith.

Sekian.

Wallahu a'lam bis sowab.

Ustaz Mohd Farid Mohd Zainal
Naib Ketua Pemuda DPPK Kapar

Wednesday, August 5, 2009

KENYATAAN MEDIA oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor : “KONTROVERSI ISU ARAK DI NEGERI SELANGOR”


KENYATAAN MEDIA :
“KONTROVERSI ISU ARAK DI NEGERI SELANGOR”

BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI SELANGOR


PENDAHULUAN

Meminum arak ataupun minuman beralkohol yang memabukkan merupakan salah satu dosa besar dalam agama Islam. Ia haram diminum samada dalam kuantiti yang banyak ataupun sedikit, samada si peminum tadi mabuk ataupun tidak akibatnya.

Allah swt berfirman di dalam al Quran, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. “
(al Maidah: 90)

Nabi Muhammad S.A.W pernah melaknat mereka yang terbabit dengan arak ini iaitu sebanyak 10 golongan melalui sabdanya:

“Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, sepuluh golongan:

(1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkannya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya."
(Hadis riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)



ENAKMEN JENAYAH SYARIAH (SELANGOR) 1995

Oleh itu kerajaan bertanggungjawab memastikan yang rakyat jelata khasnya yang beragama Islam tidak terlibat dalam aktiviti yang membabitkan arak ini tambahan pula di Negeri Selangor, umat Islam di negeri ini adalah tertakluk dan terikat pada Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang berkuatkuasa sejak 22 November 1996 yang telah mengkategorikan meminum dan menjual arak sebagai suatu kesalahan jenayah syariah.

Melalui Enakmen ini di bawah kategori kesalahan minuman yang memabukkan dinyatakan di bawah Seksyen 18 (1) dan (2) iaitu:

(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.


INISIATIF MEMBEBASKAN UMAT ISLAM DARI ARAK DI SELANGOR

Diperingkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) contohnya di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berdasarkan sentimen dan tuntutan masyarakat, usaha telah dilakukan untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal penjualan arak ini iaitu di kawasan masyarakat yang majoriti penduduknya beragama Islam. Inisiatif ini turut diambil oleh ahli-ahli majlis di PBT-PBT yang lain di Selangor.

Walaubagaimanapun harus diberi perhatian bahawa segala usaha di atas TIDAK sama-sekali melibat atau membabitkan hak masyarakat bukan Islam di Negeri Selangor. PAS Selangor tidak pernah menuntut agar arak ini diharamkan dijual atau diminum dikalangan masyarakat bukan Islam.

Inisiatif yang diambil adalah untuk membebaskan umat Islam Selangor dari pengaruh dan budaya arak yang haram hukumnya disisi Islam dan bukan untuk menganggu-gugat hak masyarakat yang bukan Islam.

Oleh itu PAS Selangor kesal apabila inisiatif dari tindakan untuk mengawal pengurusan penjualan dan peminuman arak ini dikalangan masyarakat Islam telah dicampuri oleh pihak-pihak yang tertentu. Campurtangan membabitkan insiden di Shah Alam pada 30 Julai 2009 lalu dengan mempertikaikan keputusan pihak PBT dan para pegawai MBSA yang melaksanakan tugas ternyata telah mengingkari saluran-saluran pentadbiran yang sepatutnya.

Malah PAS Selangor mendapat laporan bahawa campurtangan itu (dan beberapa tindakan serupa sebelum ini) telah menganggu dan menjejaskan moral ahli-ahli majlis PBT dan para pegawai serta kakitangan kerajaan amnya.


TUNTUTAN-TUNTUTAN DAN TINDAKAN PAS SELANGOR

PERTAMA: Dengan perkembangan ini PAS Selangor mendesak agar kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Tan Sri Dato’ Abd Khalid bin Ibrahim agar serius dan menyegerakan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, untuk digunapakai seluruh negeri Selangor, supaya kontroversi seumpama ini tidak berulang sehingga meresahkan masyarakat Islam di sini.

KEDUA: PAS Selangor turut menggesa agar pemegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dikaji semula berikutan dengan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini.

KETIGA: PAS Selangor mengeluarkan arahan kepada seluruh kekuatan parti di negeri ini untuk mengambil langkah-langkah yang wajar dan bersesuaian dengan kedudukan dan jawatan masing-masing agar usaha untuk membebaskan umat Islam dari arak ini dilakukan secara serius dan berterusan, menurut adab, peraturan dan undang-undang yang sedia ada, demi keselamatan dan kesejahteraan seluruh masyarakat dan umat Islam di negeri ini.

KEEMPAT: PAS Selangor akan segera mengemukakan draf peraturan kecil mengenai penggunaan arak dikalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasa diperingkat PBT-PBT.


KESIMPULAN

Kesimpulannya, PAS Selangor mengesan bahawa keseluruhan rentetan kes-kes ini sesungguhnya berpunca dari kegagalan dan kelemahan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor yang telah diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbir negeri ini lebih 50 tahun lalu.

Pimpinan UMNO Selangor semasa berkuasa dahulu terbukti tidak sama-sekali serius dan jujur dalam menyelesaikan masalah orang-orang Islam termasuklah berhubung penjualan dan peminuman arak ini. Oleh itu PAS kini melalui mandat yang diberikan rakyat kepadanya, bertanggungjawab untuk memperjuangkan isu ini demi kepentingan masyarakat Islam dan seluruh rakyat amnya

=====================================================
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar (DPPK) menyokong penuh saranan daripada Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor ini. Beberapa langkah proaktif telah disusun oleh DPPK untuk memberikan penerangan berkenaan isu terbabit. Sememangnya UMNO/BN akan memainkan isu ini mengikut selera mereka demi untuk mendapatkan 'political mileage' yang menguntungkan mereka, dan menekan Pakatan Rakyat di Selangor. Oleh yang demikian, jangan terpengaruh dengan berita-berita dari pihak media UMNO/BN lebih-lebih lagi Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3.

DPPK turut menyarankan semua pihak, terutama Pemuda PAS di Kawasan Kapar agar terus memberikan penerangan dan tarbiyyah kepada masyarakat Islam mahupun bukan Islam tentang hukum-hakam meminum arak mengikut pandangan Islam.

Akhir sekali harus diingatkan peranan PAS adalah untuk menjaga akidah umat Islam dan memelihara masyarakat melalui jalan dakwah dan politik. Isu ini bukan isu politik semata-mata tetapi ia adalah isu sejagat yang menyentuh maslahah umat Islam yang harus kita perjuangkan bersama.


Mohd Azeman Mohd Yunus
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kapar

Monday, August 3, 2009

CATATAN: Himpunan GMI

1 Ogos 2009, Perhimpunan GMI yang mencatatkan pelbagai kisah di dalam dairi para peserta-pesertanya. Tak payah cakap banyak, siapa yang tak ikut serta memang rugi! Saya pesan kepada rakan-rakan, satu masa nanti boleh la kita berbangga dengan anak cucu kita, bila mereka bertanya tentang ISA yang hanya tinggal sejarah tercatat dalam buku teks sekolah mereka. Kita lah antara orang yang bangkit dalam sejarah menghapuskan ISA.

Memulakan langkah bergabung dengan peserta Himpunan GMI dari Dayabumi

Setelah diasak oleh FRU dari belakang kami berjaya bergabung dengan peserta yang berada di depan (Bank Negara) yang juga lebih teruk diasak dengan semburan kimia.

Berehat seketika, untuk menunggu asakan seterusnya.. ke belakang gas pemedih mata, ke hadapan semburan kimia.. Mana satu berkenan di hati?

Setelah berfikir sepontan akibat diasak dengan gas pemedih mata dari belakang.. Maka semburan kimia lah yang dituju.. Memang teruja..

Mengimbau kembali tembok yang berjaya diatasi. Lompatan kira-kira 7 kaki tinggi (antara tiang dan pokok) dan berjaya mendarat dengan jayanya!! Walaupun terkena juga semburan kimia yang berjaya mengubati penyakit selsema (H1N1) H-Hisamudin, N-Najib..

Meraikan kemenangan mangsa-mangsa keganasan kerajaan BN yang ditahan oleh barua2nya.. Apa lagi sambung cerita di kedai kopi la. Walaupun pahit, ternyata ia telah berubah menjadi kenangan terindah..